Saturday 17 May 2014

PENAWAR MUKMIN - Wanita

19 HADITH RASULULLAH SAW TENTANG WANITA.

1.     Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah SAW akan hal tersebut, jawab baginda, "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".

2.    Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya.Allah SWT mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

3.    Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah SWT.

4.    Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

5.    Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

6.    Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah SWT memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah SWT.

7.    Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah SWT dan orang yang takutkan Allah SWT, akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

8.    Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar) ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

9.    Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah SWT memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

10.  Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

11.  Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.

12.  Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah SAW,siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah SAW, "Suaminya". "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah SAW, "Ibunya".

13.  Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

14.  Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut,burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.


15.  Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

16.  Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

17.  Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi SAW) di dalam syurga.

18.  Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.

19.  Daripada Aisyah r.a. Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.


Wallahu taala a’lam

Wednesday 14 May 2014

PEDOMAN MUKMIN - 10 Mayat Yang Tidak Reput Dan Busuk.

10 MAYAT YANG TIDAK REPUT DAN BUSUK.


Di sebutkan di dalam satu riwayat, bahawasanya apabila para makhluk dibangkitkan dari kubur, mereka semuanya berdiri tegak di kubur masing-masing selama 44 tahun UMUR AKHIRAT dalam keadaan TIDAK MAKAN dan TIDAK MINUM, TIDAK DUDUK dan TIDAK BERCAKAP.

        Bertanya orang kepada Rasulullah SAW : "Bagaimana kita dapat mengenali ORANG-ORANG MUKMIN kelak di hari qiamat?"

        Maka jawabnya Rasulullah SAW
"Umat dikenal kerana WAJAH mereka putih disebabkan oleh WUDHU'." Bila qiamat datang maka malaikat datang ke kubur orang mukmin sambil membersihkan debu di badan mereka KECUALI pada tempat sujud.   Bekas SUJUD tidak dihilangkan. Maka memanggillah dari zat yang memanggil. Bukanlah debu itu dari debu kubur mereka, akan tetapi debu itu ialah debu KEIMANAN" mereka. Oleh itu tinggallah debu itu sehingga mereka melalui titian" Siratul Mustaqim dan memasuki alam syurga, sehingga setiap orang melihat para mukmin itu mengetahui bahawa mereka adalah pelayan Ku dan hamba-hamba Ku.

Disebutkan oleh hadith Rasulullah SAW bahawa sepuluh orang yang mayatnya TIDAK BUSUK dan TIDAK REPUT dan akan bangkit dalam tubuh asal diwaktu mati


     1. Para Nabi

     2. Para Ahli Jihad

     3. Para Alim Ulama

     4. Para Syuhada

     5. Para Penghafal Al Quran

     6. Imam atau Pemimpin yang Adil

     7. Tukang Azan

     8. Wanita yang mati kelahiran/beranak

     9. Orang mati dibunuh atau dianiaya

   10. Orang yang mati di siang hari atau di malam Jumaat jika mereka itu dari                              kalangan orang yang beriman.

Didalam satu riwayat yang lain dari Jabir bin Abdullah r.a,  sabda Rasulullah SAW: Apabila datang hari qiamat dan orang orang yang berada di dalam kubur dibangkitkan maka Allah SWT memberi wahyu kepada Malaikat Ridhwan:

       " Wahai Ridhwan , sesungguhnya Aku telah mengeluarkan hamba-hamba Ku berpuasa ( ahli puasa ) dari kubur mereka di dalam keadaan letih dan dahaga Maka ambillah dan berikan mereka segala makanan yang digoreng dan buah buahan syurga.

         Maka Malaikat Ridhwan menyeru, wahai sekalian kawan-kawan dan semua" anak-anak yang belum baligh, lalu mereka semua datang dengan membawa " dulang dari nur dan berhimpun dekat Malaikat Ridhwan bersama dulang yang penuh dengan buah-buahan dan minuman yang lazat dari syurga dengan sangat banyak melebihi daun-daun kayu di bumi. Jika Malaikat Ridhwan berjumpa mukmin maka dia memberi makanan itu kepada mereka sambil mengucap sebagaimana yang difirman oleh Allah SWT di dalam  Surah Al-Haqqah bermaksud :

"Makan dan minumlah dengan sedap disebabkan AMAL yang telah kamu kerjakan pada HARI yang telah LALU itu."


