CINCIN NABI SULAIMAN a.s. YANG DICURI JIN IFRIT.
Salah
satu daripada mukjizat yang diberikan oleh Allah SWT pada Nabi Sulaiman a.s.
adalah tertulis pada cincinnya namanya dan nama Allah SWT. Adapun setiap
sesuatu yang tertulis padanya nama para Nabi dan nama Allah SWT tidak boleh
dibawa ke sebarang tempat seperti tempat-tempat yang hina seumpama tandas,
tempat-tempat maksiat dan seumpamanya juga tidak boleh dipakai ketika tidur dan
ketika berhadas besar.
Kerajaan
Nabi Sulaiman a.s. mashur serta luas kekuasaannya sehingga angin pun tunduk
atas segala perintahnya. Maka ini memudahkan Nabi Sulaiman a.s. untuk pergi ke
suatu tempat yang dihajati dengan tidak perlu berkenderaan. Cukup sekadar memerintahkan
angin membawanya terbang di atas permaidani sekiranya baginda yang diiringi
oleh pembesar-pembesar kerajaannya mahu menziarahi daerah kekuasaan baginda
yang luas itu.
Pada
suatu hari, Nabi Sulaiman a.s. bersama pembesar-pembesar kerajaannya pergi
menziarahi salah sebuah daerah kekuasaan baginda dengan berkenderaan permaidani
yang diterbangkan angin sehingga baginda melalui sebuah perkampungan nelayan
yang terletak di tepi laut. Ketika itu kelihatan penduduknya sedang menjemur
ikan. Di antaranya terdapat gadis-gadis yang turut serta menjemur ikan. Dari
kalangan para gadis itu, ada seorang gadis yang amat hitam rupanya dan tidak
menarik perhatian kaum lelaki.
Apabila
Nabi Sulaiman a.s. dan para pembesarnya melalui tempat itu, maka penduduk
kampung menjadi kehairanan kerana tiba-tiba sahaja cuaca menjadi redup. Lalu
merekapun mendongak dan mendapati rombongan Nabi Sulaiman a.s. sedang melalui
kawasan itu.
Sedang
mereka dalam keadaan itu, berkatalah gadis yang hitam rupanya tadi:
"Alangkah bahagianya aku sekiranya aku menjadi permaisuri Nabi Sulaiman a.s."
Apabila
rakan-rakannya yang lain mendengar ucapan gadis itu, mereka mentertawakannya
dan mengejeknya dengan kata-kata menghiris hati: "Wahai gadis tidak sedar
diri, sesungguhnya hasratmu sekadar impian. Rupamu yang hitam langsung tidak
menarik perhatian. Inikan pula mahu bersuamikan Nabi Sulaiman a.s. yang hebat
kedudukannya. Sedangkan kami yang mempunyai wajah menarik tidak bercita-cita
untuk menjadi permaisuri baginda. Apakah engkau tidak sedar bahawa orang-orang
lelaki di kampung kita ini pun belum tentu mahu beristerikan engkau yang hitam
legam lagi tidak menarik hati? Cukuplah engkau berangan-angan!”.Riuh rendahlah
suara mereka mentertawakan si gadis hitam tadi.
Mendengar
cemuhan dan hinaan mereka, merasa sayulah hati gadis yang malang itu. Dirinya
ibarat pungguk merindukan bulan. Rupa yang buruk tidak dipinta. Akhlah yang
baik lebih utama.
Setelah
Nabi Sulaiman a.s. bersama pembesar-pembesarnya selesai dari menjelajah ke
daerah kekuasaan baginda, merekapun balik ke rumah masing-masing.
Setibanya
Nabi Sulaiman a.s. di istananya, baginda berhajat untuk ke tandas. Sebelum itu
baginda melucutkan cincin yang bertuliskan nama Allah SWT dan namanya, lalu
diserahkan pada isterinya.
Pada
masa itulah datang jin Ifrit menyerupakan dirinya sepertimana Nabi Sulaiman a.s.
lalu menemui isteri baginda dan berkata: "Wahai isteriku, ambilkan
cincinku tadi." Tanpa merasa ragu, isteri baginda menyerahkan cincin itu
pada Ifrif kerana menyangka dirinya Nabi Sulaiman a.s.
