Friday, 15 August 2014

SUNNAH - KHASIAT MADU LEBAH MENURUT ISLAM

KHASIAT MADU LEBAH MENURUT ISLAM.

“Dan dari Tuhanmu mengilhamkan kepada lebah; buatlah sarang dibukit-bukit, di pepohonan kayu, dan di tempat (berhampiran) yang dibina manusia”.

“Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang berfikir”.( Surah An-Nahlu, ayat 68 dan 69)

Demikianlah betapa hebatnya ciptaan Allah SWT yang memberikan segala rahmat dan rahimNya kepada semua hamba manusia di muka bumi ini mengenai khasiat madu yang diperoleh dari lebah.

Malah pendapat ulama silam mentafsirkan bahawa antara sebab-sebab turunnya (asbabun nuzul) Surah An-Nahlu (lebah) adalah untuk manusia berfikir tentang pentingnya peranan madu di dalam membina kehidupan yang sihat, khususnya kepada para muslimin dan muslimat di seluruh dunia.

Sesungguhnya, firman Allah SWT itu telah dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang berkali-kali menyatakan bahawa madu adalah sangat baik untuk kesihatan, menyembuhkan penyakit, menguatkan ingatan minda dan membawa banyak khasiat lain.

Antaranya, sabda Rasulullah SAW;

“Barang siapa minum madu setiap bulan dengan niat melakukan nasihat Al-Quran, maka Allah SWT akan menyembuhkannya dari 77 penyakit”.

“Barang siapa ingin memiliki hafalan yang kuat hendaklah dia meminum madu”.

“Sebaik-baik minuman ialah madu kerana dia dapat menumpukan hati dan menghilangkan dingin yang ada di dalam dada”.

“Allah SWT telah meletakan berkat di dalam madu dan menjadikannya sebagai ubat dari rasa ngeri, dan madu telah didoakan oleh 70 Nabi”.

Menurut para sahabat pula, Rasulullah SAW sangat menggemari madu dan turut memberikan panduan kepada umat Islam mengenai khasiat yang tersembunyi di dalamnya.

Misalnya Sayyidina Ali r.a. berkata bahawa “Madu adalah ubat dari segala penyakit, tiada penyakit di dalamnya, ia dapat menghilangkan lendir dan membersihkan hati”.

Manakala Imam Ja’afar r.a. pula menjelaskan bahawa selain Al-Quran, madu merupakan ubat paling mujarab untuk menyihatkan badan.

Ilmuwan Islam terkenal Ibnu Sina, yang rasa terpanggil dengan firman Allah SWT untuk mengkaji kelebihan yang terdapat pada madu menemukan bukti secara saintifik mengenai khasiat yang terdapat di dalam cecair yang dihasilkan dari perut lebah itu.

Dari hasil kajiannya yang kemudiannya menjadi rujukan para sarjana dan pakar orientalis barat mendapati madu mampu menyembuhkan pelbagai penyakit ringan dan berat seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, demam, melancarkan peredaran darah, menurukan suhu badan dan banyak lagi.

Malah, Ibnu Sina sendiri mengamalkan meminum madu yang dikatakan memberikan padanya umur yang agak panjang dan awet muda sehingga ke akhir hayat.

Kitab Islam terkenal Tafsir Ibnu Kathir, menyatakan bahawa madu yang berwarna putih, keemasan dan kehitaman sangat sesuai untuk dijadikan santapan harian sama ada dicampur di dalam makanan atau minuman.

Begitulah kebijaksanaan dan rahmat yang diturunkan Allah SWT kepada manusia dan terserahlah kepada hamba-hambaNya untuk memilih sama ada mahu mengikut fitrah yang diberikan kepada mereka atau sebaliknya.

Namun, agak menyedihkan apabila ramai dikalangan kita yang lebih berminat untuk mengambil minuman gas ciptaan barat atau berkafien tinggi meskipun dibuktikan secara saintifik sebagai merbahaya kepada kesihatan manusia.

Alangkah indahnya sekiranya kita merujuk kepada fitrah Islam sebagai cara hidup seharian sementara menunggu saat bertemu dengannya di dalam kehidupan yang lebih abadi nanti.

Wallahu taala a’lam


SEJARAH - DUGAAN DAN CABARAN ULAMA TERSOHOR

DUGAAN DAN CABARAN ULAMA-ULAMA TERSOHOR.