Wallahu taala a’lam



SEJARAH - Asal Usul Azan.

ASAL USUL AZAN.

Dari Abdullah bin Umar katanya: ”Kaum muslimin ketika baru sampai di kota Madinah, berkumpul menunggu waktu sembahyang kerana belum ada cara untuk memberitahu. Pada suatu hari mereka itu bermesyuarat tentang cara pemberitahuan waktu; ada yang mengatakan supaya menggunakan loceng seperti Nasrani dan ada pula yang mengatakan supaya menggunakan trompet seperti Yahudi. Maka berkata Umar bin al-Khattab r.a:”Bukankah lebih baik menyuruh seseorang berteriak atau memberitahukan waktu sembahyang?” Bersabda Rasulullah SAW:”Hai Bilal, pergilah dan ajaklah orang-orang bersembahyang.” (Hadith Riwayat Muslim) 

Ketika orang-orang Islam masih sedikit jumlahnya, kesulitan tidak timbul untuk mereka berkumpul bersama-sama bagi menunaikan solat secara berjemaah. Namun semakin hari semakin banyak bilangan orang-orang Islam sehingga timbullah masalah untuk memanggil atau mengingatkan mereka untuk menunaikan solat pada waktunya. Maklumlah setiap orang mempunyai potensi terhadap kealpaan ataupun kelalaian pada diri masing-masing disebabkan oleh berbagai-bagai urusan kehidupan yang dijalani mereka. Oleh sebab itu wujudlah mesyuarat yang membincangkan tentang keperluan bagaimana cara yang harus dilakukan untuk mengingat dan memanggil semua orang untuk solat tepat pada waktunya.


Ada banyak cadangan yang diusulkan seperti yang diceritakan di dalam hadis. Salah satu daripada usul itu datang dari Umar r.a yang mencadangkan agar ditunjuk seseorang yang bertindak sebagai pemanggil kaum Muslim untuk solat pada setiap masuknya waktu solat. Saranan ini kebanyakannya dipersetujui oleh semua orang, termasuk Rasulullah SAW memandangkan banyak cadangan-cadangan yang lain lebih mirip kepada kaum kafir.


Namun yang menjadi persoalannya kini ialah bagaimana perlaksanaannya? Abu Dawud mengisahkan bahawa Abdullah bin Zaid r.a meriwayatkan :”Ketika cara memanggil kaum Muslimin untuk solat dimusyawarahkan, suatu malam dalam tidur aku bermimpi melihat ada seseorang sedang memegang sebuah loceng. Aku dekati orang itu dan bertanya kepadanya apakah ia ada maksud hendak menjual loceng itu. Jika memang begitu aku memintanya untuk menjual kepada aku saja. Orang tersebut malah bertanya,” Untuk apa ? Aku menjawabnya, “Bahawa dengan membunyikan loceng itu, kami dapat memanggil kaum Muslimin untuk menunaikan solat.” Orang itu berkata lagi, “Adakah kau mahu jika ku ajarkan cara yang lebih baik ?” Dan aku menjawab ” Ya !”Lalu dia berkata lagi, dan kali ini dengan suara yang amat lantang , ” Allahu Akbar, Allahu Akbar..” Ketika esoknya aku bangun, aku menemui Rasulullah SAW dan menceritakan perihal mimpi itu kepada baginda. Dan baginda bersabda: “Itu mimpi yang sebetulnya nyata. Berdirilah di samping Bilal dan ajarkan dia bagaimana mengucapkan kalimat itu. Dia harus mengumandangkan azan seperti itu dan dia memiliki suara yang amat lantang.” Lalu aku pun melakukan hal itu bersama Bilal.” Rupanya, mimpi yang serupa dialami pula oleh Umar r.a, beliau juga menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Baginda SAW bersyukur kepada Allah SWT di atas semua petunjuk tersebut.

Ada riwayat menyatakan, suara Bilal Bin Rabbah ketika melaungkan azan, kota Makkah akan bergegar.


Wallahu taala a’lam


PEDOMAN MUKMIN - Hukum Memakai Cincin.

