Friday 31 January 2014

NOTA RINGKAS - Perkara-perkara yang Jarang Diketahui

NOTA RINGKAS

                     * Daripada Ibnu Mas'ud: "Haram hukumnya menyakiti makhluk Allah SWT dengan menggunakan api. Hanya Allah SWT yang boleh menghukum makhluknya dengan api".


                     * Imam Al-Ghazzali menegaskan bahawa mereka yang gagal menghadirkan hatinya mengingati Allah SWT ketika solat, maka solatnya tidak berkesan.

                     
                     * Ibnu Umar r.a berkata: "Sesungguhnya aku pernah melihat Rasullullah SAW memakai capal yang tidak berbulu dan baginda berwudhuk dengannya. Oleh sebab itulah aku memakainya".

                     * Amr Bin Huraith r.a berkata: Aku pernah melihat Rasulullah SAW solat dengan memakai capal yang telah dijahit. (At-Tirmizi)


                     * Adapun solat dalam keadaaan memakai kasut setelah dipastikan kebersihannya dari najis, sebahagian ulama berpendapat bahawa ia merupakan satu sunnah kerana Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kamu berbeza dengan Yahudi. Sesungguhnya mereka tidak solat dengan memakai kasut dan selipar-selipar". (Hadith riwayat Abu Dawood dan Ibnu Hibban)


                     * Al Quran itu tersimpan di sisi Allah SWT di Luh Mahfudz dan setelah diturunkan ke langit dunia, Allah SWT menegaskan "Ia tidak boleh disentuh melainkan oleh orang-orang yang bersih dan suci' (Al-Waqi'ah 56:79) Kemudiannya, ia diturunkan oleh malaikat Jibril ar-Ruh Al-Amin dari langit dunia ke atas Rasulullah SAW.


                    * Imam Al-Mahdi itu dilahirkan daripada keturunan Ahlul Bait (keturunan Siti Fatimah) yang telah disempurnakan oleh Allah SWT pada satu malam sahaja. (Riwayat Imam Ahmad)


                    * Asyraf atau Ahlul Bait: Golongan Nabi Muhammad SAW daripada cucu baginda, Al-Hassan r.a. dan Al-Husain r.a.


                   * Umar Ibnu Khattab mengisytiharkan bahawa Palestin merupakan tanah wakaf umat Islam sehingga hari kiamat.




Wa ma taufiqi, illa Billah,
Wallahu'alam.


                     



NOTA RINGKAS - Mulianya Rasullullah SAW

NOTA RINGKAS

                    * Rasulullah SAW adalah semulia-mulia makhluk dan apa sahaja yang ada pada susuk tubuh baginda semuanya menjadi mulia. Banyak riwayat menunjukkan yang para sahabat tabarukh (mengambil berkat) dengan 'Athar'(bekas tempat/barang peninggalan) Rasulullah SAW.

Antaranya ialah:


  • Anas Bin Malik r.a menyimpan sebuah botol berisi peluh Rasulullah SAW beberapa helai rambut baginda. Beliau mewasiatkan agar botol itu disertakan bersama-sama didalam kafan dan kuburnya.



  • Ibnu Umar sering memegang tempat duduk Rasulullah SAW di mimbar dan mendekatkan wajahnya untuk mengambil berkat.



  • Asmah Binti Abu Bakar r.a menjadikan baju Rasulullah SAW sebagai ubat.



  •  Ummu Salamah memiliki beberapa helai rambut Rasulullah SAW dalam botol perak dan orang akan pergi untuk mendapatkan berkat melalui rambut-rambut itu dan mereka sembuh.



  • Beberapa sahabat bertabarukh pada jubah dan selipar Rasulullah SAW.

                     

                 * Dalam hadith ada disebutkan bahawa Rasulullah SAW membahagi-bahagikan rambut baginda kepada para sahabat supaya mereka bertabarukh dengannya (dengan rambut baginda). Riwayat Bukhari dan Muslim.




Wa ma taufiqi, illa Billah,
Wallahu'alam.

NOTA RINGKAS - Perkara-perkara yang Jarang Diketahui.

NOTA RINGKAS

                     * Para 'Fukahaq' bersepakat tidak batal whuduk jika tersentuh lain jantina tanpa nafsu. Perkara -perkara yang membatalkan whuduk ialah keluar sesuatu dari qubul dan dubur.


                     * Hadith Bukhari: Dibenarkan Solat Witir 3 rakaat serentak iaitu dengan satu tahiyat dan satu salam.




Wa ma taufiqi, illa Billah,
Wallahu'alam.


                     

Thursday 30 January 2014

MALAIKAT - Hari Jumaat/Saiyidul Ayyam

                                               RAHMAT HARI JUMAAT

Ada keterangan menyatakan malaikat yang bertugas pada hari Jumaat adalah seperti berikut:
      
        Diriwayatkan oleh Abu Amer daripada ayah dan neneknya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di balik gunung Qof ada sebidang tanah putih yang tiada tumbuhannya. Luas tanah itu seperti luas dunia tujuh kali. Disitu penuh sesak dengan malaikat. “Andai kata ada sebatang jarum dijatuhkan dari atas, nescaya terjatuh atas satu daripada mereka.
      “Tiap-tiap tangan mereka memegang bendera yang panjangnya empat puluh farsakh. Tiap-tiap bendera ada tulisan Laailaahail  lallah Muhammadu Rasulullah”
      “Tiap-tiap malam Jumaat, mereka berkumpul di keliling gunung itu untuk merendahkan diri kepada Allah SWT dan memohon keselamatan bagi umat Muhammad SAW.
      “Jika fajar subuh terbit, mereka berdoa: Ya Allah SWT, ampunilah orang yang mandi hari Jumaat”.
      “Mereka berdoa dengan suara tangis dan keras”.
      
       Lalu Allah SWT berfirman: “Hai malaikatKu! Apa yang kalian kehendaki?”. Mereka menjawab: “Kami berkehendak Engkau mengampuni dosa umat Muhammad SAW”. Jawab Allah SWT : ”Aku sudah mengampuni mereka”.

       Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT menciptakan seorang malaikat yang berdiri dibawah Arasy. Ia mempunyai empat puluh ribu tanduk,sedang jarak antara satu tanduk dengan yang lain sejauh perjalanan 1,000 tahun.
      “Di atas tiap-tiap tanduk berbaris empat puluh ribu malaikat. Sedang diatas tengkuk dan di dadanya ada bintang-bintang.
      “Tiap-tiap hari Jumaat, ia bersujud kepada Allah SWT sambil memohon: Ya Allah SWT, ampunilah dosa orang yang mengerjakan solat Jumaat dari umat Muhammad SAW”
      
       Lalu Allah SWT berfirman: “Wahai malaikatKu, saksikanlah bahawasanya aku sudah mengampuni orang yang mengerjakan solat Jumaat”. (Kanzul Akhbar).
      
       Disebutkan dalam hadith bahawa Allah SWT mencipta sebuah menara diperbuat daripada perak putih, disebelah  AL BAITUL MAKMUR. Tinggi menara itu sejauh perjalanan lima ratus tahun.
      
       Pada tiap-tiap hari Jumaat, naiklah Jibril a.s ke atas menara itu dan berkumandanglah azan, lalu Israfil naik ke Mimbar dan berkhutbah dan Mikhail pula mengimami malaikat. Selepas mereka selesai mengerjakan solat, berkatalah Jibril a.s: “Pahala yang aku perolehi daripada azanku, kuberikan pada Muazzin di muka bumi”. Israfil pula berkata: “Pahala yang aku perolehi daripada khutbahku, kuberikan pada Khatib di muka bumi”. Dan malaikat berkata: “Pahala yang aku perolehi sebab sudah melakukan solat Jumaat di belakang imam, kami berikan kepada seluruh umat Muhammad yang mengerjakan solat Jumaat di belakang imam di muka bumi”.
      
