Saturday, 25 January 2014

PENAWAR MUKMIN - Istighfar Menghapus Dosa Manusia.

ISTIGHFAR MENGHAPUS DOSA MANUSIA

Jika junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW sebagai seorang Rasul yang mulia di sisi Allah SWT, banyak amal ibadatnya, kebajikan terhadap umat manusia, bangsa dan agamanya, tetapi mengapa ramai umatnya tidak dapat mengikuti jejak langkah dan sedikit amalnya serta tidak mahu mengucapkan istighfar banyak-banyak? Tindakan mereka seolah-olah tidak mempunyai apa-apa dosa.
      
      Yang pasti, mereka semacam berasa adalah cukup mengucapkan istighfar Cuma tiga kali setiap masa, sebaik selesai menunaikan solat lima waktu. Jadi, bagaimana mungkin dia seorang hamba yang mukmin dapat diterima di sisi Allah SWT dengan hanya mengucapkan istighfar tiga kali setiap selesai solat? Padahal hatinya tidak dibersihkan daripada dosa-dosa.
      
      Menurut sabda Nabi SAW, dosa manusia itu meliputi 10 jenis:

  •  Dosa lama
  •  Dosa baru
  •  Dosa besar
  •  Dosa kecil
  •  Dosa disengajakan
  •  Dosa tidak disengajakan
  •  Dosa terang-terangan
  •  Dosa dibuat secara sembunyi-sembunyi dari mata manusia
  •  Dosa berat
  •  Dosa ringan
      Ramai orang mendoakan kepada tuhan, tetapi berbulan-bulan malah bertahun-tahun ia tidak dimakbulkan Allah SWT. Tidak lain yang menjadi penghalang utama adalah kerana dosanya seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang hamba terhambat akan rezekinya kerana dosa yang ada padanya”.
      
      Daripada Saidina Ali bin Abu Tholib berkata: "Abu Bakar berkata, aku dengar Rasullullah SAW bersabda, siapa antara seorang lelaki membuat dosa, kemudian ia sedar akan kesalahannya lalu berwudhuk, kemudian solat sunat dua rakaat, kemudian mengucap istighfar minta ampun dari Allah SWT, nescaya Allah SWT ampunkan dosanya”. 

Namun setelah ia bertaubat, jangan sekali kembali kepada perbuatan dosanya itu.
      Nabi SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya Al-Quran itu bukan hanya sekadar untuk dibaca dengan lagu-lagu merdu, tetapi yang penting lagi adalah diamalkan. Penyakit kami dan ubatnya untuk kamu demikian dijelaskan di dalam Al-Quran”.
      “Adapun penyakit di dalam dirimu tidak diketahui orang lain, adalah dosa kamu sendiri dan ubatnya adalah ucapan istighfar minta ampun dari Allah SWT dengan setulus hati kerana takut kepadanya”.
      Ketahuilah: “Hati manusia tiada bezanya seperti sepotong besi dan hati itu boleh berkarat kerana kotoran dosa”.
      “Bagi membersihkannya dan supaya hilang karatnya, adalah dengan ucapan istighfar serta zikrullah bersama pembacaan Al-Quran”.
       Sabda Nabi SAW: “Seorang hamba yang berdosa, kalau ia sedar dan bertaubat kepada Allah SWT dengan setulus hati dan penuh kesedaran, Allah SWT akan menyambutnya dengan gembira seperti seorang penternak kuda, maka selepas kuda itu lenyap tapi kini kembali lagi di depannya. Demikianlah juga misalnya Allah SWT menyambut seorang hambaNya yang mahu bertaubat kepadaNya”.

       Sesungguhnya kata-kata istighfar membawa maksud meminta ampun atau mengakui kesalahan yang dilakukan sebelum ini.
      
      Kita selaku hamba Allah SWT memang tidak akan luput atau bebas daripada membuat dosa, sama ada disengajakan atau tidak sengaja. Oleh itu Allah SWT sebagai pencipta manusia mengetahui watak manusia yang mudah saja alpa dengan berbuat dosa atau kesalahan.
      
      Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dijadikan manusia dalam keadaan lemah (daif). Oleh kerana kedaifannya, manusia mudah berbuat dosa dan oleh kerana itu, Allah SWT selain sifat Nya yang Maha Pencipta juga Maha Pengampun, meskipun sebanyak mana manusia membuat dosa”.
      
      Andai kata dosanya sebanyak bintang di langit, atau seluas lautan, jika manusia mahu bertaubat, nescaya Allah SWT akan mengampunkannya asalkan hayat masih di kandung badan.
      
      Dalam Al Quran, Allah SWT berjanji akan memberikan kehidupan baik, apabila si hamba mukmin mahu meminta ampun kepadaNya serta kembali bertaubat kepadaNya.
      
      Cuba anda perhatikan dan renungkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu mengucapkan istighfar minta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kamu, nescaya ia akan memberikan kesenangan hidup yang baik sampai kepada ajal kamu yang tertentu”.
      
      Demikian janji Allah SWT akan berikan kepada sesiapa yang betul-betul mahu meminta ampun dan mahu bertaubat kepadaNya. Ada beberapa ayat Allah SWT yang menyebutkan  mengenai saat istighfar,antara lain  sebagai berikut: “Minta ampunlah engkau kerana dosamu dan dosa orang beriman lelaki dan wanita”.
       
      Dalam ayat ini, Allah SWT menerangkan, jangan meminta ampun cuma untuk diri sendiri, tetapi juga pengampunan dosa-dosa orang mukmin lelaki dan wanita kerana mereka saudara seagama .
      
      Demikian juga setiap orang mukmin, jangan lupa meminta ampun untuk kedua orang tuanya, tak kira samaada masih hidup atau sudah meninggal dunia, seperti Allah SWT ajarkan di dalam Al Quran: “Ia mengucapkan – Ya Tuhan kami, ampunilah daku dan kedua-dua orang tuaku dan orang mukmin dihari kebangkitan berhisab (kiamat)”.
      
      Dalam sebuah hadith oleh Imam Thabrani dari Ubadah Bin Shamit, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa meminta ampun bagi orang mukmin lelaki dan wanita, Allah s.w.t tuliskan setiap orang mukmin lelaki dan wanita itu kebajikan”.
      
      Betapa banyaknya orang mukmin lelaki dan wanita di seluruh permukaan bumi masa kini, jika anda lafazkan istighfar untuk mereka, anda jangan segan-segan mengucapkan istighfar untuk mereka dan tandanya anda mempunyai toleransi besar kepada mereka. Sebagai imbuhan, Allah SWT akan memberi pahala sejumlah  mereka itu.
      
      Hadith Imam Thabrani dari Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiada aku berada di pagi hari kecuali aku mengucapkan istighfar seratus kali”.
      
      Manakala menerusi hadith Imam Muslim dan Imam Ahmad dari Imam Muzni serta Imam Annasa’i dari sahabat Abu Hurairah, sesungguhnya Nabi SAW mengumpulkan orang dan berkata: “Bertaubatlah kalian kepada Allah SWT, sesungguhnya aku bertaubat seratus kali kepadaNya dalam sehari.

Hanya Allah SWT yang maha mengetahui.
Wallahu'alam.


No comments:

Post a Comment