HUKUM MEMAKAI CINCIN.

Hukum asal memakai cincin adalah HARUS. Jika memakai dengan niat untuk mengikuti sunnah Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang memakai cincin perak maka hukumnya adalah SUNNAH dan diberikan pahalanya oleh Allah Ta’ala .

Bagi orang lelaki pula , memakai cincin, gelang dan rantai dari emas adalah satu perkara yang HARAM (ditegah oleh agama). Ini satu perkara yang telah dimaklumi oleh hampir kesemua umat Islam. Diriwayatkan oleh Muslim daripada Abdullah Bin Abbas r.a sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah melihat sebentuk cincin emas dijari seorang pemuda,maka Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam telah menanggalkannya dan membuang dan bersabda,"Seseorang dari kamu telah mengambil batu dari api neraka dan meletakkan ditangannya."

Bagi lelaki, pakai cincin tanpa batu permata adalah makruh kerana menyerupai nasrani (kristian). Cincin suasa juga haram dipakai oleh lelaki kerana terdapat emas. Pendapat ini disokong dengan hujah: Kalau makanan tom yam dicampur sedikit daging babi (walaupun perasa babi) adakah boleh dimakan?

Apakah hukumnya? Di jari mana? ulama` juga berselisih pendapat bahawa di antara tangan kanan dan kiri yang manakah yang lebih utama.maka orang-orang terdahulu memakai cincin di sebelah kanan begitu juga ramai yang memakai di sebelah kiri.Adapun di dalam mazhab hanafi adapun kanan itu adalah lebih utama lantaran ianya (memakai cincin itu adalah perhiasan) dan kanan itu lebih mulia dan lebih berhak untuk perhiasan. diriwayatkan oleh Anas r.a juga katanya,"Nabi sallallahu alaihi wasallam telah memakai cincin di sini (lalu menunjukkan kepada jari manis di tangan kirinya."(Hadith Riwayat Muslim)

Hukum memakai cincin pada jari tengah dan jari telunjuk adalah dilarang oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam dan larangan tersebut bermaksud haram pada setengah ulama dan setengah ulama pula berkata dengan makruh. Ali bin Abi Talib r.a berkata : "Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam melarang memakai cincin pada jari telunjuk dan jari tengah."

Hadith Riwayat Muslim. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam memakai cincin di jari kelingking tangan kiri sehingga baginda wafat. Inilah yang dipegang Imam Malek, Imam Syafi’e dan Imam Ahmad. Berdasarkan hadith daripada Anas bin Malek : “Adalah cincin Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dipakai pada tangan ini (Dan dia menunjukkan kepada kelingking jari kiri)”. (Hadith Riwayat Muslim)

 Disamping itu Ali bin Abi Talib berkata “Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah melarang saya memakai cincin pada jari telunjuk atau jari yang mengiringinya(jari tengah )”.( Hadith riwayat Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi dan An-Nasa’i)

Ijmak mengatakan bahawa adalah sunnah bagi orang lelaki memakai cincin di jari manis dan wanita di mana-mana jari sekalipun.Hikmahnya adalah jari manis itu terhindar daripada tugas yang mencabar lantaran kedudukannya di sebelah tepi. Makruh untuk seseorang lelaki memakai cincin di jari tengah. Batu permata yang haram ialah batu permata yg berbentuk patung, haiwan dan manusia.

Daripada Saidina Anas r.a dia berkata : “ Sesungguhnya cincin Baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam itu dibuat daripada perak dan batunya berwarna habasyi” ( Hadith diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud r.a) {Sila rujuk ‘AUNUL MA’ABUD SYARH SUNAN AL- IMAM ABU DAUD (RH), Oleh : Al-Imam Al-Muhaddist Abu Taiyyib Muhd Syamsul Haq al-‘Azim Abadi (rh), Jilid ke-11, ms 213 .Terbitan:Darul Fikr, Beirut 1995} . Erti “ habasyi “ di dalam hadith di atas ialah sejenis batu berwarna hitam yang dikenali sebagai ‘AQIQ . Selain itu suka saya nyatakan di sini , di antara batu- batu yang dijadikan sebagai perhiasan (batu) cincin itu ada yang mempunyai KHASIATNYA .