      Kemudian Allah SWT berfirman: “Wahai malaikatKu, kalian sudah memperlihatkan kemurahan hati begini rupa, maka demi keagunganKu dan kebesaranKu, aku menyatakan hari ini, Ku ampuni dosa semua hambaKu yang mengerjakan solat Jumaat dalam memenuhi perintahKu dan tuntutan kekasihKu, Muhammad SAW”.
      
      Ada keterangan menyatakan ada malaikat bertugas sebagai penjaga masjid pada hari Jumaat adalah seperti berikut:
      Rasulullah SAW bersabda: “Tatkala hari Jumaat datang, Allah SWT mengutus malaikatnya turun ke bumi membawa kalam daripada emas dan kertas dari perak. “Mereka berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat siapa yang masuk ke masjid. “Ketika mereka selesai mengerjakan solat Jumaat, malaikat itu kembali ke langit lalu melapurkannya kepada Allah SWT: “Wahai Tuhan kami, kami sudah mencatat siapa yang masuk masjid dan bersolat Jumaat”.
      Lalu Allah SWT berfirman: “Hai malaikatKu, demi kemuliaan Ku dan demi kebesaran Ku, Aku ampuni segala dosa-dosa mereka”. (Raunaqul Majalis)
      
Di lain riwayat, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berangkat ke masjid untuk bersolat Jumaat pada jam pertama, seakan-akan ia sudah berkorban seekor unta. Sesiapa yang berangkat pada jam kedua, seakan-akan ia sudah berkorban seekor lembu. “Sesiapa yang berangkat pada jam ketiga, seakan-akan ia sudah berkorban seekor kambing. Sesiapa yang berangkat pada jam keempat, seakan-akan ia sudah berkorban seekor ayam.
      “Sesiapa yang berangkat pada jam kelima, seakan-akan ia sudah memberi hadiah berupa sebiji telur.
      “Dan apabila imam sudah naik ke mimbar, dilipatkan buku-bukunya dan diangkat kalam-kalamnya dan mereka berkumpuk se keliling mimbar untuk mendengar khutbah.
      “Maka sesiapa yang hadir sesudah itu, seakan-akan ia datang hanya untuk bersolat”.

Hanya Allah SWT yang lebih mengetahui.
Wallahu'alam.



PENAWAR MUKMIN - Alam Nasyrah Permudah Urusan Dunia

ALAM NASYRAH PERMUDAH URUSAN DUNIA

Nabi Muhammad SAW bersabda; “Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil kesempatan maka menjadi suatu kelapangan daripadaku”
      
       Barangsiapa membiasakan membaca surah Alam Nasyrah selesai mengerjakan solat fardhu, nescaya Allah SWT permudahkan urusannya serta dimudahkan segala keperluannya dan dimudahkan rezekinya.
      
         Sesiapa yang membacanya, nescaya Allah SWT turut melapangkan dadanya serta dijauhkan daripada segala kesukaran dalam segala urusannya. Dihilangkan segala sifat kesal dan jemu serta rajin dalam mengerjakan ibadat.
      
     Barangsiapa membaca 9 kali sesudah solat fardhu, nescaya Allah SWT akan jauhkannya daripada kesempitan hidup dan dimudahkan rezeki dan segala urusan.
      
         Sesiapa juga yang membaca 41 kali surah berkenaan selama tujuh hari berturut-turut dimulai dari hari Ahad  hingga Sabtu, Allah SWT akan cukupkannya dengan kekayaan, diberikan rezeki dengan tidak syak dan ragu-ragu.
      
     Barang siapa berada dalam kesukaran sesuatu urusan samaada duniawi atau urusan agama, hendaklah ia berwudhu dan solat dua rakaat. Selesai salam lalu terus duduk mengadap qiblat, bertawaduk hati kehadrat Allah SWT lalu membaca surah Alam Nasyrah sejumlah 101 kali, kemudian boleh disebut apa yang dihajati, nescaya Allah SWT akan memakbulkannya.
      
     Untuk menolak sesuatu bencana terjadi mahupun akan terjadi, bencana alam seperti gunung meletus, gempa bumi atau musim kemarau panjang sehingga susah untuk mendapatkan air, maka jangan bimbang, bacalah surah Alam Nasyrah setiap hari sebanyak 700 kali atau 1,000 kali, lebih utama semua penduduk kawasan itu membacanya, maka yakinlah Tuhan akan menghentikan bala bencana tersebut.
      
     Diandaikan pula terjadi musim kemarau terlalu panjang, sudah tentu timbul kesukaran dengan pokok-pokok tidak mahu berbuah dan rumput-rumput menjadi kering, maka hendaklah juga semua penduduk yang terbabit dengan keadaan itu beramai-ramai membaca surah Alam Nasyrah antara 700 hingga 1,000 kali.

Hanya Allah SWT yang lebih mengetahui.


Wallahu'alam.

MALAIKAT - Bidadari Syurga

BIDADARI SYURGA

Di dalam Al Quran mahu pun hadith, dapat kita temui beberapa keterangan mengenai sifat-sifat bidadari yang berada di syurga. Mereka berkulit putih bersih dan bermata jeli. Orang yang beriman dan beramal soleh akan dikahwinkan dengan bidadari dalam syurga sebagai ganjaran perbuatan baik mereka. Bidadari berkenaan tidak dapat dibayangkan keindahan dan kecantikannya, begitu juga tidak dapat dilukiskan dengan tinta ataupun diukir di atas permata.
     
       Sukar bagi kita membayangkan bentuk tubuh atau pun kesempurnaan fizikal para bidadari sehinggakan Rasulullah SAW bersabda mengenai kecantikan dan kesempurnaan bidadari:
      “Kalau sekiranya perempuan ahli syurga datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan dipenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik dari dunia dan seisinya”. (Hadith riwayat Bukhari)
      
      Orang mukmin yang berjaya masuk syurga akan dikahwinkan dengan bidadari yang bermata jeli, bagaikan mutiara yang bercahaya, sebagaimana firman Allah SWT: “Dan orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai, kekal mereka di dalamnya. Mereka mempunyai isteri-isteri yang suci dan Kami masukkan ke tempat yang teduh lagi nyaman”.
      
      Tempat yang teduh lagi nyaman adalah khemah besar di mana bidadari berkumpul. Mereka menantikan kedatangan calon suami dengan menyanyikan lagu rindu bagaikan orang yang mabuk cinta. Wajah mereka bercahaya seolah-olah bulan purnama. Mata mereka hitam pekat bagaikan mata bayi yang baru dilahirkan ,bahkan lebih jernih dan lebih bercahaya. Setiap kali bidadari itu mendendangkan lagu pujaan yang menyebut-nyebut calon suami mereka di syurga, setiap kali itu jugalah pula bangkit nafsu cemburu mereka.
      
      Sesetengah riwayat menyebutkan, ketika lelaki soleh yang dimasukkan ke dalam syurga dan melintasi kawasan perkhemahan di mana para bidadari berkumpul, maka mereka akan menyambut kedatangan suami mereka dan mengabdikan sepenuh jiwa dan raga kepadanya.
      
      Para bidadari akan melayani sepenuhnya keinginan suaminya bahkan menggoda supaya suaminya terus bermesra dengannya. Bidadari yang diciptakan Allah SWT merupakan sebesar-besar nikmat yang tidak terhingga di syurga.
      
      Pada hari pertama di mana orang mukmin dimasukkan ke syurga, mereka akan disambut oleh senyuman dan kemesraan bidadari dengan taman emas, kolam yang tenang, mata air yang memancar bagaikan sinar matahari pagi dan kebun buah-buahan yang pelbagai jenis; ada yang berwarna merah darah, biru laut, kuning, putih yang bercahaya. Pendek kata , segala kenikmatan yang memangnya sukar untuk dilukiskan ataupun dibayangkan oleh angan-angan.
      
     Pada malam kemesraan itu, bidadari akan melayan suaminya dengan penuh khusyuk. Kenikmatan malam pertama itu sememangnya sangat dinanti-nantikan oleh setiap pasangan suami isteri yang baru bernikah juga merupakan impian yang amat menghiburkan dan menggembirakan lelaki mukmin di syurga.
      
     Kenikmatan senggama dengan bidadari di syurga juga sukar dibayangkan sebab tidak ada kata-kata dan angan-angan yang boleh menggambarkannya. Bagaikan malam pertama yang dinanti-nantikan oleh pasangan yang baru bernikah, di mana mereka sukar untuk menggambarkan kenikmatan yang akan mereka rasakan sebab mereka belum pernah melakukannya sepanjang hayatnya. Begitu juga pasangan lelaki dan bidadari di syurga akan menikmati malam pertama yang sungguh luar biasa nikmatnya sehinggakan bahasa dan angan-angan tidak dapat untuk melukiskannya.
      
     Imam At-Thabrani meriwayatkan dari Abu Umamah bahawa Rasulullah SAW di tanya mengenai hubungan senggama di syurga.
      
     Rasulullah SAW menjawab: “Ya, tanpa pernah merasakan letih kerana syahwat  tidak pernah padam. Lelaki tidak akan mengeluarkan sperma, juga tidak ada kematian.
      “Kerana nafsu syahwat di dalam syurga tidak pernah padam, maka Allah SWT menganugerahkan segala kekuatan dan kejantanan kepada kaum lelaki yang berjaya masuk syurga iaitu berupa kekuatan fizikal dan nafsu yang pernah sama sekali padam”
      
     Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah di tanya oleh para sahabat, “Wahai Rasulullah, apakah kelak di syurga,kami akan berkumpul (jimak) dengan isteri-isteri kami?”.

Jawab Nabi SAW, “Sesungguhnya seorang lelaki dapat mencapai seratus gadis sehari”.

Hanya Allah SWT yang maha mengetahui.
Wallahu'alam.



MALAIKAT - Pohon Syurga

NIKMAT POHON SYURGA

Diriwayatkan bahawa Ka’ab berkata: “Aku bertanya Rasulullah SAW mengenai pohon-pohon syurga, lalu baginda bersabda: Dahan-dahannya tidak akan kering. Daun-daunnya tidak akan gugur. Buah-buahnya sentiasa segar dan tidak akan layu”.
      
          Adapun pohon syurga terbesar ialah pohon ‘Thuba’, akarnya adalah mutiara, batangnya yaqut merah, bahagian atasnya emas, tangkai-tangkainya zabarjud dan daunnya sundus.
      
          Pohon itu mempunyai berpuluh ribu dahan dan yang paling atas bersambung dengan Arasy manakala yang paling bawah berada di langit dunia. Setiap bilik dan kubah di dalamnya pasti dimasuki dahan, satu yang berubah dengan buah-buahan yang menarik selera. Adapun bandingan pohon itu seperti keadaan di dunia, cahayanya bersinar ke segala tempat.
      
          Disebutkan bahawa di syurga ada pohon kalau seorang berkenderaan kuda paling pantas lari dibawahnya, 100 tahun tidak akan habis mengelilinginya.
          Pakaian penduduk syurga adalah sutera halus berwarna hijau. Firman Allah SWT: “Mereka memakai pakaian sutera halus yang hijau dan tebal”. “Bagi mereka syurga ‘Adn, masuk ke dalamnya. Disana mereka akan diberi perhiasan dengan gelang emas bertakhtakan mutiara serta pakaian sutera dewangga”.
          Firman Allah SWT: “Merekalah yang berhak mendapat syurga ‘Adn yang mengalir sungai di dalamnya. Di sana mereka akan di beri hiasan gelang emas, berpakaian sutera hijau di sulami benang emas sambil berbaring-baring di persada indah. Itulah suatu pahala yang menyenangkan dan suatu tempat tinggal yang indah”. (Al Kahf: 31)
          Firman Allah SWT: “Mereka memakai sutera halus dan sutera kembang sambil duduk berhadap-hadapan”.
      
          Di dalam syurga ada pelayan yang muda belia dan mereka tidak akan tua selama-lamanya. Mereka memberi layanan pada penduduk syurga jika penduduk syurga menginginkannya.
          Firman Allah SWT: “Dan diedarkan kepadanya piala dan gelas diperbuat dari perak murni, tembus pandang laksana kaca. “Perak murni yang tembus pandang itu mereka isikan dengan ukuran sepuas minum. Mereka  di sana diberi minuman segelas minuman bercampur jahe. “Dari mata air syurga yang bernama Salsabil. (Salsabil ialah minuman yang nikmat, sejuk nyaman tidak berbanding yang dapat mengalir sampai ke ruang tempat duduk mereka). “Sambil dikelilingi oleh pelayan muda belia. Jika mereka kamu pandang, kamu akan menilainya: Seindah mutiara yang bertaburan. “Dan bila engkau melepas pandang syurga, akan kamu lihat pelbagai macam kenikmatan dan kemewahan yang mempersona. (Al Insan: 15-20)
          Firman Allah SWT: “Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang tetap muda”. (Al Waqi’ah: 17)
      
          Dari Anas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya , di syurga ada sebuah pasar. Yang didatangi penduduk syurga setiap Jumaat. Setiap angin dari selatan mengenai wajah dan pakaian mereka, tiba-tiba wajah dan pakaian mereka berubah bertambah indah.
      “Sehingga mereka kembali ke tengah-tengah keluarganya, keluarga mereka bertanya: Demi Allah s.w.t, kamu bertambah bagus. Mereka menjawab: Dan demi Allah SWT, kalian pun sepeninggalan kami juga bertambah cantik”.

Hanya Allah SWT yang lebih mengetahui.
Wallahu'alam.




NOTA RINGKAS - Perkara -perkara yang Jarang Diketahui

NOTA RINGKAS

                    * Anak-anak Nabi Muhammad SAW; ada tujuh orang; tiga laki-laki dan empat perempuan; Kassim, Abdullah, Ibrahim Fatimah; Zainab, (Umi Kalsum, Siti Rokiah) anak-anak sulung. Utbah dan Utaibah; anak kepada Abu Lahab berkahwin dengan kedua-duanya. Kemudian apabila Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi Rasulullah dan menyuruh mereka beriman kepada Allah SWT (Islam), kedua-duanya bercerai. Kedua- dua puteri Rasulullah SAW (Umi Kalsum, Siti Rokiah) kemudiannya berkahwin dengan Saidina Uthman.


                   * Kelebihan Saidina Umar Al-Khattab: digelar 'mendahului wahyu'.


                   * Antara mukjizat Rasulullah SAW; baginda boleh berkata-kata ketika masih dalam buaian dan perkataan pertama yang diucapkan oleh baginda adalah seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Sabu di dalam kitab Al-Khasais. Begitu juga Imam Sayuti dalam kitabnya Al-Khasais. Beliau berkata perkataan pertama yang diucapkan oleh Rasulullah SAW ialah 'Allahu Akbar khabira walhamdulillahi khasira'. 


                  * Antara keistimewaan Nabi Muhammad SAW ialah; sejak baginda dilahirkan sehingga menjadi nabi, baginda tidak pernah sekalipun melihat berhala, tidak pernah sembah berhala, dan tidak sujud kepada berhala. Allah SWT memelihara baginda sejak dari kecil.


                  * Ketika umur Rasulullah SAW empat atau lima tahun, malaikat telah membelah dada baginda dan disucikan hatinya serta dimasukkan cahaya imam ke dalamnya.


                  * Antara keistimewaan Rasulullah SAW ialah; ibunya tahu bahawa anak yang dikandungnya akan menjadi nabi.


                  * Rasulullah SAW menyebutkan kelebihan Aishah r.a. seperti dalam hadith baginda; "Janganlah kalian menguris hatiku kerana Aishah. Demi Allah, aku tidak pernah menerima wahyu ketika bersama yang lain kecuali ketika aku bersama Aishah" Riwayat Al-Bukhari.


                  * Ibnu Abdul Barr menyatakan Saidatina Aishah r.a. memiliki pengetahuan yang sangat tinggi dalam bidang tafsir, fekah selain dalam bidang perubatan, syair, dan salasilah.