Imam Syafie:
Tangan dan kakinya dirantai lalu dibawa menghadap pemerintah dan hampir-hampir dipancung kerana dituduh Syiah dan pemecah-belah masyarakat.

Imam Hanafi:
Ditangkap, dipenjara, disebat, disiksa dan dipaksa minum racun oleh pemerintah lalu meninggal dunia kerana tidak bersetuju dengan dasar-dasar pemerintah.

Imam Maliki:
Disebat dengan cemeti lebih kurang 70 kali sepanjang hayatnya oleh pemerintah kerana sering mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kehendak pemerintah.

Imam Hambali:
Dipenjara oleh pemerintah dan dirotan belakangnya hingga hampir terlucut kainnya kerana mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengan kehendak pemerintah. Pemerintah menganggap mereka lebih betul daripada ulama.

Sufyan Ath-Thauri:
Seorang wali Allah yang termasyhur. Ditangkap tanpa bicara kerana berani menegur kesalahan khalifah dan dihukum gantung tetapi sewaktu hukuman hendak dijalankan kilat dan petir menyambar pemerintah dan menteri-menterinya lalu mereka mati tertimbus tanah.

Said bin Jubair:
Seorang wali Allah yang dikasihi harimau. Dibunuh kerana didakwa memecah-belahkan masyarakat, menentang kerajaan dan berkomplot untuk menjatuhkan pemerintah.

Abu Yazid Al Bustami:
Wali Allah yang terkenal dengan pelbagai karamah. Dituduh sesat kerana ilmu agamanya lebih tinggi daripada pemerintah. Dihukum pancung oleh pemerintah tetapi tiada siapa berjaya memancungnya.

Abul Husin An Nuri:
Wali Allah yang mampu menundukkan api. Ditangkap dan hampir dihukum kerana dia menentang tindakan pemerintah yang membenarkan minuman arak berleluasa dalam negara.

Imam Nawawi:
Hampir-hampir dipukul dan telah dibuang negara oleh pemerintah kerana menegur tindakan pemerintah menyalahgunakan wang rakyat. Juga seorang wali Allah yang terkenal sepanjang zaman.

Wallahu taala a’lam

PENAWAR MUKMIN - 14 KEMULIAAN WANITA MUSLIMAH YANG HAMIL.

14 KEMULIAAN WANITA MUSLIMAH YANG HAMIL.
1. Apabila seorang perempuan mengandung dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah SWT mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

2. Apabila seorang perempuan mulai sakit hendak bersalin atau melahirkan, maka Allah SWT mencatatkan baginya pahala orang berjihad di jalan Allah SWT.

3. Apabila seorang perempuan melahirkan anak, hilanglah dosa-dosanya seperti keadaan ia baru dilahirkan.

4. Apabila telah lahir anaknya lalu disusuinya,maka bagi ibu itu setiap setegukan dari pada susunya diberi 1 kebajikan.

5. Apabila semalaman si ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah SWT memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah SWT.

6. Rakaat solat wanita yang sedang hamil adalah lebih baik dari pada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

7. Wanita yang memberi minum air susu (ASLI) kepada anaknya dari dirinya sendiri akan mendapat 1 pahala pada tiap-tiap titis susu yang diberikannya.

8. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anaknya yang sakit akan diampunkan oleh Allah SWT seluruh dosanya dan bila ia menghibur hati anaknya Allah SWT memberi 12 tahun pahala ibadah.

9. Wanita yang hamil akan dapat pahala terus berpuasa pada siang hari.

10. Wanita yang hamil akan dapat pahala terus beribadah pada malam hari.

11. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa, serta setiap kesakitan pada 1 uratnya Allah SWT mengkurniakan 1 pahala haji.

12. Sekiranya wanita mati di masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dianggap sebagai mati syahid.

13. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2-5 tahun), maka malaikat-malaikat dilangit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

14. Jika wanita memberi susu dirinya pada anaknya yang menangis, Allah SWT akan memberi pahala 1 tahun solat dan berpuasa.


* Betapa mulianya "status" wanita hamil, tentunya dengan jalan kehamilan yang  diredhai oleh Allah SWT, bukan dengan cara/jalan kehamilan yang tidak di sukaiNya.

Wallahu taala a’lam

CERITA - NABI IBRAHIM a.s - BURUNG PIPIT BANTU PADAMKAN API.