Ini merupakan salah-satu tanda-tanda kebesaran Allah SWT . Khasiatnya pula ada berbagai bergantung kepada jenis batu ataupun kayu yang dijadikan batu cincin itu . Ada diantaranya mampu (dengan izin Allah Ta’ala pastinya) merawat demam , menawarkan racun , menyejukkan tubuh . Ada pula yang digunakan dengan cara merapatkan batunya dengan jari si pemakainya agar terasa kesan (khasiat) batu itu , seperti ia mampu menstabilkan sistem dalaman badan seseorang . Itulah di antara khasiat batu cincin . Khasiat ini bukanlah satu perkara yang pelik dan bukanlah pula sesuatu yang ganjil memandangkan batu-batu cincin itu sendiri ada yang berasal daripada gali-galian bumi dan ada pula yang berasal daripada pokok-pokok yang berkhasiat . 


Wallahu taala a’lam

PEDOMAN MUKMIN - 19 Tanda-tanda Kematian Yang Mulia

19 TANDA-TANDA KEMATIAN YANG MULIA (Khusnul Khotimah)

Pertama:
Mereka yang dapat mengucapkan syahadah menjelang kematian sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis sahih, antaranya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang ucapan terakhirnya ‘Laa ilaaha illallah’, maka dia masuk syurga.” (Hadis Hasan)

Ke-2
Kematian yang disertai dengan basahnya dahi nya dengan keringat atau peluh berdasarkan hadis Buraidah bin Hushaib r.a: Dari Buraidah bin Khusaib r.a  bahawa ketika dia berada di Khurasan sedang menziarahi seorang sahabatnya yang sakit dia mendapatinya sudah meninggal tiba-tiba dahi nya berpeluh maka dia berkata: “Allahu Akbar!, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kematian seorang mukmin disertai peluh di dahinya.” (Hadis Sahih)

Ke-3:
Mereka yang (baik-baik dan soleh) meninggal dunia pada malam Jumaat atau siangnya berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah seorang Muslim yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah SWT melindunginya daripada seksa kubur.”

Ke-4
Meninggal dalam keadaan syahid di medan perang sebagaimana artinya: “Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah SWT mati, tetapi mereka hidup diberi rezeki di sisi Tuhan mereka. Mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah SWT kepada mereka dan memberi khabar gembira kepada orang yang belum mengikuti mereka di belakang janganlah mereka takut dan sedih. Mereka memberi khabar gembira dengan kenikmatan dari Allah SWT dan kurniaNya dan bahawa Allah SWT tidak mensia-siakan balasan bagi orang-orang beriman.” (QS Ali Imran:169-171)

Ke-5:
Mereka yang meninggal dunia ketika berjuang di jalan Allah SWT (bukan terbunuh) berdasarkan sabda Rasulullah SAW:“Barang siapa yang terbunuh di jalan Allah SWT syahid, barang siapa yang mati di jalan Allah SWT syahid, barang siapa yang mati kerana wabak taun syahid, barang siapa yang mati kerana penyakit perut syahid dan orang yang tenggelam syahid.”

Ke-6
Mati kerana satu wabah penyakit tahun berdasarkan beberapa hadis antaranya: Rasulullah SAW bersabda: “Wabah tahun adalah kesyahidan bagi setiap Muslim.”

Daripada Aisyah r.ha, ia bertanya kepada Rasulullah mengenai wabak taun. Rasulullah SAW menerangkan bahawa wabak taun itu adalah satu azab (bala) daripada Allah SWT yang dihantar kepada siapa yang dikehendakinya, dan Allah SWT menjadikannya sebagai rahmat bagi hambanya yang beriman. Maka seseorang (Mukmin) yang berada di daerah yang ditimpa wabak taun, dan terus tinggal di situ dan bersabar menghadapi bala itu serta mengetahui yang dia tidak akan terkena kecuali menurut apa yang telah ditentukan Allah SWT. Baginya pahala seperti pahala orang yang mati syahid.
 

Ke-7
Mereka yang mati kerana penyakit dalam perut berdasarkan hadis di atas.