                  * Aishah r.a. ialah 'Umul Mukminin'


                  * Perkara pertama yang berlaku selepas Rasulullah SAW turun dari mikraj ialah; baginda telah menjadi imam di Masjidil Al-Aqsa. Antara makmumnya ialah Nabi Adam a.s., Nabi Idris a.s., Nabi Musa a.s., dan ramai lagi.


                  * Hadith Muslim, Saidina Abu Bakar As-Siddiq pernah mejadi imam dan Nabi Muhammad SAW menjadi makmumnya.



Wa ma taufiqi, illa Billah,
Wallahu'alam.


                   

NOTA RINGKAS - Perkara -perkara yang Jarang Diketahui

NOTA RINGKAS

                     * Semua benda di dalam dunia, dicipta Allah SWT dengan kuasanya; tetapi Nabi Adam a.s. dibuat dengan tangannya. 


                     * Daripada Hadith Buhari, akhir zaman; Kaabah akan dimusnahkan oleh orang kulit hitam. Madinah akan ditinggalkan dan masjid-masjid juga wa'imah mimbar-mimbar akan dikencingkan oleh serigala-serigala. Madinah akan dihuni oleh binatang-binatang buas. Ada riwayat yang mengatakan; Madinah akan ditinggalkan selama 40 tahun. Yang ada hanya binatang-binatang buas menghuni sehingga hampir kiamat.


                     * Hijrah Rasulullah SAW bermula pada 1 Rabiul Awal dari Mekah dan sampai ke Madinah pada 8 Rabiul Awal.


                    * Saidina Umar Al-Khattab memulakan 'Muharam' sebagai bulan pertama Kalendar Hijrah. 


                    * Imam As-Syafie menjadi Mufti pada umur 15 tahun. Beliau membaca Al-Quran di Makam Ibrahim pada umur 9 tahun. 


                    * Nabi Shuib a.s. adalah antara pemidato yang terbaik.


                    * Ibnu Kathir meninggal dunia pada tahun 751 Hijrah.


                    * Pada hari Ibnu Thaimiyyah meninggal dunia; 200 000 ribu orang hadir. 


                    * Imam As-Syafie meninggal dunia pada 204 Hijrah. 


                    * Semua ayat-ayat Al-Quran yang bermula dari 'Kul'; semuanya akan melibatkan akidah.


                    * Nabi Muhammad SAW tidak pernah membunuh orang meskipun dalam peperangan dan sebagainya; kecuali satu orang iaitu Ubai bin Khalaf. Ubai bin Khalaf mati dalam Perang Uhud dan satu-satunya orang yang mati di tangan Rasulullah SAW.


                    * Ayat Seribu Dinar sebenarnya tidak ada kaitan dengan ayat rezeki kerana sebenarnya ia dari 'Surah Talaq' (Talak).


                    * Mengikut Sunnah, Nabi Muhammad SAW menggalakkan bernikah di rumah pengantin perempuan. 


                    * Mengiklankan sesuatu perniagaan pun tidak dibenarkan dalam ruang masjid. Ada satu ayat disunatkan baca agar perniagaan tidak berjaya bagi mereka yang mengiklankannya dalam masjid.


                   * Soalan-soalan yang bermula dari 'Yas alu naka'; hanya ada 12 dalam Al-Quran. Ianya soalan-soalan yang ditanyakan oleh para sahabat Rasulullah SAW. 


                   * Saad bin Muaz, sahabat Nabi Muhammad SAW; apabila meninggal dunia, jenazah beliau disolatkan oleh 70 000 ribu malaikat. Beliau menerima sapu tangan dari Allah SWT di syurga. Tanda beliau akan wafat, ada di Arashy.


                   * Sheikh Khuzaify dipecat daripada menjadi imam Masjidil Haram selama 7 tahun kerana menghentam dalam khutbah Jumaat, Ayatullah Khomeini dan menteri-menteri Iran yang menghina dan meludah makam Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar semasa melawat makam Rasulullah SAW.


                   * Nama asal Manila (Filipina) ialah 'Fii-Amanillah' nama dari Islam yang membawa maksud 'Dalam keamanan dan jagaan Allah SWT'.


                   * Pada orang-orang Syiah; sesiapa yang berlindung di bawah serban Nabi Muhammad SAW adalah Ahlul Bait iaitu Khadijah dan Fatimah.



Wa ma taufiqi, illa Billah,
Wallahu'alam.

MALAIKAT - Sangkakala

SANGKAKALA
Sangkakala Israfil

Disebutkan jarak antara tempat malaikat Israfil dengan Arasy dilapisi tujuh dinding.
      
     Tebal dinding itu ialah kira-kira perjalanan sepanjang 500 tahun dan adapun jarak antara malaikat Israfil dan malaikat Jibril kira-kira 70 dinding. Jadi, jarak antara malaikat Jibril dengan Arasy dilapisi 70 lapis dinding. Disebutkan juga, malaikat Israfil itu sentiasa meletakkan mulutnya di atas tanduk seperti keadaan Sangkakala.
      
     Trumpet malaikat Israfil bercabang empat iaitu menghala ke arah barat dan timur, sedang satu lagi ke arah bawah bumi dan lainnya bercabang ke arah atas langit yang ketujuh.
      
     Adapun lingkaran kepala sangkakala itu seperti lebarnya langit dan bumi. Didalamnya terdapat pintu sebanyak bilangan arwah. Didalamnya lagi , ada 70 rumah, setiap satu ditempatkan arwah. Di antaranya, arwah Nabi ditempatkan satu rumah, arwah jin, arwah umat manusia, arwah syaitan, arwah binatang dan lain-lain hingga 70.
      
     Abu Hurairah pernah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW mengenai sangkakala. Maka jawab Nabi Muhammad SAW; “Sangkakala itu adalah sebuah tanduk raksasa yang daripada cahaya. Besar tiap lingkaran dalam tanduk itu selebar langit dan bumi. Sangkakala itu ditiup tiga kali".
      “Tiupan pertama membuat makhluk takut, tiupan kedua membuat makhluk mati dan tiupan yang ketiga untuk membangkitkan makhluk dari kubur”, kata Baginda SAW.

Hanya Allah SWT yang lebih mengetahui.
Wallahu'alam.



NOTA RINGKAS - Perkara -perkara yang Jarang Diketahui

NOTA RINGKAS

                    * Matinya Firaun disumbat lumpur oleh Jibril ke dalam mulutnya ketika beliau tenggelam dalam Laut Merah sewaktu Firaun menyebut hendak beriman. Firaun berumur lebih kurang 400 tahun.


                    * Imam Sayuti, salah seorang imam besar dalam Mazhab Syafie mengatakan, menyebut dalam solat 'Usolli' memburukkan sembahyang. Imam Sayuti meletakkan 'Usolli' sebagai bidaah yang sesat bagi orang yang sihat.


                    * Kelebihan para nabi/rasul dimana mereka wafat, disitulah kubur atau makam mereka seperti Nabi Muhammad SAW, baginda wafat di dalam bilik Aishah r.a., maka di situlah Rasulullah SAW wafat.


                    * Kelebihan para nabi dan rasul; jasad mereka tidak akan reput sehingga kiamat. Pernah diceritakan, dua orang Yahudi yang masuk Islam tetapi berniat mencuri jasab Nabi Muhammad SAW (Mahmud Al-Khindi).


                    * Setiap kali kita berselawat ke atas Rasulullah SAW, Allah SWT akan utuskan malaikat untuk mengambil selawat tersebut dan hantar kepada baginda bersertakan nama orang yang berselawat ke atasnya.


                    * Mengikut Riwayat Al-Bukhari, Rasulullah SAW berhijrah/ diperintahkan berhijrah pada waktu siang dan baginda terus ke rumah Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Saidina Abu Bakar memberikan seekor kuda kepada Rasulullah SAW. Penghijrahan baginda bermula dari rumah Saidina Abu Bakar. 


                   * Rasulullah SAW ada menyatakan tanda-tanda akhir zaman; iaitu fitnah datang dari tanah tinggi (Iraq, Iran dan Basrah).