Apabila
Nabi Sulaiman a.s. selesai melepaskan hajatnya, baginda meminta dikembalikan
cincinnya tetapi isterinya berkata: "Sesungguhnya telah aku kembalikan
sebentar tadi". Nabi Sulaiman a.s. diam kehairanan. Kemudian baginda
berkata: "Baru inilah aku meminta kembali cincin itu". Tetapi isteri
baginda tetap mengatakan bahawa ia telah diserahkan.
Nabi
Sulaiman a.s. merasa serba salah dan curiga. Kemungkinan cincin itu telah
dicuri oleh seorang yang menyamar sebagai diri baginda kerana isterinya tidak
mempunyai alasan untuk menyerahkan barang kepunyaannya kepada sesiapapun jua.
Adapun
Ifrit setelah ia mencuri cincin tersebut, dia pun masuk ke dalam istana
kerajaan dan duduk di singgahsana sambil memerintah rakyat. Nabi Sulaiman a.s.
ke istana dan mendapati seorang yang menyerupai dirinya duduk di atas
singgahsana maka fahamlah baginda apa sebenarnya sedang berlaku.
Lalu
baginda berkata: "Wahai rakyatku sekalian, sesungguhnya akulah Sulaiman,
raja kamu yang sebenar".
Jawab
rakyatnya: "Tidak, raja itulah yang sedang memberi ucapan. Kamu bukan raja
kami. Raja Sulaiman yang sebenar adalah dia yang duduk di kerusi singgahsana.
Kamu pendusta!”.
Apabila
rakyatnya tidak percaya lagi pada baginda, maka baginda pun pergi meninggalkan
istana, menuju dari sebuah perkampungan ke perkampungan yang lain dan
menyatakan dirinya sebagai Raja Sulaiman a.s. tetapi kesemua mereka
menafikannya.
Akhirnya
baginda pergi ke sebuah kampung nelayan yang terletak di tepi laut, lalu
baginda menyatakan hajatnya untuk turut bekerja sebagai nelayan kepada seorang
nelayan di tempat itu. Nelayan itu menerima hajat baginda tanpa menyedari
bahawa dia sedang berhadapan dengan Nabi Sulaiman a.s.
Nabi
Sulaiman a.s. menjalani kehidupannya sebagai seorang nelayan dengan baik dan
baginda bekerja bersungguh-sungguh tanpa mengenal jemu dan penat sehingga
menghasilkan pendapatan yang lumayan dengan nelayan itu.
Pada
suatu hari, ketika baginda duduk berehat menunggu waktu makan tengahari,
baginda tertidur oleh sebab keletihan.Tidak lama kemudian, datanglah anak gadis
nelayan tersebut membawa makanan tengahari. Berkata nelayan itu kepada anaknya:
"Wahai anakku, panggillah Sulaiman untuk makan tengahari bersama kita".
Gadis
tersebutpun pergilah mendapatkan baginda yang sedang tidur sambil dikipas oleh
seekor ular dengan sehelai daun. Alangkah terkejutnya gadis itu melihat keadaan
yang luar biasa ini, lalu segera dikhabarkan kepada ayahnya. Apabila nelayan itu
menyaksikan sendiri perkara itu, ia pasti baginda bukan sebarangan orang tanpa
mengesyaki baginda adalah Nabi Sulaiman a.s. Mereka meninggalkan baginda
sendirian sehingga akhirnya baginda terjaga dari tidurnya dan merekapun
menghadapi hidangan tengahari bersama-sama.
Setelah
beberapa lama Nabi Sulaiman a.s. tinggal bersama nelayan itu, maka nelayan itu
bermaksud untuk mengahwinkan anaknya dengan baginda. Nabi Sulaiman a.s. tidak
pula menolak kehendak nelayan itu. Maka hiduplah Nabi Sulaiman a.s. bersama
gadis hitam yang pernah bercita-cita untuk menjadi isterinya suatu masa dahulu
sebagai suami isteri yang sah tanpa gadis itu menyedari bahawa Tuhan telah
menjadikan impiannya suatu kenyataan.