Ke-8 dan ke-9:
Mereka yang mati kerana tenggelam dan terkena runtuhan berdasarkan sabda Nabi SAW: “Syuhada ada lima: yang mati kerana wabak taun, karena penyakit perut, yang tenggelam, yang terkena runtuhan dan yang syahid di jalan Allah SWT.”

Ke-10
Matinya seorang wanita dalam nifasnya disebabkan melahirkan anaknya: Dari Ubadah bin Shamit r.a bahawa Rasulullah SAW menjenguk Abdullah bin Rawahah r.a dan berkata: Beliau tidak berpindah dari tempat tidurnya lalu berkata: “Tahukah kamu siapa syuhada’ dari umatku?” Mereka berkata: “Terbunuhnya seorang Muslim adalah syahid.” Baginda berkata: “Jadi sesungguhnya para syuhada’ umatku, terbunuhnya seorang Muslim syahid, mati kerana wabak taun syahid, wanita yang mati kerana janinnya syahid (ditarik oleh anaknya dengan tali arinya ke syurga).”

Ke-11 dan ke-12
Mereka yang mati karena terbakar dan sakit bengkak panas yang menimpa selaput dada di tulang rusuk, ada beberapa hadis yang terkait yang paling masyhur: Dari Jabir bin ‘Atik dengan sanad marfu’: “Syuhada’ ada tujuh selain terbunuh di jalan Allah SWT: yang mati kerana wabak taun syahid; yang tenggelam syahid; yang mati kerana sakit bengkak yang panas pada selaput dada syahid; yang sakit perut syahid; yang mati terbakar syahid; yang mati terkena runtuhan syahid; dan wanita yang mati setelah melahirkan syahid.”

Ke-13
Mereka yang mati kerana sakit TB berdasarkan hadis: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Terbunuh di jalan Allah SWT syahid, wanita yang mati kerana melahirkan syahid, orang yang terbakar syahid, orang yang tenggelam syahid, dan yang mati kerana sakit TB syahid, yang mati kerana sakit perut syahid.” (Hadis Hasan)

Ke-14
Mereka yang mati kerana mempertahankan hartanya yang hendak dirampas. Dalam hal itu ada beberapa hadis di antaranya: Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya (dalam riwayat: barang siapa yang hartanya diambil tidak dengan alasan yang benar lalu dia mempertahankannya dan terbunuh,) maka dia syahid.”

Ke-15 dan ke-16
Mereka yang mati kerana mempertahankan agama dan dirinya: Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana keluarganya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana agamanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana darahnya syahid.”

Ke-17
Mereka yang mati dalam keadaan ribath (berjaga-jaga di perbatasan) di jalan Allah SWT. Ada dua hadis dalam hal itu salah satunya: Rasulullah SAW bersabda: “Ribath sehari semalam lebih baik dari berpuasa dan qiyamullail selama sebulan, dan jika mati maka akan dijalankan untuknya amalan yang biasa dikerjakannya, akan dijalankan rezekinya dan diamankan dari fitnah.”


Ke-18
Mati ketika melakukan amal soleh berdasarkan hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mengucapkan: ‘Laa ilaaha illallah’ mengharapkan wajah Allah SWT lalu wafat setelah mengucapkannya maka dia masuk syurga, barang siapa berpuasa satu hari mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga, barang siapa yang bersedekah dengan satu sedekah mengharapkan wajah Allah SWT lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga.”

Ke-19
Mereka yang dibunuh oleh penguasa yang zalim kerana memberi nasihat kepadanya: Rasulullah SAW bersabda: “Penghulu para syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan seseorang yang mendatangi penguasa yang zalim, lalu dia memerintahkan yang baik dan melarang dari yang mungkar lalu dia dibunuhnya.” Hadis dikeluarkan oleh Al-Hakim dan disahihkannya, dan Al Khatib.

Wallahu taala a’lam.


PEDOMAN MUKMIN - 10 Pesanan Allah SWT pada Nabi Musa a.s.

10 PESANAN ALLAH SWT KEPADA NABI MUSA A.S.

Abul-Laits Assamarqandi meriwayatkan kepada sanadnya dari Jabir binAbdillah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda : "Allah SWT telah memberikan kepada Nabi Musa bin Imran a.s. dalam alwaah 10 bab :
· Wahai Musa jangan menyekutukan aku dengan suatu apa pun bahawa aku telah memutuskan bahawa api neraka akan menyambar muka orang-orang musyrikin.