                   * Allah SWT bersemayam di langit, Arashy. Seperti contoh, apabila Rasulullah SAW Isra' dan Mikraj dan ada dalam Surah Tooha.


                   * Sesiapa yang hendak membuat korban, maka bermula pada 1 Zulhijah; jangan bercukur, memotong kuku dan sebagainya sehinggalah berlakunya korban pada Hari Raya Aidiladha tersebut. (Hadith Riwayat Muslim)


                  * Imam Malik tidak suka orang yang selalu menziarahi makam Rasulullah SAW apatah lagi berselawat atau bersalam ke makam Rasulullah SAW. Adalah lebih baik memberi salam ke perkuburan Baqi' kerana tidak menepati apa yang dilakukan oleh para sahabat.


                   * Jika kita berwudhuk dan kita memakan daging Unta, wajib bagi kita mengambil wudhuk semula.


                   * Ulama sirah membantah apabila mengatakan bahawasanya Rasulullah SAW berkahwin pada umur 9 tahun.


                   * Ulama sirah membantah apabila mengatakan bahawasanya Rasulullah SAW berkahwin dengan Khadijah pada umur Khadijah 40 tahun. Sebenarnya, umur Rasulullah SAW ialah 25 tahun manakala Khadijah berumur 35 tahun.


                   * Imam Malik mengatakan, tidak pernah ada 12 Rabiul Awal pada hari Isnin. Hadith mengatakan ada pun mungkin 8 atau 9 Rabiul Awal.


Wa ma taufiqi, illa Billah,
Wallahu'alam.


                     

NOTA RINGKAS - Duduk Rasulullah SAW

NOTA RINGKAS

                     * Qailah binti Makhramah r.a. meriwayatkan "ia (Qailah) melihat Rasulullah SAW di masjid sedang duduk *Qurfasha". Qailah berkata "manakala aku melihat Rasulullah SAW sedang duduk dengan khusyuk, maka aku pun dibawa perasaan gementar" (Riwayat At-Tirmizi Abu Dawood dan Bukhari)


                     *Abu Said Al-Qudry r.a. meriwayatkan "apabila Rasulullah SAW duduk di dalam masjid, maka ia duduk secara *Ihtaba dengan kedua tangannya" (Hadith riwayat At-Tirmizi Baihaqi dan Ibnu Hadi)



                     * Duduk Qurfasha yakni duduk bertumpu pada pinggul, kedua paha merapat ke perut dan tangan memegang betis. Ihtaba adalah duduk Qurfasha sambil memeluk betis dengan kedua tangannya.


Wa ma taufiqi, illa Billah,
Wallahu'alam.

SALASILAH KETURUNAN

Menurut kajian geneologi setakat ini, Nabi Ibrahim AS (yang turut dikenali sebagai Abram @ Abraham) mempunyai tiga orang isteri iaitu Sarah, Hajar dan yang terakhir Keturah. Sarah telah melahirkan Ishak (Isaac) manakala Hajar (Hagar) pula melahirkan Ismail (Ishmael). Manakala Keturah pula telah melahirkan enam orang anak iaitu Imran, Jokhsan, Medan, Midian, Ishbak dan Shuah. Dari Nabi Ishak terhasil keturunan bangsa Yahudi manakala dari Nabi Ismail terlahirlah keturunan bangsa Arab. Didalam kebanyakan teks-teks Judeo-Kristian mahupun Islam banyak menceritakan riwayat kedua-dua isteri pertama dan kedua Nabi Ibrahim  iaitu Hajar dan Sarah berbanding dengan Keturah iaitu isteri bongsu Nabi Ibrahim. Sarah yang mempunyai pertalian keluarga dengan Nabi Ibrahim diketahui dengan jelas berasal dari Tanah Kanaan iaitu tempat tinggal Nabi Ibrahim, manakala Hajar pula berasal dari keluarga diraja Firaun Mesir. Namun majoriti teks-teks Yahudi dan Kristian mengklasifikasikan Keturah sebagai “unknown nationality”.

Persoalannya: “Siapakah Keturah ini? Dari manakan dia berasal?”

Telah ditakdirkan bahawa dari perut Keturah ini telah lahir bangsa-bangsa penakluk yang agung seperti Chaldea, Media dan Parsi, yang mewarisi bangsa Sumeria, Akkadia, Assyria, Babylon dan selainnya dari kalangan Melayu yang merupakan cucu cicit Nabi Noh dari rantaian keluarga keturunan (jurai keturunan) Heth bin Kanaan bin Ham bin Nuh a.s, dimana didalam teks Yahudi Kuno ada menyatakan “kelak akan lahir bangsa-bangsa penakluk yang menjadi musuh orang Israel dari saudara mereka sebelah Keturah”. Selama beribu-ribu tahun bangsa Yahudi diperangi, dibuli dan dikacau oleh bangsa-bangsa kejam dan ganas serta teramat gagah ini sehingga dibayangkan didalam hikayat-hikayat  mereka sebagai 'raksaksa', 'orang gasar (barbarian)','kaum yang ganas' dan sebagainya. Jika kita lihat didalam kisah Nabi Musa, ketika Nabi Musa ingin kaumnya memasuki Tanah Palestin , kaum Yahudi berkeras tidak mahu memasukinya kerana terdapat 'kaum yang ganas' di Tanah Palestin sehingga mereka sanggup mengeluarkan kata-kata berikut kepada Nabi Musa “Biarlah engkau sahaja yang pergi berperang bersama Allah, dan kami menunggu disini”.

Akibat dari trauma dengan sejarah buruk bangsa mereka yang dibuli dan dilayan dengan kejam oleh saudara-saudara mereka yang berasal dari sebelah ibu tiri mereka iaitu Keturah, rabbi-rabbi Yahudi telah membeza-bezakan taraf isteri-isteri Nabi Ibrahim a.s, dimana hanya Sarah sahaja yang disebut sebagai isteri manakala Hajar dan Keturah disebut sebagai gundik (concubine). Perkara ini dapat kita lihat didalam Perjanjian Lama (Taurat) dan Perjanjian Baru (Injil), dimana mereka telah mengubah tafsiran terhadap isteri-isteri Nabi Ibrahim a.s. Sesungguhnya Nabi Ibrahim a.s selaku Rasul Allah yang sangat alim dan warak tidak pernah sekalipun membezakan isterinya-isterinya, dan ini dapat dilihat ketika peristiwa dimana baginda dikehendaki menghantar Siti Hajar dan anaknya Ismail seperti yang diarahkan oleh Allah SWT ke lembah yang sangat gersang di Mekah. Betapa hancur dan pilu hati baginda melihat isterinya dan anaknya yang masih kecil terdampar di tengah padang pasir yang panas dan kering, namun perintah Tuhan tetap dilaksanakan dengan mengingatkan tanah yang dipijak Ismail ketika itu adalah Rumah Tuhan yang akan dibangunkannya bersama anaknya Ismail kemudian hari. Pada asalnya Siti Sarah adalah perempuan yang mandul sebelum Allah SWT mengurniakan Ishak kepadanya pada usianya yang telah terlampau tua. Kerana itulah Siti Sarah berkeras untuk mengahwinkan Siti Hajar yang disangkanya hamba perempuan Fir'aun (sedangkan beliau ialah anak perempuan Fir'aun) dengan suaminya Nabi Ibrahim a.s, bagi mendapatkan zuriat dan keturunan. Bukan sahaja direndahkan martabat dengan dikatakan gundik, malah perasaan rasis mereka terhadap Keturah turut mengheret keturunan Siti Hajar bersama, dimana Siti Hajar dikatakan hamba Fir'aun dan ada juga yang menggelarkannya gundik Fir'aun. Hakikatnya Siti Hajar ialah Puteri Fir'aun yang diserahkan kepada Nabi Ibrahim a.s sebagai menebus rasa bersalah Fir'aun ketika itu, yang ingin memperkosa Siti Sarah ketika Nabi Ibrahim a.s dan Siti Sarah berada dalam tahanannya. Dengan kuasa Allah SWT, setiap kali Fir'aun datang untuk memperkosa Siti Sarah perbuatannya akan terhalang secara aneh, berkat doa Nabi Ibrahim a.s. Kejadian aneh itu menyedarkan Fir'aun bahawa Nabi Ibrahim a.s bukanlah sebarangan orang dan mungkin berasal dari orang yang suci dan perlu dihormati. Akibat dari rasa bersalah yang teramat sangat, Fir'aun bukan sahaja membebaskan kedua-duanya dari tahanan beliau malah turut membekalkan seorang seorang perempuan muda yang bertutup mukanya sebagai “kifarat” dan hadiah kepada Nabi Ibrahim a.s. Rahsia perempuan muda itu terbongkar sewaktu didalam perjalanan pulang apabila Nabi Ibrahim a.s membuka penutup kepala perempuan itu sambil bertanyakan asal usulnya, yang pada awalnya disangkakan seorang hamba yang dihadiahkan kepada mereka. Alangkah terkejutnya baginda dan Siti Sarah apabila mendengar pengakuan perempuan itu bahawa dia adalah anak perempuan Fir'aun iaitu Puteri Diraja. Tersentuh hati Nabi Ibrahim sambil mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT, yang sememangnya berkehendak menjaga keturunan baginda sebaik-baik keturunan. Jadi keturunan Nabi Ismail yang diperturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebenarnya berasal dari keturunan diraja dari empayar agung Fir'aun, yang pengaruhnya melewati Anatolia dan Kanaan ketika itu. Keturunan Fir'aun ini tidak sama dengan keturunan Fir'aun di zaman Nabi Musa a.s, kerana Fir'aun ini hidup lebih lama dari Ramses II dan sezaman dengan Nabi Ibrahim a.s.