BURUNG PIPIT BANTU PADAMKAN API

NEGARA Babylon adalah negeri yang aman dan makmur. Raja yang memerintah negeri itu ialah Raja Namrud bin Kan'an. Negeri Babylon ini mempunyai tanah yang luas dan subur.
Raja Namrud memerintahkan rakyatnya mengukir patung-patung berhala. Mereka menganggap patung-patung itu adalah Tuhan.
Ketika itu, Nabi Ibrahim a.s. diutus untuk menyeru keluarganya dan kaumnya supaya meninggalkan penyembahan berhala. Tetapi mereka tidak mengendahkannya.
Akhirnya, Nabi Ibrahim a.s.pergi ke istana Raja Namrud. Baginda mahu menemui Raja Namrud dan pembesar-pembesarnya. Baginda mahu penyembahan berhala dihentikan. Raja Namrud dan pengikutnya tidak mengendahkannya.
Pada setiap tahun, rakyat Babylon akan menyambut perayaan secara besar-besaran. Pada hari tersebut mereka akan keluar menuju ke tempat perhimpunan. Ketika itulah Nabi Ibrahim a.s. menjalankan rancangannya.
Selepas mereka keluar menyambut perayaan, Nabi Ibrahim a.s.masuk ke tempat penyembahan mereka. Baginda memecahkan patung-patung berhala kecuali patung yang paling besar.
Kemudian baginda menggantungkan kapak tadi di leher patung yang paling besar itu.
Selepas itu pulanglah semua orang daripada menyambut perayaan. Mereka pergi ke tempat berhala itu untuk menyembahnya. Alangkah terkejutnya mereka apabila didapati semua tuhan-tuhan mereka telah hancur dan berselerakan di atas lantai.
Mereka mencari Nabi Ibrahim dan menangkapnya. Raja Namrud mahu Nabi Ibrahim dibawa ke hadapan orang ramai supaya menjadi saksi atas perbuatan jenayahnya. Raja Namrud memerintahkan Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup.
Raja Namrud memerintahkan seluruh rakyatnya mengumpul kayu-kayu. Setelah satu timbunan kayu api yang besar dilonggokkan, api pun dinyalakan. Nabi Ibrahim a.s. diikat dan diletakkan di atas pelontar lalu dicampakkan ke dalam api yang marak itu.
Ketika Nabi Ibrahim a.s.dibakar, burung-burung yang berterbangan juga menyaksikan peristiwa tersebut. Ada seekor burung pipit yang berasa kasihan melihat baginda yang dibakar hidup-hidup itu. Burung pipit itu mahu menolong Nabi Ibrahim a.s.
Burung pipit itu terbang mencari air. Ia menyedut dan menyimpan air tersebut di dalam paruhnya yang kecil itu. Burung-burung lain kehairanan melihat perlakuan burung pipit.
"Wahai pipit, apa yang engkau mahu lakukan?" tanya burung-burung yang lain.
"Aku mahu membantu Nabi Ibrahim a.s. Aku mahu padamkan api yang membakar Nabi Ibrahim," jawab burung pipit.
"Macam mana kamu mahu padamkan api itu. Kamu tidak mampu membawa air yang banyak. Paruh yang kamu ada itu kecil. Sia-sia saja usaha kamu itu," kata burung lain pula.
Walau bagaimanapun, burung pipit tidak berputus asa dan meneruskan usahanya untuk membantu Nabi Ibrahim a.s. Lalu ia membawa air yang disimpan di dalam paruhnya itu ke arah api yang marak. Dengan izin Allah SWT, api yang marak itu semakin berkurangan. Itu sahaja yang ia mampu untuk membantu Nabi Ibrahim a.s. Walaupun sedikit sahaja pertolongannya, ia berpuas hati. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu Nabi Ibrahim a.s.
Setelah kayu-kayu itu menjadi bara, maka orang ramai menghampiri unggun api yang telah menjadi bara. Burung pipit itu berasa gembira. Keyakinan burung pipit terhadap kekuasaan Allah SWT semakin kuat dan terbang dengan penuh kesyukuran.
Orang ramai yang berada di situ berasa terkejut apabila melihat Nabi Ibrahim a.s keluar daripada bara api itu seperti sediakala. Badannya sedikitpun tidak melecur.