· Taatlah kepada-Ku dan kedua orang tuamu nescaya Aku peliharamu dari sebarang bahaya dan akan Aku lanjutkan umurmu dan Aku hidupkan kamu dengan penghidupan yang baik.

· Jangan sekali-kali membunuh jiwa yang Aku haramkan kecuali dengan hak nescaya akan menjadi sempit bagimu dunia yang luas dan langit dengan semua penjurunya dan akan kembali engkau dengan murka-Ku ke dalam api neraka.

· Jangan sekali-kali sumpah dengan nama-Ku dalam dusta atau durhaka sebab Aku tidak akan membersihkan orang yang tidak mensucikan Aku dan tidak mengagung-agungkan nama-Ku.

· Jangan hasad dengki dan irihati terhadap apa yang Aku berikan kepada orang-orang, sebab penghasut itu musuh nikmat-Ku, menolak kehendak-Ku, membenci kepada pembahagian yang Aku berikan kepada hamba-hamba-Ku dan sesiapa yang tidak meninggalkan perbuatan tersebut, maka bukan daripada-Ku.

· Jangan menjadi saksi terhadap apa yang tidak engkau ketahui dengan benar-benar dan engkau ingati dengan akalmu dan perasaanmu sebab Aku menuntut saksi-saksi itu dengan teliti atas persaksian mereka.

· Jangan mencuri dan jangan berzina isteri jiran tetanggamu sebab nescaya Aku tutup wajah-Ku daripadamu dan Aku tutup pintu-pintu langit daripadanya.

· Jangan menyembelih korban untuk selain dari-Ku sebab Aku tidak menerima korban kecuali yang disebut nama-Ku dan ikhlas untuk-Ku.

· Cintailah terhadap sesama manusia sebagaimana yang engkau suka terhadap dirimu sendiri.

· Jadikan hari Sabtu itu hari untuk beribadat kepada-Ku dan hiburkan anak keluargamu.

Kemudian Rasulullah SAW bersabda lagi : "Sesungguhnya Allah SWT menjadikan hari Sabtu itu hari raya untuk Nabi Musa a.s. dan Allah SWT memilih hari Juma'at sebagai hari raya untukku."


Waallahu taala a’lam


Monday 12 May 2014

PEDOMAN MUKMIN - Surah Fatehah Dalam Solat

SURAH FATEHAH DALAM SOLAT


Tahukah anda, semasa solat, wajib kita membaca Al-Fatihah dengan sebutan makhraj yang betul, tajwid yang betul, tartil yang betul, agar solat itu sah. Jika tidak, solat itu tidak sah. Selain rukun qauli yang wajib dipenuhi, iaitu wajib membacanya secara berlafaz, tidak sah solat jika dibaca berbisik, suara angin, atau dalam hati, sekurang2nya kena didengari oleh telinga sendiri, baru sah solat.



Pelik kenapa dah solat, tapi masih rasa tak sempurna, masih buat dosa berterusan, masih tak rasa tenang? Ini antara sebabnya. rasa solat sah, tapi sebenarnya tak sempurna.

Antara kebiasaan kesalahan yang dilakukan orang ramai:

1.  Huruf Ba pada Bismillah tidak berbunyi. Nak sebut suara perlahan punya pasal, disebut “...Ismillah hirrohma nirrohim"

2.  Huruf Hha pedas (
ح) pada rahman dan rahim tidak disebut Hha pedas, hanya sebut haa biasa (haa simpul) (ه).

3.  Tertukar pada BismilLAH, LAH tu dibaca Lam bertemu Hha pedas (
ح), sedangkan Lam bertemu Haa simpul (ـه). *Ingat eja Allah ialah alif lam lam ha

4.  Huruf Ro baris atas disebut Raa yg sangat jelas aaaa nya. sebutannya Rohman, bukan rahman, rahman ni ejaan rumi sebagai tanda ro tu baris di atas.