Perlu diingatkan bahawa semasa zaman Nabi Ibrahim a.s tidak ada bangsa yang dinamakan bangsa Yahudi, dan sesungguhnya Nabi Ibrahim a.s bukanlah dari keturunan Yahudi. Baginda berasal dari satu kaum purba yang sezaman dengan bangsa Hitties yang telah pupus, dan bangsa misteri di Mesir (bangsa Fir'aun) yang mungkin mewariskan rahsia Piramid dan teknologi canggih zaman itu kepada bangsa Qibti, iaitu bangsa yang menjadi pemerintah selepas itu termasuklah Ramses II di zaman Nabi Musa a.s. Di dalam Al Quran ada disebut : “Wahai ahli-ahli Kitab! Mengapa kamu berani bertengkar mengenai agama Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada zaman Ibrahim. Patutkah kamu berdegil hingga kamu tidak mahu menggunakan akal?.... Bukanlah Ibrahim itu seorang pemeluk Yahudi dan bukanlah juga baginda seorang Kristian” (Ali Imran: 65-68).

Bangsa Yahudi diturunkan dari ranting keturunan Nabi Ishak dimana anaknya Yaakub telah digelar sebagai isra' yang bermaksud suka berjalan malam (kerana kegemaran Nabi Yaakub berjalan malam). Dari Nabi Yaakub ini lahirlah anak-anak termasuk Levi, Yusuf, Bunyamin dan Yahudza. Jika diperhatikan dari sini telah terdapat unsur-unsur perkataan yang memaparkan karakter bangsa Yahudi seperti Levi dan Yahudza. Bunyamin (Benjamin) pula merupakan adik kesayangan Nabi Yusuf, yang ditemui semula setelah sekian lama terpisah oleh Nabi Yusuf yang ketika itu menjawat jawatan tinggi didalam kerajaan Raja Mesir (pemerintah Mesir pada ketika itu digelar al-Aziz bermaksud raja). Pada waktu itu, bangsa Yahudi masih menjadi bangsa yang dibuli dan dibelasah serta berada di bawah pemerintahan bangsa purba lain yang lebih gagah sehinggalah mereka iaitu bangsa Yahudi ini menjadi kuat dan berjaya menubuhkan kerajaan sendiri di era Nabi Sulaiman dan Nabi Daud.

Dalam pada itu keturunan dari saudara-saudara mereka yang enam orang dari sebelah Keturah telah membina bangsa yang kuat, disamping menjadi lebih maju sedikit demi sedikit dengan pantas dan meninggalkan bangsa Yahudi di belakang. Mereka juga mencipta pelbagai ilmu sains dan teknologi yang canggih, membina kota-kota yang bertembok tinggi dan tebal, membina organisasi-organisasi moden yang sistematik serta menyusun balatentera yang gagah dengan teknik peperangan yang lebih maju. Perlu diingat pada ketika ini dunia di sebelah lain seperti di Tanah Besar Cina dan Benua Kecil India masih mundur dan kurang berpenghuni. Adakalanya kaum-kaum dari sebelah barat di mana pusat ketamadunan manusia purba bermula dari sini di sekitar Mesopotamia, telah mengembara ke India dan Cina untuk menangkap kaum asli yang masih bercawat dan tinggal di dalam hutan untuk dijadikan hamba serta buruh kasar bagi membina tembok-tembok dan kota-kota besar (peristiwa ini dapat dihayati jika kita menonton filem Apocalypse arahan Mel Gibson atau 1000000B.C). Pada waktu itu bangsa Yahudi masih ditakuk lama, hidup bermalas-malasan sambil mengharap belas ihsan bangsa-bangsa yang lebih gagah dari mereka. Sehinggalah mereka bertemu kembali dengan bangsa-bangsa keturunan Keturah seperti Media (Madyan) dan Babylon (Babil) serta Chaldea (Kaldan), yang mengganas dan mula merampas tanah-tanah mereka serta memusnahkan kediaman mereka.

Bangsa Yahudi menjadi bangsa hamba dibawah pemerintahan bangsa-bangsa hebat yang menjajah mereka berkurun lamanya secara silih berganti. Bangsa Yahudi ini pernah dibawa beramai-ramai ke Kota Babilon untuk dijadikan hamba, pencacai, buruh kasar, kuli dan orang gaji dibawah kekuasaan Emperor Nebuchadnezzar (Buktanassar) dalam keadaan hina, dengan dirantai kaki dan tangan mereka. Pada masa ini semua suhuf-suhuf dan Taurat telah dibakar oleh pemerintah dan hanya segelintir dari mereka berjaya menyimpan dan menghafal isi kitab itu secara sembunyi-sembunyi. Diwaktu pemerintahan Babilon inilah bangsa Yahudi telah banyak tersesat jauh dan mengamalkan sihir serta penyembahan syaitan akibat kekurangan ajaran agama dan tekanan hidup yang tinggi. Mereka mula mengabdikan diri kepada amalan spiritual yang pelik dengan harapan syaitan akan membantu mereka melepaskan mereka dari penderitaan di bawah penjajahan bangsa Babilon. Disinilah bermulanya amalan 'Babilonian Magic' yang menjadi asas Sihir Gematria, Necronomicon, Kutus Pentagram, Ramalan Tarot dan Persaudaraan Ular Iblis, menyebabkan terjadinya insiden Harut dan Marut seperti yang dikisahkan di dalam Al-Quran. Kegilaan bangsa Yahudi ini dalam mempelajari sihir telah menjauhkan mereka dari hidayah Tuhan dan menyebabkan ramai para Nabi diutuskan bagi memperbetulkan akhlak mereka. Bangsa Yahudi adalah bangsa spiritual, dimana mereka peka kepada perkara-perkara ghaib dan bersifat misteri, percaya kepada makhluk halus dan kuasa sakti. Mereka juga gemar mempelajari sisi spiritual bangsa-bangsa gagah yang silih berganti menjajah mereka.

Berbalik kepada Keturah, wanita misteri yang menjadi isteri ketiga Nabi Ibrahim a.s, tidak banyak yang diketahui tentang asal usul ranting atau jurai keturunannya dan dari kawasan mana dia berasal, walaupun sudah pasti berasal dari kelompok pengikut Nabi Nuh atau mungkin juga berasal dari kaum kerabat Nabi Nuh sendiri. Sumber-sumber kuno Yahudi juga masih samar-samar dalam membicarakan asal-usul Keturah. Tetapi jika dilihat atau disusur dari kehidupan Nabi Ibrahim a.s sebagai 'patriarch' (gelaran yang diberikan kepada lelaki yang menjadi ketua keluarga yang sekaligus sebagai pemimpin atau raja bagi kaum kerabatnya yang terhormat dan besar), memungkinkan baginda hanya berkahwin dengan suku terhormat sahaja. Tambahan pula Keturah telah melahirkan anak-anaknya yang gagah dan hebat.

'Keturah' bermaksud kemenyan atau wangi-wangian yang kadangkala digunakan dalam upacara ritual (dari sini kita dapat menyelusuri susurgalur bangsa Melayu yang banyak menggunakan kemenyan atau wangi-wangian sebagai bangsa spiritual). Tidak diketahui siapakah ibubapa Keturah tetapi terdapat sumber yang mengatakan Keturah berkemungkinan berasal dari kerabat diraja agung Sargon yang memerintah Akkadia. Namun begitu teori yang paling meyakinkan setakat ini ialah Keturah berasal dari Timur Jauh, tempat dimana keturunan Nabi Ibrahim diarahkan menyebarkan ajarannya selepas itu). Jika demikian maka hampir pasti bahawa bangsa misteri ini berasal dari keturunan raja-raja agung seperti Arab Quraisy yang berketurunan dari Raja Mesir, yang memerintah Sungai Nil ketika itu. Dari sini dapat dikatakan bahawa sesungguhnya Piramid Agung bukanlah dibina ketika pemerintahan Firaun Khufu (Cheops) tetapi telah dibina berkurun lamanya oleh kerajaan-kerajaan silam dari bangsa yang gagah ini. Firaun-firaun Mesir hanya membaikpulih piramid-piramid ini yang mereka warisi, dan hakikat ini lama kelamaan disedari oleh para pengkaji purba, tetapi terlalu lama untuk dipercayai dan diterima oleh masyarakat dunia. Di dalam filem 1000000 B.C telah dipaparkan mengenai kaum yang sebenarnya membina piramid di tengah-tengah padang pasir. Dalam filem ini ditunjukkan bagaimana untuk menentukan lokasi piramid itu arkiteknya terpaksa melihat jarak bintang dilangit dan koordinasi buruj-buruj, dimana pada masa yang sama beliau adalah ahli astronomi dan ahli nujum Istana. Kedudukan ketiga-tiga piramid  termasuk Piramid Agung Giza adalah bertepatan dengan kedudukan buruj Orion di langit dan mengarah tepat ke arah kiblat. Siapakah bangsa agung yang merencanakan pembinaan Piramid? Sesungguhnya Piramid Mesir adalah penunjuk arah kiblat Baitullah paling besar yang terdapat di bumi, manakala Allah yang Maha Agung telah menciptakan bintang-bintang Orion sebagai tanda arah kiblat  atau BaitulMakmur dilangit. Maha Suci Allah yang menciptakan segala sesuatu tanpa sia-sia. Bangsa yang membina piramid terawal itu sudah pasti merupakan satu bangsa yang teramat bijak dan genius di zaman tersebut, dan kemajuan material pada zaman tersebut setanding atau mungkin lebih maju dari apa yang kita dapati pada hari ini. Cuba kita bayangkan kehidupan manusia di zaman Nabi Nuh a.s, mungkinkah kehidupan mereka lebih maju dari kita? Bagaimanakah Nabi Nuh a.s mampu membina sebuah bahtera yang amat besar dalam waktu yang singkat, dengan jumlah pengikut yang sedikit tidak sampai 100 orang? Dan dari 100 orang itu kebanyakkannya ialah wanita dan kanak-kanak, jadi jumlah sebenar pengikut yang mampu berkerja membina bahtera itu adalah amat sedikit. Malahan kebanyakan pengikut Nabi Nuh adalah dari golongan yang miskin dan melarat serta lemah. Misteri terbinanya bahtera Nabi Nuh yang boleh memuatkan semua jenis haiwan-haiwan yang berpasangan, tumbuh-tumbuhan yang berbagai species terpilih, serta seluruh pengikutnya sentiasa menjadi misteri kepada pengkaji-pengkaji termasuk pengkaji barat, malahan ada yang mengandaikan bahtera Nabi Nuh a.s dibina oleh makhluk asing. Tetapi ianya tidak mustahil jika kita membayangkan kehidupan bangsa mereka pada zaman itu sebenarnya lebih gagah dan lebih canggih dari apa yang kita ada sekarang, selain dari pertolongan Allah SWT. Malah dari peristiwa itu juga kita dapat mengetahui bahawa Nabi Nuh a.s bukan sahaja pengembang agama yang terpilih tetapi seorang zoologis yang amat handal.

Mungkin sukar untuk kita menerima kemungkinan yang dinyatakan seperti di atas. Kita lihat pula kronologi kemajuan manusia dan kita lihat jangkamasa dari lahirnya Nabi Isa a.s mengikut kalender Masihi iaitu 1 Masihi hingga 2009 Masihi. Bagaimana kehidupan manusia di zaman Nabi Isa hidup, dan bagaimana kemajuan manusia 2000 tahun selepas kelahiran Nabi Isa? Berapakah jangkamasa Adam manusia pertama diturunkan ke bumi sehingga peristiwa Banjir Besar di zaman Nabi Nuh? Katakanlah dianggarkan lebih kurang 2000 tahun (ini anggaran yang amat minima kerana jangkamasa itu mungkin memakan beribu-ribu tahun), maka logiklah jika kita katakan kemajuan manusia mencapai tahap terhebat dan maju ketika berlakunya Banjir Besar. Jika kita berfikir dan bersedia menerima keadaan ini, kita tidak akan terkejut dengan kisah-kisah seperti Atlantis dan Lemuria serta Kerajaan Rama yang mempunyai pesawat-pesawat terbang seperti UFO. Ataupun dengan kisah peperangan yang melibatkan kuasa nuklear seperti kesan-kesan yang ditemui di Mohenjo-Daro dan Harappa. Persoalannya, adakah semua kemajuan itu berguna sekiranya Allah telah murka dan menurunkan bala bencana? Semua kemajuan yang dikecapi pada zaman itu habis tenggelam bersama orang-orang musyrik yang mengingkari perintah Allah SWT, akibat hanyut dalam arus kemajuan material dan kecanggihan teknologi yang mengkhayalkan. Manusia pada zaman itu semakin rakus dengan kebendaan dan berbuat maksiat secara terang-terangan. Tidak menghairankan apabila terdapat parti bogel disana-sini, pesta mandi buih di festival-festival besar dan mereka juga kerap mengadakan konsert-konsert muzik yang mengkhayalkan yang diakhiri dengan pest seks bebas serta mengghairahkan di hadapan berhala-berhala yang mereka sembah sebagai Tuhan mereka. Pada ketika itu dakwah Nabi Nuh a.s sentiasa dipinggirkan dan tidak diendahkan.