Wallahu Taala a’lam

SUNNAH - CARA DIET RASULULLAH SAW

CARA MAKAN IKUT SUNNAH RASULLULAH.

Ini adalah cara diet Rasullulah SAW. Rasullulah SAW tidak pernah sakit perut sepanjang hayatnya kerana pandai menjaga makanannya hari-hari. Berikut antara panduan Rasulullah SAW untuk kebaikkan diri kita:

Jangan makan SUSU bersama DAGING.
Jangan makan DAGING bersama IKAN.
Jangan makan IKAN bersama SUSU.
Jangan makan AYAM bersama SUSU.
Jangan makan IKAN bersama TELUR.
Jangan makan IKAN bersama DAUN SALAD.
Jangan makan SUSU bersama CUKA.
Jangan makan BUAH bersama SUSU CONTOH: COCKTAIL.

Wallahu taala a’lam

CERITA - NABI MUSA a.s - DOSA LEBIH BESAR DARI ZINA

Suatu Senja, seorang wanita melangkah mendekati kediaman Nabi Musa a.s. Setelah mengucapkan salam, dia masuk sambil terus menunduk. Air matanya berderai tatkala berkata,

“Wahai Nabi Allah, tolonglah saya. Doakan agar Allah SWT mengampuni dosa keji saya”.

“Apakah dosamu wahai wanita?” Tanya Nabi Musa.

“Saya takut mengatakannya” jawab wanita itu.

“Katakanlah, jangan ragu-ragu!” desak Nabi Musa.

Maka perempuan itu pun dengan takut bercerita, “Saya telah berzina”.

Kepala nabi Musa terangkat, hatinya tersentak.

“Dari perzinaan itu saya hamil. Setelah anak itu lahir, saya cekik lehernya hingga dia mati” lanjut perempuan itu lalu menangis.

Mata Nabi Musa berapi-api. Dengan muka yang berang dia mengherdik, “Perempuan celaka, pergi dari sini. Agar siksa Allah tak masuk ke dalam rumahku. Pergi!” teriak Nabi Musa sambil berpaling kerana jijik.

Hati perempuan itu bagaikan hancur luluh. Dia menangis tersedu-sedu dan keluar dari Rumah Nabi Musa a.s. Ia tak tahu harus ke mana lagi mahu mengadu. Bahkan dia tak tahu ke mana harus melangkah pergi. Apabila seorang Nabi pun menolaknya, bagaimana manusia lain akan menerimanya.

Sepeninggalnya, Malaikat Jibril a.s. turun mendatangi Nabi Musa a.s. Jibril lalu bertanya, “Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu dosa yang lebih besar dari itu?”

Nabi Musa terperanjat. “Dosa apakah yang lebih besar dari kekejian wanita pezina dan pembunuh itu?. Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan yang hina itu?” tanya baginda.

“Ada!” jawab Jibril dengan tegas. “Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar daripada seribu kali berzina”.


Mendengar penjelasan ini Nabi Musa a.s. memanggil wanita tadi, lalu berdoa memohon keampunan kepada Allah. Nabi Musa a.s. menyedari, orang yang meninggalkan solat dengan sengaja tanpa penyesalan adalah seakan menganggap remeh perintah Allah SWT. Sedangkan bertaubat dan menyesali dosa dengan sungguh-sungguh bererti masih mempunyai iman di dadanya dan yakin Allah SWT itu ada.

Wallahu Taala a’lam

IKTIBAR UNTUK MUKMIN - 12 AZAB MENINGGALKAN SOLAT.

12 AZAB BAGI MEREKA YANG MENINGGALKAN SOLAT.

Dalam sebuah hadith menerangkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

"Barangsiapa yang mengabaikan solat secara berjemaah maka Allah SWT akan mengenakan 12 tindakan yang merbahaya ke atasnya".

Tiga darinya akan dirasainya semasa di dunia ini antaranya:

• Allah SWT akan menghilangkan berkat dari usahanya dan begitu juga terhadap rezekinya.
• Allah SWT mencabut nur orang-orang mukmin daripadanya.
• Dia akan dibenci oleh orang-orang yang beriman.

Tiga macam bahaya adalah ketika dia hendak mati, antaranya:

• Ruh dicabut ketika dia di dalam keadaan yang sangat haus walaupun ia telah meminum seluruh air laut.
• Dia akan merasa yang amat pedih ketika ruh dicabut keluar.
• Dia akan dirisaukan akan hilang imannya.