5.  Huruf Alif tak disebut semasa baca ayat kedua. "...Lhamdulillah..."

6.  Huruf Hha pedas (
ح) pada alHAMdu hanya dibaca haa biasa/simpul (ه).

7.  ..duLILLAH, tidak disabdukan LIL dengan LAH, hanya baca "Li-lah" sedangkan patutnya sabdu.

8.  Robbil 'AAlamin, huruf ain (
ع) dibaca alif, 'aa jadi aa (ا).

9.  Huruf ro tidak disabdukan pada aRRohmaaniRRohim. ramai orang baca "...a-rohmaani-rohim.." ini amat salah , sebab itu nama2 Allah. sepatutnya baca ARROHman dan ARROHim. Dan ramai tak baca huruf Hha pedas (
ح) tu betul2 pada Ro mati bertemu Hha, cuma baca macam Haa biasa/simpul. ROHH tu macam Ro pedas. Rohhhhhh, pekatkan hhhh tu.


10.  Huruf mim pada MAAlikiyau tidak dibaca dua harakat, ramai yg baca 1 harakat "...malikiyau...". Salah.

11.  Tidak mensabdukan huruf Dal pada miDDiin, sedangkan patutnya bersabdu.

12.  Ini ramai selalu sangat salah, tidak mensabdukan huruf Yaa pada iYYAkanaq buduwaiYYaa. sebutan yang betul ialah IY-YA, bukan I-YA atau EE-YA. Kena tekan sikit kat IY dan panjangnya dua harakat, bukan satu harakat.

13.  Huruf ain pada iyyakanAQ hanya disebut KANAK. salah. nun mati bertemu ain ya, bukan bertemu kaf.

14.  Selalu baca huruf dal dan wau pada buDUWA dengan 2 harakat, sedangkan 1 harakat sahaja. yg betul "...buduwaiyyaa...", bukan "...buDUU waiyya..." atau "....budu WAA iyya..."

15.  Huruf ain tak disebut dengan betul masa kanasta'IN. ramai sebut ia sebagai alif, ka nas ta in, ini salah.

16.  Pada Ihdinaussiro..., ramai baca nun mati bertemu sin, padahal nun mati bertemu sod. auss pada sebutan NAUS tu kena tekan sikit. Kalau kitab rumi lama, pengarang eja ia sebagai Ihdinaush-shiro. bukan suruh baca naush mati dengan syin, tapi supaya ditekankan sod tu.

17.  Sirootolmustaqim.. ramai baca huruf Ro tu hanya 1 harakat, sepatutnya 2 harakat.

18.  ...Mustaqim, patutnya QIM, bukan KIM, sebab huruf tu huruf Qof bukan Kaf.

19.  Sirootollazi... ramai sebut SI tu sebagai huruf sin, bukan huruf sod, padahal SSI tu patut ditekankan sikit sebab ia huruf sod. Huruf Ro patut panjang 2 harakat, ramai baca 1 harakat. laZI, huruf tu huruf dzai, bukan zzai, huruf dzai lembut bunyinya, di hujung lidah kita di belakang gigi.

20.  Na-an'am... ramai sebut AN tu huruf AIN, padahal ianya huruf alif, manakala ada juga sebut 'AM tu huruf alif, padahal ianya huruf ain. ada juga yg sebut ANA'AM. ni salah. jika hadapi kesulitan, dah usaha betulkan masih tak dapat juga,maka  jangan begitu jelas sangat bunyinya.

21.  Suka berhenti pada Ghairilmaghduu bi'alaihim. Tak boleh berhenti situ. kalau hendak berhenti, maka berhentilah  pada Na an'am ta'alaihim. Lepas itu sambung nafas baru pada Ghairil maghdu...

22.  Pada sebutan yg sama, tapi tak sebut huruf Gha, apabila mim mati bertemu Gha, sepatutnya maghdu, disebut makdu atau maqdu.

23.  bi'A laihim, ain disebut alif sedangkan ia huruf ain.

24.  Waladdoollin. pada Ladd tu disebut Lam mati bertemu dal, sedangkan ia bertemu dod. Kena tekan sikit pada dod tu. Lebih kurang begini ruminya, "Walaudd". kemudian DOOOLlin tak sampai 6 harakat, sedangkan wajib baca 6 harakat pada huruf dal bertemu sabdu Lam.