Mungkin kita berasa lucu dengan senario yang digambarkan diatas kerana pada fikiran kita bahawa Nabi Nuh a.s di zamannya hidup seperti orang gua yang bercucuk tanam dan menggembala kambing sahaja. Kita silap kerana keadaannya tidak begitu. Ini dibuktikan dengan lukisan-lukisan misteri di dinding kuil-kuil Firaun yang menceritakan atau mendokumentasikan satu mitos purba tentang penghasilan tenaga elektrik, lengkap dengan lukisan kabel bawah tanah dan filemen elektrik. Begitu juga dengan penemuan bateri purba di Iraq dan objek seperti cakera padat purba Dropa di China. Dan yang paling menggemparkan ialah penemuan loji nuklear berusia lebih 2 juta tahun di Afrika. Apakah yang boleh ditafsirkan dari penemuan-penemuan ini dan berapakah umur Bumi sebenarnya serta berapakah umur umat manusia sebenarnya? Kita tidak boleh sekadar mentafsirkannya mengikut kajian Barat yang terang-terang dipengaruhi oleh The Hidden Hand seperti Illuminati dan Freemason. Mereka punya sebab untuk mengelirukan umat manusia walhal segala kenyataan sebenarnya amat jauh dari apa yang kita dapat bayangkan. Setelah banjir besar, para pengikut Nabi Nuh pun bertebaranlah di serata muka bumi bersama haiwan2 dan pokok tanaman yang dapat dibawa bersama, kembali menjadi orang gua yang bercucuk tanam dan mengail ikan serta membiakkan haiwan ternakan. Pada waktu malam mereka berkumpul bercerita dengan generasi baru mereka mengenai kehidupan masa lampau mereka yang mungkin canggih dan maju, maka timbullah berbagai mitos tentang kehidupan ajaib masa lampau bangsa mereka. Tidak hairan jika ada yang mula membayangkan tentang dewa-dewi yang menaiki kenderaan terbang dan berperang dengan senjata nuklear seperti yang terdapat didalam kitab-kitab Hindu lama Mahabrata. Malah ada juga pengkaji-pengkaji yang merumuskan bahawa dewa-dewi orang Hindu diambil dari anak-anak raja kerajaan Rama, Atlantis dan Lemuria yang tenggelam di dasar lautan. Jika kita perhatikan patung-patung sembahan Hindu dan dewa-dewi termasyhur semuanya berkulit cerah dan segak-segak seperti raja-raja purba. Mereka sebenarnya menyembah raja-raja purba yang digambarkan melalui kitab-kitab purba mereka seperti Ramayana dan Mahabharata, Veda serta Upanishad. Begitulah seterusnya dengan bangsa-bangsa lain, masing-masing ada mitos masing-masing yang disampaikan dari generasi ke generasi..fikir-fikirkan..tidak rugi kita meluangkan masa sejenak untuk berfikir asal usul kita.

Wa ma taufiqi, illa Billah,

Wallahu'alam.

Tuesday 28 January 2014

MALAIKAT - Tambighul Ghafiliin, Arasy


TAMBIGHUL GHAFILIN, ARASY

Atstsa”labi berkata: Diriwayatkan daripada Jaafar, daripada Muhammad , daripada ayahnya bahawa neneknya berkata: “Terdapat di Arasy semua gambar sesuatu diciptakan Allah SWT di darat dan di laut". Itulah erti firman Allah SWT: “Tiada sesuatu melainkan daripada kami khazanahnya”.
      
       Disebutkan bahawa Ali bin Al-Husain berkata: “Arasy diciptakan daripada bermacam-macam cahaya. Diantaranya hijau yang menjadi sumber warna hijau. Kuning menjadi sumber warna kuning. Merah sumber warna merah dan putih yang menjadi sumber di siang hari". Kemudian dijadikannya 70 juta lapis. Tiap-tiap lapis bertasbih, bertahmid dan mensucikan Asma’ Allah SWT dengan bermacam suara.
      
       Jika makhluk diizinkan Allah SWT boleh mendengar suara-suara itu, nescaya hancurlah  gunung ganang, bangunan- bangunan dan air laut akan kering.
      
       Imam Qurthubi dan sebahagian ulama tafsir berkata: “Arasy berbentuk takhta. Ia diciptakan Allah SWT dan menyuruh malaikat mendokongnya, memikulnya, beribadah dengan memuliakannya dan bertawaf di sekelilingnya. Demikianlah sepertimana Allah SWT menciptakan Baitullah di bumi dan memerintahkan Bani Adam bertawaf dan berkiblat kepadanya".
      
       Firman Allah SWT: “Mereka (Malaikat) pemikul Arasy dan yang ada di sekitarnya menyuarakan pujian kepada Tuhannya, beriman kepadaNya dan meminta ampun bagi orang beriman: Oh Tuhan kami, begitu luasnya rahmat dan ilmu Mu meliputi segala-galanya. Kerana itu berilah ampun kepada orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Mu, peliharalah mereka daripada seksa api neraka yang bernyala-nyala”.
      “Oh Tuhan kami, masukkanlah mereka kedalam syurga, yang Engkau janjikan kepada mereka dan orang soleh diantara golongan bapa, isteri dan anak keturunan mereka. Sesungguhnya Engkau Maha Perkasa dan Bijaksana”.
      “Peliharalah mereka daripada perbuatan jahat sebab orang yang Engkau pelihara daripada perbuatan jahat itulah yang beroleh rahmatMu pada hari kiamat. Itulah suatu keuntungan  paling besar”.
      
      Disebutkan bahawa Ali r.a berkata: “bahawasanya pemikul Arasy ada empat malaikat. Tiap malaikat berwajah empat. Landasan tapak kaki mereka berada di bawah bumi ketujuh, sejauh perjalanan lima ratus tahun”.
Abdullah bin Abbas r.a berkata: “Selepas Allah SWT menciptakan Arasy lalu memerintahkan malaikat mendokongnya. Oleh kerana dirasa terlalu berat, mereka diperintahkan membaca ‘Subhanallah’, ternyata dengan membacanya, dirasa beban beratnya berkurangan. Maka bacaan itu terus menerus dibaca sampai terciptanya Adam . Ketika roh Adam masuk dan baginda membaca ‘Alhamdulillah’ lalu dijawab Allah SWT dengan ‘Yarhamkallah’ dan kerana itu Aku menciptakan engkau wahai Adam”.
      
       Mendengar itu, malaikat pendokong Arasy berkata: “Kalimah itu adalah kalimah mulia. Oleh kerana itu, tidak patut jika kami tinggalkannya. Maka sejak itu, mereka mengucapkan ‘Subhanallah  wal Hamdulillah’, ternyata sesudah itu bebannya semakin berkurangan”.
      
       Ketika Allah SWT mengutus Nabi Nuh a.s, beliau adalah Nabi pertama yang diutus menyerikan kaumnya membaca ‘Laailaahaillallah’, berkata malaikat pendokong Arasy, “Inilah kalimah ketiga harus kita sambungkan dengan kalimah-kalimah itu”.
      
       Sejak itu, mereka sentiasa mengucapkan ‘Subhanallah Walhamdulillahi Walaa Illahaillallah’, hingga sampai utusannya Nabi Ibrahim a.s menyaksikan malaikat membawa seekor domba untuk disembelih sebagai ganti puteranya, malaikat pendokong Arasy berkata: “Inilah kalimah keempat yang patut kami sambungkan dengan kalimah-kalimah yang kami ucapkan". Lalu selepas malaikat pendokong Arasy menyambungkannya lalu menjadi ‘Subhannallah Walhamdu Lillaahi Ilaaha  lllallaah Wallaahu Akbar’.
      
      Sewaktu Jibril menceritakan hal itu kepada Nabi Muhammad SAW, sebab takjub Baginda SAW bersabda: Laahaula WalaaQuwwata lllabilaahil Aliyyil Adzimm”.
      
      Selepas Jibril mendengar ucapan Rasulullah SAW, ia segera berkata: “Ucapan ini patut disambung dengan kalimah yang dibaca oleh malaikat-malaikat pendokong Arasy” (Tambighul- Ghafiliin).
      
      Bersabda Rasulullah SAW: “Bahawasanya Allah SWT menciptakan sebatang tiang di sisi Arasy”. Ketika ada seorang hamba mengucapkan kalimah ‘Laailaaha llallaah Muhammadur Rasulullah’, bergoncanglah tiang itu.
      
      Lalu Allah SWT berfirman: “Diamlah engkau, wahai tiang!”. Maka jawabnya: “Bagaimana aku dapat tenang kembali, sedang Tuhan belum mengampuni dosa orang yang membacanya!”.
      
      Lalu Allah SWT berfirmam: "Aku sudah mengampuni dosa-dosanya! Selepas itu barulah tiang itu tenang kembali” (Zubdatul-Wa’idiin)

Hanya Allah SWT yang maha mengetahui.
Wallahu'alam.