Tiga macam bahaya yang akan dihadapinya ketika berada di dalam kubur, antaranya:

• Dia akan merasa susah terhadap pertanyaan malaikat mungkar dan nakir yang sangat menggerunkan.
• Kuburnya akan menjadi cukup gelap.
• Kuburnya akan menghimpit sehingga semua tulang rusuknya berkumpul (seperti jari bertemu jari).

Tiga lagi azab nanti di hari kiamat, antaranya:

• Hisab ke atasnya menjadi sangat berat.
• Allah SWT sangat murka kepadanya.
• Allah SWT akan menyiksanya dengan api neraka.

Wallahu taala a’lam

PENAWAR MUKMIN - 10 PETUA KEHIDUPAN

10 PETUA KEHIDUPAN.

Ingatlah 10 Petua Kehidupan ini sepanjang masa. Tatkala ayahanda dan bonda tiada, 10 petua ini boleh membantu kamu menempuh cabaran dunia Allah SWT untuk mencapai kecemerlangan di akhirat.

1. Jangan jauh dengan Allah SWT. Dekati Allah SWT dengan membaca Al Quran sekurang-kurangnya 3 hari sekali.

2. Jaga air liur. Cakap, dengar dan baca perkara baik selalu supaya air liur yang dihasilkan adalah baik dan ditelan selalu. Mengumpat dan perkataan ‘cuba’ adalah racun yang menjurus kepada perasaan negatif.

3. Perkara lepas biarlah ia berlepas supaya ia tidak mengganggu masa depan.

4. Tidak perlu menyibuk dengan pandangan orang lain.

5. Jangan selalu ingat masih ada banyak masa. Ingat mati tiada syarat tua, mati juga tiada syarat sakit.

6. Jangan fikir terlalu banyak. Memang ada jawapan yang kita tidak akan ketahui. Tapi jawapan akan datang secara tidak sedar.

7. Tiada orang yang boleh mengawal minda kamu, selain kamu. Sepertimana kegembiraan dan kesedihan kamu.

8. Sentiasa memberi tanpa mengharapkan pulangan. Kamu akan mengecapi nikmat terbesar sebagai seorang manusia dan mengerti perbuatan memberi akan mendatangkan pahala dan kegembiraan terbesar di hati.

9. Jangan fikir terlalu banyak dan kurangkan berenung. Buat sahaja apa yang patut tanpa putus asa. Jangan menghina Allah SWT dengan menyatakan kegagalanmu adalah takdir-Nya tatkala kamu malas, kurang berusaha dan mudah berputus asa.

10. Senyum selalu. Bukan kamu seorang sahaja yang ada masalah. Dan sebenarnya masalah kamu cumalah mainan minda kamu. Yang ada hanyalah cabaran sementara.


Wallahu taala a’lam

IKTIBAR UNTUK MUKMIN - 10 GOLONGAN MANUSIA DI HALAU DI MAHSYAR.

10 GOLONGAN MANUSIA YANG DI HALAU DI MAHSYAR.

1. Mereka diusir berupa kera. Mereka adalah manusia yang suka mengadu domba.

2. Mereka diusir berupa babi. Mereka adalah manusia yang suka memakan barang yang haram.

3. Mereka dihalau dalam keadaan terbalik kaki di atas dan kepala di bawah. Mereka adalah dari golongan yang suka berdusta.

4. Mereka dihalau dalam keadaan bisu dan pekak serta tidak berakal. Mereka adalah dari golongan yang riak bangga diri dan sombong.

5. Mereka dihalau dalam keadaan menguyah lidah sendiri sedang lidahnya itu
menjulur ke bawah sampai ke dadanya dan dari mulutnya keluar nanah yang
menjijikkan. Mereka adalah ahli pidato yang ucapannya berlainan dengan
perilakunya.

6. Mereka dihalau dalam keadaan tersalib di pohon kurma dari neraka. Mereka adalah manusia yang berusaha mengajak orang ramai untuk menyokong pemimpin yang tidak jujur.

7. Mereka dihalau dalam keadaan terpotong tangan dan kakinya. Mereka adalah
orang-orang yang mengganggu jiran-jiran.

8. mereka dihalau dalam keadaan buta. Mereka adalah dari golongan yang curang dalam menetapkan hukum.

9. Mereka dihalau dalam keadaan busuknya lebih busuk daripada bau bangkai.
Mereka adalah orang yang gemar melepaskan nafsu syahwat dan menolak perkara wajib seperti zakat, puasa, solat, ... tidak menjalankan kerja dakwah dan sebagainya.

10. Mereka dikumpulkan dalam keadaan memakai pakaian besi yang panas. Mereka ini adalah manusia yg syirik kepada Allah SWT.

Wallahu taala a’lam

SUNNAH - MAKAN MENURUT SUNNAH RASULULLAH SAW.

CARA RASULULLAH SAW MAKAN DENGAN PENUH HIKMAH.
Rasulullah SAW memulakan makan dengan menyebut “Bismillah”
Dari 'Aisyah r.ha. berkata: Rasulullah SAW bersabda, "Apabila seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (yakni: 'Bismillah' ). Jika dia terlupa menyebut nama Allah pada awal (mula makan), maka sebutlah 'Bismillahi awwalahu wa akhirahu' (Dengan nama Allah yang memulai dan yang mengakhiri)". (Hadith Riwayat Abu Dawud dan At Tirmidzi)


Dari 'Amr bin Abu Salamah r.a., katanya: "Rasulullah SAW bersabda kepadaku: "Ucapkanlah Bismillah dan makanlah dengan tangan kananmu serta makanlah dari makanan yang ada di dekatmu". (Hadith Muttafaq 'alaih)

Dari Umayyah bin Makhsyi As-Shahabi r.a., katanya: "Rasulullah SAW (pada suatu ketika) duduk di situ ada seorang lelaki yang makan lalu tidak mengucapkan Bismillah, sehingga makanannya tidak tertinggal melainkan sesuap saja. Setelah orang itu mengangkatkan sesuatu yang tertinggal tadi di mulutnya, tiba-tiba dia mengucapkan: “Bismillahi awwalahu wa akhirahu”. Kemudian Nabi SAW ketawa lalu bersabda: “Tidak henti-hentinya syaitan tadi makan bersama orang itu. Tetapi setelah dia ingat untuk mengucapkan nama Allah (yakni setelah membaca Bismillah), maka syaitan tadi memuntahkan seluruh makanan yang telah ada dalam perutnya”. (Hadith Riwayat Abu Dawud dan Nasa'i)

Dari Aisyah r.ha., katanya: "Rasulullah SAW (pada suatu ketika) hendak makan sesuatu makanan bersama enam orang sahabat-sahabatnya. Lalu datanglah seorang Arab (penghuni pedalaman negeri Arab), kemudian makan makanan itu dalam dua kali suap saja. Rasulullah SAW lalu bersabda: "Sesungguhnya saja andaikata orang ini suka membaca Bismillah (sebelum makannya tadi) nescaya makanan itu dapat mencukupi engkau semua pula (kerana adanya keberkahan dalam makanan itu)". (Hadith riwayat oleh Imam Tirmidzi)

Membaca Bismillah sebelum makan insyaallah boleh mengelakkan penyakit. Kerana bakteria dan racun ada membuat perjanjian dengan Allah SWT, apabila Bismillah dibaca maka bakteria dan racun akan musnah dari sumber makanan itu.

1.Baca doa sebelum makan

Maksudnya : "Ya Allah berkatilah kami pada apa yang telah Engkau rezekikan kepada kami dan jauhkanlah kami dari azab neraka".


2.Gunakan tangan kanan (tangan kiri dilarang)

Dari Salamah bin al-Akwa' r.a., seorang lelaki sedang makan dengan tangan kirinya berhampiran dengan Rasulullah SAW. Maka Baginda berkata: "Makanlah dengan tangan kananmu". Lelaki itu berkata: "Aku tak boleh". Baginda menjawab, "Engkau tidak boleh? Tidaklah yang menghalangnya kecuali sifat bongkak!! Kemudian tidak dapat diangkat tangannya ke mulut". (Hadith Riwayat Muslim)

Dari Jabir r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Jangan engkau makan dengan (tangan) kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan) kirinya". (Hadith Riwayat Muslim)


3.Makan garam secubit sebelum makan

Mengikut cara Rasulullah SAW sebelum baginda makan, Baginda SAW akan mengambil sedikit garam menggunakan jari kecilnya, lalu Rasullah SAW akan menghisap garam itu.

Kemudian barulah Rasulullah makan makanan tersebut. Mengapa?

Kerana kedua belah tangan kita ada mengeluarkan 3 macam enzim, tetapi konsentrasi di tangan kanan kurang sedikit dari yang kiri. Ini adalah kerana enzim yang ada di tangan kanan itu merupakan enzim yang dapat menolong proses penghadaman (digestion), ia merupakan proses pertama penghadaman.

Mengapa menghisap garam?

Kerana garam adalah sumber mineral dari tanah yang diperlukan oleh badan kita. Dua cecah garam dari jari kita itu adalah sama dengan satu liter air mineral. Kita berasal dari tanah maka lumrahnya bahan yang asal dari bumi (tanah) inilah yang paling berkhasiat untuk kita.

Kenapa garam? Selain dari sebab ia adalah sumber mineral, garam juga adalah penawar yang paling mujarab bagi keracunan. Mengikut Dr, di hospital-hospital, kaedah rawatan mula-mula bagi keracunan adalah dengan memberi Sodium Chloride, iaitu GARAM. Garam juga dapat menghalang sihir dan makhluk-makhluk halus yang ingin mengganggu manusia.

1.Mula makan dari tepi (pinggir)

Dari Ibn Abbas r.a., Nabi SAW bersabda: "Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah". (Hadith Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi)


2.Makan yang berhampiran.

Sabda Rasulullah SAW: "Dan makanlah dari apa-apa yang ada di dekatm". (Hadith Muttafaq 'alaih)

Dari Umar bin Abi Salamah r.a. berkata, aku merupakan hamba di rumah Rasulullah SAW, dan pernah tanganku menjalar-jalar ke serata hidangan (ketika hendak makan). Maka Rasulullah SAW berkata: "Wahai budak, ucapkan 'Bismillah', makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang hampir denganmu". (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)


3.Galakan guna tiga jari.

Dari Ka'ab bin Malik r.a., "Aku melihat Rasulullah SAW makan menggunakan tiga jari..(ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah)". (Hadith Riwayat Muslim)


4.Kunyah makanan banyak kali (40 Kali)

Rasulullah SAW akan mengunyah sebanyak 40 kali untuk membiarkan makanan itu betul-betul lumat agar perut kita senang memproses makanan itu.


5.Larangan mencela makanan dan sunat memuji makanan

Dari Abu Hurairah r.a. berkata: "Tidak sekali-kali Rasulullah SAW mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan". (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Jabir r.a. bahawasanya Nabi SAW meminta lauk pauk kepada keluarganya, lalu mereka berkata: "Tidak ada yang kita punyai melainkan cuka. Baginda SAW lalu memintanya dan mulailah beliau makan serta bersabda: "Sebaik-baik lauk pauk ialah cuka, sebaik-baik Iauk pauk ialah cuka". (Riwayat Muslim)

6.Makruh bersandar ketika makan

Dari Abu Juhaifah iaitu Wahab bin Abdullah r.a., katanya: "Rasulullah SAW bersabda: "Aku tidak pernah makan sambil bersandar (muttaki')". (Hadith Riwayat Bukhari)

Al-Khaththabi berkata: Almuttaki' di sini ialah orang yang duduk sambil bersandar pada alas sandaran yang diletakkan di bawahnya." Katanya: "Orang itu bukannya berkehendak akan duduk di atas alas sandaran atau bantal-bantal seperti kelakuan orang yang menghendaki untuk memperbanyakkan makanan, tetapi dia duduk tegak lurus dan tidak bersandar, juga makannya itu secukupnya belaka. Inilah yang diucapkan oleh al-Khaththabi.

Selain Al-Khaththabi mengisyaratkan bahawasanya muttaki' ialah orang yang miring duduknya pada bahunya yang sebelah.

Dari Anas r.a., katanya: "Saya melihat Rasulullah SAW makan kurma sambil duduk berjongkok". (Hadith Riwayat Muslim)

Almuq'i atau duduk berjongkok itu ialah merapatkan kedua punggungnya ke bumi dan mendirikan kedua betisnya.

Maka kandungan dari hadith larangan makan sambil bersandar di atas, adalah sunnah makan sedikit dan tidak melampaui batas yang diperlukan, tawadhu' ketika makan dan tidak boleh menyerupai orang kafir, serta dilarang makan sambil bersandar.