Dan banyak lagi kesalahan2 biasa. Harap anda ambil iktibar, perbaiki bacaan al-fatihah agar betul dan agar solat yang di tunaikan sah. Sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Jika ianya tak dapat mencegah kita, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan solat yang kita lakukan.

Wallahu ta'ala a'lam.

PEDOMAN MUKMIN - Panduan Dalam Kehidupan


LARANGAN TIDUR MENIARAP.
    Dari Abu Dzar r.a; beliau mengatakan , “Suatu hari Nabi SAW berjalan melewati ku dan waktu itu, aku sedang tidur meniarap ataupun tengkurap. Maka Baginda SAW pun membangunkan aku menggunakan kakinya dan berkata, “Hai Junaidip (panggilan Abu Dzar), sesungguhnya cara berbaring seperti ini adalah cara berbaring penghuni neraka”.(Hadith riwayat Ibnu Majjah)
    Rasulullah SAW pernah melihat ada seseorang berbaring diatas perutnya (meniarap/tengkurap), maka baginda berkata, “Sesungguhnya cara berbaring seperti ini di benci oleh Allah SWT”. (Hadith riwayat At Tirmidzi)


CARA MEMAKAI KASUT.
    Dari Aisyah r.ha, katanya Rasulullah SAW bersabda; “Kalau memakai kasut, pasang yang sebelah kanan terlebih dahulu, dan kalau membukanya, yang kiri terlebih dahulu. Jadinya yang kanan yang mula di pakai dan yang terakhir di buka”. (Sahih Bukhari)



AIR TERCEMAR OLEH LALAT.
     Dari Abu Hurairah r.a, katanya Nabi SAW bersabda; “Apabila lalat masuk dalam minuman kamu, hendaklah tenggelamkannya, kemudian dibuang lalat itu, kerana sesungguhnya salah satu sayapnya mengandungi penyakit dan satu lagi mengandungi ubat”. (Sahih Bukhari)

PENAWAR MUKMIN - Makanan Kegemaran Nabi Muhammad SAW.

Makanan Kegemaran Nabi Muhammad SAW.

Berikut adalah antara makanan-makanan kegemaran Nabi Muhammad SAW. Marilah kita sama-sama memakannya.

1.   BARLI
    Bagus untuk demam jika di rebus atau di buat sup.

2. KURMA
    Nabi berkata; rumah yang tidak mempunyai  kurma adalah seperti rumah                             yang tiada makanan.

3. BUAH TIN
    Buah dari Syurga, Boleh mengubati buasir.

 4.   ANGGUR
    Nabi suka buah anggur. Ia membersihkan darah, menguatkan pinggang dan                         membersihkan perut.

5. MADU
    Ia adalah makanan segala makanan, minuman segala minuman dan ubat segala                     ubat. Ia boleh mengubati cirit birit jika di bancuh dan di minum dengan air suam,               membuka  selera, menguatkan perut. Elok di minum di waktu pagi dengan air                     suam.

6. TEMBIKAI (Segala jenis)
    Nabi SAW berkata; wanita mengandung tidak akan gagal melahirkan anak yang                     baik dari segi karaktor wajahnya.

7.    SUSU
    Nabi SAW berkata; susu baik untuk membuang panas badan seperti tangan                         membuang peluh dari dahi. Ianya juga menguatkan belakang,memperbaikki otak,               memperbaharui  penglihatan mata juga membuang kelupaan.

8. CENDAWAN
    Baik untuk mata atau penglihatan. juga sebagai perancang keluarga.

9. MINYAK ZAITUN
    Baik untuk kulit dan rambut, melambatkan penuaan serta  merawat radang perut.

10. DELIMA
      Membersihkan tubuh dari syaitan dan bisikan syaitan selama 40 hari.

11.  CUKA
      Nabi SAW selalu meminumnya dengan minyak zaitun. (menjadi trend popular atau               ikutan di restoran-restoran di Itali)  
   
12. AIR
     Minuman terbaik. Jika dahaga, hendaklah diminum perlahan-lahan. Jangan di                    teguk terus kerana menyebabkan mudah sakit pada hati.