Thursday, 30 January 2014

MALAIKAT - Bidadari Syurga

BIDADARI SYURGA

Di dalam Al Quran mahu pun hadith, dapat kita temui beberapa keterangan mengenai sifat-sifat bidadari yang berada di syurga. Mereka berkulit putih bersih dan bermata jeli. Orang yang beriman dan beramal soleh akan dikahwinkan dengan bidadari dalam syurga sebagai ganjaran perbuatan baik mereka. Bidadari berkenaan tidak dapat dibayangkan keindahan dan kecantikannya, begitu juga tidak dapat dilukiskan dengan tinta ataupun diukir di atas permata.
     
       Sukar bagi kita membayangkan bentuk tubuh atau pun kesempurnaan fizikal para bidadari sehinggakan Rasulullah SAW bersabda mengenai kecantikan dan kesempurnaan bidadari:
      “Kalau sekiranya perempuan ahli syurga datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan dipenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik dari dunia dan seisinya”. (Hadith riwayat Bukhari)
      
      Orang mukmin yang berjaya masuk syurga akan dikahwinkan dengan bidadari yang bermata jeli, bagaikan mutiara yang bercahaya, sebagaimana firman Allah SWT: “Dan orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai, kekal mereka di dalamnya. Mereka mempunyai isteri-isteri yang suci dan Kami masukkan ke tempat yang teduh lagi nyaman”.
      
      Tempat yang teduh lagi nyaman adalah khemah besar di mana bidadari berkumpul. Mereka menantikan kedatangan calon suami dengan menyanyikan lagu rindu bagaikan orang yang mabuk cinta. Wajah mereka bercahaya seolah-olah bulan purnama. Mata mereka hitam pekat bagaikan mata bayi yang baru dilahirkan ,bahkan lebih jernih dan lebih bercahaya. Setiap kali bidadari itu mendendangkan lagu pujaan yang menyebut-nyebut calon suami mereka di syurga, setiap kali itu jugalah pula bangkit nafsu cemburu mereka.
      
      Sesetengah riwayat menyebutkan, ketika lelaki soleh yang dimasukkan ke dalam syurga dan melintasi kawasan perkhemahan di mana para bidadari berkumpul, maka mereka akan menyambut kedatangan suami mereka dan mengabdikan sepenuh jiwa dan raga kepadanya.
      
      Para bidadari akan melayani sepenuhnya keinginan suaminya bahkan menggoda supaya suaminya terus bermesra dengannya. Bidadari yang diciptakan Allah SWT merupakan sebesar-besar nikmat yang tidak terhingga di syurga.
      
      Pada hari pertama di mana orang mukmin dimasukkan ke syurga, mereka akan disambut oleh senyuman dan kemesraan bidadari dengan taman emas, kolam yang tenang, mata air yang memancar bagaikan sinar matahari pagi dan kebun buah-buahan yang pelbagai jenis; ada yang berwarna merah darah, biru laut, kuning, putih yang bercahaya. Pendek kata , segala kenikmatan yang memangnya sukar untuk dilukiskan ataupun dibayangkan oleh angan-angan.
      
     Pada malam kemesraan itu, bidadari akan melayan suaminya dengan penuh khusyuk. Kenikmatan malam pertama itu sememangnya sangat dinanti-nantikan oleh setiap pasangan suami isteri yang baru bernikah juga merupakan impian yang amat menghiburkan dan menggembirakan lelaki mukmin di syurga.
      
     Kenikmatan senggama dengan bidadari di syurga juga sukar dibayangkan sebab tidak ada kata-kata dan angan-angan yang boleh menggambarkannya. Bagaikan malam pertama yang dinanti-nantikan oleh pasangan yang baru bernikah, di mana mereka sukar untuk menggambarkan kenikmatan yang akan mereka rasakan sebab mereka belum pernah melakukannya sepanjang hayatnya. Begitu juga pasangan lelaki dan bidadari di syurga akan menikmati malam pertama yang sungguh luar biasa nikmatnya sehinggakan bahasa dan angan-angan tidak dapat untuk melukiskannya.
      
     Imam At-Thabrani meriwayatkan dari Abu Umamah bahawa Rasulullah SAW di tanya mengenai hubungan senggama di syurga.
      
     Rasulullah SAW menjawab: “Ya, tanpa pernah merasakan letih kerana syahwat  tidak pernah padam. Lelaki tidak akan mengeluarkan sperma, juga tidak ada kematian.
      “Kerana nafsu syahwat di dalam syurga tidak pernah padam, maka Allah SWT menganugerahkan segala kekuatan dan kejantanan kepada kaum lelaki yang berjaya masuk syurga iaitu berupa kekuatan fizikal dan nafsu yang pernah sama sekali padam”
      
     Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah di tanya oleh para sahabat, “Wahai Rasulullah, apakah kelak di syurga,kami akan berkumpul (jimak) dengan isteri-isteri kami?”.

Jawab Nabi SAW, “Sesungguhnya seorang lelaki dapat mencapai seratus gadis sehari”.

Hanya Allah SWT yang maha mengetahui.
Wallahu'alam.



No comments:

Post a Comment