Dari Anas r.a dia berkata, "Aku pernah menyaksikan Rasulullah SAW duduk bertinggung sambil makan kurma". (Hadith Riwayat Muslim)

Maka diperbolehkan makan sambil duduk bertinggung.

7.Kutip makanan yang terjatuh.

Dari Jabir r.a., Sabda Rasulullah SAW, "Apabila jatuh sebahagian (kecil) makanan seorang dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena kotoran dan makanlah ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan, dan jangan dia menyapu tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat keberkatan". (Hadith Riwayat Muslim)

8.Jilat jari setelah selesai

Dari Ibn Abbas r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Apabila seorang daripada kamu telah selesai makan makanan, maka jangan disapu jari-jari sehingga dijilat (terlebih dahulu) atau menyuruh orang lain melakukannya". (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Ka'ab bin Malik r.a., katanya: "Saya melihat Rasulullah SAW makan dengan menggunakan tiga jari. Kemudian setelah beliau selesai lalu menjilatinya". (Hadith Riwayat Muslim)

Dari Jabir r.a. bahawasanya Rasulullah SAW menyuruh untuk menjilati jari-jari dan piring dan beliau bersabda: "Sesungguhnya engkau semua tidak mengetahui di makanan yang manakah terletaknya keberkahan itu". (Riwayat Muslim)


9.Doa selepas makan

Dari Abi Umamah r.a., "Adalah Nabi SAW apabila selesai makan menyebut, 'Alhamdulillahi katsiran toyyiban mubarakan fih, ghaira makfiyyin wa la muwaddi'in'. wa la mustaghnan 'anhu rabbana' ".(Hadith Riwayat Bukhari)

Maksudnya : "Sebanyak-banyak pujian bagi Allah pujian yang elok lagi berkat, tiada yang lebih baik, tempat berserah yang paling baik, yang paling kaya daripadaNya iaitu Tuhan kami".

Dari Muad bin Anas r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang selesai makan, kemudian menyebut, 'Alhamdulillah- illazi ath'amani haaza, wa razaqanihi min ghairi haulin minni wa la quwwatin', akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu". (Hadith Riwayat Tirmidzi)

Maksudnya : "Segala puji bagi Allah yang memberiku makan makanan ini dan memberi rezeki daripadanya tanpa daya dan upaya dariku".



10.Meramaikan orang untuk makan bersama

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah SAW bersabda: "Makanan untuk dua orang itu dapat mencukupi tiga orang sedang makanan untuk tiga orang itu dapat mencukupi empat orang". (Hadith Muttafaq 'alaih)

Dari Jabir r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Makanan untuk seorang itu dapat mencukupi dua orang dan makanan dua orang itu dapat mencukupi empat orang, sedang makanan empat orang itu dapat mencukupi lapan orang". (Hadith Riwayat Muslim)


11.Galakan bercakap

Dalam al-Adzkar, Imam Nawawi mengatakan, “Dianjurkan berbicara ketika makan. Berkenaan dengan ini terdapat sebuah hadits yang dibawakan oleh Jabir r.a. sebagaimana yang telah kami kemukakan dalam “Bab memuji makanan”. Imam Abu Hamid Al-Ghazali dalam kitab Al-Ihya mengatakan bahawa termasuk etika makan ialah membicarakan hal-hal yang baik sambil makan, membicarakan kisah orang-orang yang shalih dalam makanan”. (Al-Adzkar hal 602)

Menurut Al-Hafidz dan Syeikhul Islam Ibn Al-Qayyim, pendapat yang benar ialah Nabi SAW bercakap dan berbual semasa makan. Dalam kitabnya AlZaad (2/397), ada kalanya Nabi bertanya apakah menu pada hari ini dan memuji menu tersebut.  (Hadith Riwayat Muslim), ada kala Nabi SAW mengajar adab dan susila makan kepada kaum keluarganya (Hadith Riwayat Al Bukhari) dan ada ketika Nabi sentiasa menggalakkan tetamu beliau supaya menambah lauk-pauk dan minuman (Hadith Riwayat Al Bukhari). Adalah tidak benar meja makan menjadi tempat yang kaku dan senyap sepi dari perbualan.Tetapi, jangan sampai bercakap itu apabila makanan penuh di dalam mulut.

Wallahu taala a’lam