SOLAT LIMA WAKTU
Jika dilihat bagaimana solat Nabi SAW sebelum Mikraj, ia belum ditentukan waktunya seperti lima kali sehari semalam
yang menjadi amalan ketika ini. Selepas hampir sebelas tahun Nabi Muhammad SAW mengembangkan Islam di Makkah, barulah ada perintah solat lima waktu.
Pada tahun ke sebelas dari kenabian, tahun itu dinamakan tahun Amul-Hazan atau tahun dukacita kerana Rasulullah SAW ditinggalkan kedua-dua orang yang dicintainya dan yang sangat berjasa dalam perjuangan menegakkan Islam. Pada tahun itu Siti Khadijah dan Abu Talib meninggal dunia.
Penentangan kaum kafir semakin menjadi-jadi dan sudah berbentuk ancaman, baik terhadap pengikut Rasulullah SAW mahupun peribadi Baginda sendiri. Oleh itu Rasulullah SAW menyuruh mereka berhijrah ke Madinah secara senyap-senyap.
Pada suatu malam sekitar waktu Isyak, Rasulullah SAW sedang bertafakur seorang diri di Masjidil Haram memohon petunjuk dari Allah SWT, kemudian turunlah malaikat Jibril a.s bersama Mikhail mengajak Nabi SAW pergi. Sebelum berangkat, dada Nabi SAW dibedah dari pusat dan kemudian hatinya dicuci dengan air Zam Zam yang dicampur dengan air Al Kautsar yang dibawa dari syurga. Setelah selesai, hati Rasulullah SAW di isikan ilmu, iman dan yakin serta kekuatan jiwa lalu dirapatkan kembali tanpa jahitan.
Rasulullah s.a.w disuruh solat sunat dua rakaat sebagai tanda syukur ke hadrat Allah SWT dan kemudian diajak keluar masjid untuk menaikki sebuah kenderaan ajaib.
Dari Masjidil Haram, Nabi SAW ketika naik kenderaan duduk di tengah-tengah. Jibril di sebelah kanan dan Mikhail di sebelah kiri sambil memegang kemudi, manakala di belakang duduk malaikat yang Rasulullah SAW tidak kenali. Dalam perjalanan menuju Masjidil Aqsa, kenderaan Nabi SAW singgah di lima tempat iaitu Thoibah atau Yatsrib (Madinah), Madyan, Bukit Thursina, Baitulaham dan Baitul Maqdis.
Di Masjidil Aqsa, Rasulullah SAW disambut arwah nabi-nabi dan malaikat. Kemudian , Baginda diminta menjadi imam.
Selesai solat berjemaah, Rasulullah s.a.w berpidato dengan Nabi Ibrahim a.s
selaku penyelaras. Antara nabi yang hadir ialah Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi
Daud, Nabi Sulaiman dan Nabi Isa. Upacara itu kemudiannya diakhiri pidato
sambutan oleh Nabi Muhammad SAW.
Dalam cerita di atas, kita dapat tahu Nabi Muhammad SAW lima kali turun solat, menjadi lambang bahawa Baginda akan menerima perintah solat lima waktu.Kemudian Jibril mengajak Rasulullah SAW keluar masjid untuk naik ke langit dengan menggunakan kenderaan luar biasa tadi yang mampu mencapai langit dalam sekelip mata.
Di langit pertama, Baginda bertemu dengan Nabi Adam a.s dan arwah anak cucunya yang akan masuk syurga atau neraka. Dua golongan ini berada di dua tempat khusus dan terpisah.
Selepas menemui Nabi Adam a.s, baginda melanjutkan Mikrajnya ke langit kedua dan bertemu lagi dengan Nabi Isa a.s dan roh Nabi Yahya dan Nabi Zakaria.
Kemudian Baginda meneruskan Mikrajnya ke langit ketiga dan bertemu dengan roh Nabi Yusuf. Sebagaimana diceritakan ketika di dunia, Nabi Yusuf mempunyai paras rupa yang amat cantik, Demikian juga Nabi SAW melihatnya di saat itu dalam keadaan demikian dan Rasulullah SAW mendapat layanan yang baik dari Nabi Yusuf.
Rasulullah s.a.w meneruskan Mikrajnya ke langit keempat dan bertemu Nabi Idris a.s. Di langit kelima, Baginda bertemu dengan Nabi Harun dan bercakap-cakap dengannya.
Rasulullah s.a.w meneruskan Mikrajnya ke langit keenam dan bertemu Nabi Musa dan segolongan umatnya daripada Bani Israel. Di situ, Nabi Musa berpesan kepada Baginda s.a.w supaya datang kepadanya apabila kembali ke bumi kerana Nabi Musa ingin mendengar hasilnya.
Kemudian Nabi Muhammad SAW meneruskan Mikrajnya ke langit ketujuh. Di situ Baginda SAW bertemu Nabi Ibrahim serta arwah orang Al Muqorrabbun dan Baginda SAW turut disambut oleh mereka dengan penuh perhatian. Kemudian diajak menjadi imam solat di Baitul Makmur yang menjadi kiblat malaikat di langit ketujuh.
Selepas itu, Rasulullah SAW diajak melihat syurga dan neraka dari dekat serta sekali gus Baginda diberi peluang melihat syurga, iaitu tempat Baginda sesudah kiamat nanti. Kemudian Rasulullah SAW meneruskan Mikrajnya ke Mustawa untuk berhadapan dengan Tuhan. Nabi SAW buat pertama kalinya keluar dari mulut Baginda kalimat yang bererti: “Segala kehormatan, keberkatan, kesejahteraan dan kebaikkan hanya untuk Allah SWT”
Selepas itu, Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Muhammad SAW solat lima puluh waktu dan terus Rasulullah SAW kembali ke bumi namun kerana pesan Nabi Musa, baginda singgah bertemu Nabi Musa. Apabial Nabi Musa bertanya apa hasilnya, Rasulullah SAW menerangkan lima puluh waktu solat fardhu dalam sehari semalam. Nabi Musa menasihatkan Rasulullah SAW memohon agar diringankan waktu solat kerana umat Nabi Muhammad SAW adalah umat terakhir dan tidak kuat mengerjakannya.
Lantas Rasulullah SAW kembali lalu sujud di bawah Sidratul Muntaha memohon agar diringankan untuk umatnya. Lalu dikurangkan lima waktu, kemudian selepas menemui Nabi Musa semula, Baginda diminta merayu agar diringankan lagi, lalu dikurangkan lagi lima waktu. Begitulah seterusnya dan tiap-tiap kali diminta pengurangan selalunya lima waktu diringankan. Jadi sembilan kali lima waktu dikurangkan menjadikan empat puluh lima waktu dan hanya tinggal lima waktu. Lima waktu itu tidak boleh dikurangkan lagi, Firman Allah SWT: “Walaupun lima waktu dikerjakan, tetapi ia menyamai pahala lima puluh kali waktu solat.
Nabi Musa masih menyuruh Nabi Muhammad SAW memohon diringankan lagi, tetapi setelah diterangkannya, Nabi Musa tidak dapat berkata apa-apa lagi.
Nabi Musa berkata: “Beruntungnya umat engkau wahai Muhammad, pekerjaan yang baik sekali mendapat pahala sepuluh kali ganda”
Demikianlah, Nabi Muhammad SAW menerima perintah solat lima waktu pada malam Mikraj itu. Selepas itu, Nabi SAW turun ke bumi ketika hampir Suboh,Baginda SAW sudah berada di Masjidil Haram.
Hanya Allah SWT yang maha mengetahui.
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment