KEMANAKAH PERGI AIR MANDIAN JENAZAH RASULULLAH SAW.
Kisah yang sangat
mengagumkan berkenaan Syeikh Mutawalli Sya’rawi Rahimahullah Pada masa dahulu,
suatu muktamar Islam yang menghimpunkan para ulama muslimin telah dijalankan
dalam tempoh selama seminggu. Syeikh Sya’rawi adalah di antara tokoh ulama
Mesir yang dijemput untuk menghadiri muktamar tersebut.
Pada hari pertama
muktamar, Syeikh Sya’rawi telah melihat pada diri pengerusi muktamar tersebut
yang juga merupakan seorang ulama suatu perubahan besar dari segi keilmuannya
dan makrifah yang tidak ada pada masa-masa sebelumnya. Lalu, Syeikh bangun
menuju ke podium dan berkata, “Aku akan mengajukan suatu soalan kepada kamu dan
aku inginkan jawapannya. Soalannya ialah : Ke manakah perginya air mandian
jasad Rasulullah SAW?”. Iaitu yang dimaksudkan beliau ialah air yang digunakan
ketika dimandikan jenazah Baginda SAW.
Akan tetapi apabila
soalan itu diajukan, tidak ada sesiapa yang menjawabnya. Semua orang senyap dan
berdiam diri kerana tidak tahu akan jawapannya. Pengerusi muktamar itu juga
merasa sangat terkejut dengan soalan tersebut dan mengatakan dalam dirinya,
“Bagaimana aku tidak mengetahui akan jawapan soalan ini?”. Lalu beliau
mengambil jalan keluar daripada persoalan ini dengan mengatakan, “Berikan kami
peluang masa, kami akan jawab soalan kamu pada pertemuan esok insyaAllah”.
Maka beliau pun
pulang ke rumahnya dan tidak melakukan apa-apa selain daripada terus memasuki
perpustakaan khasnya untuk mencari, meneliti dan membelek kitab-kitab bagi
mencari jawapan kepada persoalan itu. Beliau telah menghabiskan masa yang lama
dalam pencariannya, hingga diselubungi keletihan dan akhirnya terlelap tidur di
atas kitab yang dibacanya.
Ketika ulama itu
tidur, Rasulullah SAW telah datang bertemunya dalam mimpi dan bersama baginda
seorang lelaki yang memegang sebuah lampu pelita. Maka dengan segera beliau
menuju kepada Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, ke manakah perginya
air mandian jasadmu?”. Lalu Baginda SAW mengisyaratkan kepada lelaki pemegang
lampu pelita yang berada di sisinya (supaya menjawab soalan itu). Kemudian
lelaki itu pun menjawab, “Air mandian Rasulullah SAW menyejat naik ke langit
dan kemudian turun ke bumi dalam bentuk hujan. Setiap titisannya yang jatuh ke
bumi, dibina di tempat itu masjid”.
Maka, terjagalah
beliau daripada tidurnya dalam keadaan yang sangat gembira kerana telah
mengetahui jawapan kepada persoalan tersebut.
Keesokkan harinya,
pengerusi muktamar itu hadir untuk hari kedua dan menunggu persoalan yang telah
dilontarkan oleh Syeikh Sya’rawi untuk diutarakan semula. Akan tetapi Syeikh
tidak bertanya. Di hujung muktamar pada hari kedua, akhirnya beliau bangun dan
berkata kepada Syeikh Sya’rawi, “Kelmarin kamu telah bertanyakan satu soalan.
Adakah kamu ingin mengetahui jawapannya?”.
Syeikh berkata :
“Adakah kamu mengetahui jawapannya?”.
Beliau menjawab :
“Ya”.
Syeikh bertanya :
“Maka ke manakah perginya air mandian Rasulullah SAW?”.
Beliau menjawab :
“Air mandian Rasulullah SAW menyejat naik ke langit dan kemudian turun ke bumi
dalam bentuk hujan. Setiap titisannya yang jatuh ke bumi, dibina di tempat itu
masjid”.
Syeikh bertanya
lagi : “Bagaimana kamu mengetahuinya?”.
Beliau menjawab :
“Rasulullah SAW telah datang kepadaku dalam mimpi (memberitahukan jawapannya)”.
Syeikh berkata :
“Bahkan seorang lelaki yang memegang lampu pelita yang menjawab kepada kamu”.
Maka ulama itu
terus merasa terperanjat dan terpegun, lalu bertanya, “Bagaimana kamu
mengetahui perkara itu?”.
Lalu Syeikh
Sya’rawi menjawab bahawa beliaulah lelaki yang memegang lampu pelita yang
berada di sisi Rasulullah SAW dalam mimpi ulama itu.
Peristiwa ini telah
memberikan kesan yang cukup mendalam kepada para hadirin dalam muktamar
tersebut dan memeranjatkan semua orang. Hal ini menunjukkan kedudukan maqam
yang tinggi beliau di sisi Allah Taala dan RasulNya.
Kisah ini
diceritakan sendiri oleh ulama yang menjadi pengerusi muktamar itu.
Wallahu taala a’lam
No comments:
Post a Comment