7 PERKARA GANJIL PADA JENAZAH-JENAZAH.
Terdapat seorang pemuda yang kerjanya
menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda
tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan
keinginan untuk bertaubat kepada Allah SWT. Dia berkata, "Sepanjang aku
menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil
yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas
perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat".
"Yang pertama, aku lihat mayat yang
pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya
pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa
terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu. "Wahai anak
muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah SWT sewaktu hidupnya.
Lantaran Allah SWT menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari
mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain",
jawab ahli ibadah tersebut.
Sambung
pemuda itu lagi, "Golongan yang
kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan
ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku
lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai
tuan guru?" Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai anak muda, mereka
itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya.
Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna
solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain".
Pemuda itu
menyambung lagi, "Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang
mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada
waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu
banyak daripada perutnya itu". "Mereka itulah golongan yang gemar
memakan harta yang haram, wahai anak muda", balas ahli ibadah itu lagi.
"Golongan keempat, ku lihat mayat
yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi
begitu, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah itu", Wahai pemuda,
itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya.
Sesungguhnya Allah SWT sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai
ibu bapanya".
"Golongan kelima, ku lihat ada pula
mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan
keluar segala isi dari tubuh badannya", sambung pemuda itu. " Anak
muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa
hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih
daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda, bahawa sesiapa yang
tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda",
jelas ahli ibadah tersebut.
"Wahai
guru, golongan yang keenam yang
aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku
menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya
dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya," " Wahai pemuda, itulah
golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah
tadi.
"Wahai
guru, golongan yang terakhir yang
aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa
demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah
tersebut, " Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan
mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang
beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah SWT baik sewaktu hayatnya mahupun
sesudah matinya".
Ingatlah,
sesungguhnya daripada Allah SWT kita datang dan kepadaNya jualah kita akan
kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan,
hatta amalan sebesar zarah.
Wallahu taala a'lam
No comments:
Post a Comment