Manakalah
di istana yang telah ditinggalkan baginda, Ifrit menyamar sebagai Nabi Sulaiman
a.s. memberikan pengajaran yang menyesatkan manusia. Berpunca dari amalannya
yang jahat itu, Ifrit tidak sanggup menyimpan cincin baginda yang dicurinya itu
kerana khianatnya, lalu cincin itu dicampakkannya ke dalam laut yang
kemudiannya ditelan oleh seekor ikan. Ifrit meninggalkan takhta kerajaan.
Ketika itulah orang ramai baru menyedari kepalsuan orang yang selama ini
mengaku dirinya Raja Sulaiman rupanya jin yang menyamar sebagai baginda.
Segala
sesuatu hanya Allah SWT yang menentukan.
Sebagaimana
biasa, nelayan dan Nabi Sulaiman a.s. keluar menangkap ikan sebagai memenuhi
keperluan hidupnya. Kebetulan pada hari itu, masuklah ikan yang menelan cincin
Nabi Sulaiman a.s. ke dalam pukat mereka. Menjelang senja, kembalilah mereka ke
rumah. Sebahagian daripada ikan yang ditangkap hari itu mereka jemur manakala
sebahagian lagi dijadikan hidangan makan malam.
Tatkala
isteri baginda menyiang ikan yang akan dimasak malam itu, tiba-tiba ditemui
dalam perut ikan itu sebentuk cincin yang bertuliskan nama Nabi Sulaiman a.s.
dan nama Allah SWT.
Segeralah
isteri baginda mengkhabarkannya. Demi melihat baginda akan cincin itu, baginda
terus mengucap syukur sebanyak- banyaknya kepada Tuhan kerana haknya telah
dikembalikan tanpa ia duga sementara rasa kasih terhadap isterinya semakin
bertambah.
Setelah
cincin itu disarungkan, barulah rakyat baginda meyakini bahawa baginda adalah
sebenarnya Raja Sulaiman.
Nabi
Sulaiman a.s. bermaksud untuk kembali ke istana dan melihat keadaan rakyat
baginda yang telah lama ditinggalkan. Baginda juga berhasrat untuk membawa
isteri baginda bersama-sama tetapi merasa keberatan kerana ditakuti isterinya
akan menjadi bahan ejekan berpunca dari kehitaman rupanya itu. Baginda lalu
berdoa kepada Allah SWT supaya mengubah rupa isterinya yang hodoh itu menjadi
cantik. Doa baginda dimakbulkan sehingga merasa cemburulah teman-teman yang
pernah menghina dan mengejek isterinya dahulu.
Baginda
beserta isterinya kembali ke istana dengan disambut meriah oleh rakyat jelata
yang telah menyedari kesilapan meraka.
Pada
suatu hari dikumpulkanlah sekalian rakyatnya baik dari golongan manusia, jin
dan juga binatang kerana Nabi Sulaiman a.s. ingin mengetahui siapakah yang
telah mencuri cincin baginda dan menyesatkan rakyat dengan perbuatan durjana.
Sesiapa yang telah melakukan kesalahan pasti takut untuk bertemu dengan
baginda.
Setelah
sekalian rakyat berkumpul, ternyata yang tidak hadir adalah jin Ifrit. Maka
dengan itu diisytiharkan bahawa Ifritlah yang telah mencuri cincin baginda.
Mendengar kenyataan ini, merasa marahlah golongan jin terhadap Ifrit kerana
telah memalukan bangsa mereka di khalayak ramai. Lalu Nabi Sulaiman a.s.
memerintahkan beberapa orang bangsa jin untuk menangkap Ifrit. Bangsa jin yang
diperintah itu segera pergi mencari tempat persembunyian Ifrit.
Akhirnya
ditemui Ifrit bersembunyi di batu karang di dasar lautan. Ifrit lalu dihadapkan
kepada Nabi Sulaiman a.s. dan baginda menghukum sesuai dengan kesalahannya.
Wallahu taala a'lam