Thursday, 23 January 2014

PENAWAR MUKMIN - Fadhilat Bismillah

FADHILAT BISMILLAH

Huruf Bismillah ada 19 dan mempunyai khasiat tertentu kerana malaikat yang mengurus neraka juga ada 19. Sesiapa membaca Bismillah dengan ikhlas dan yakin, nescaya terhindarlah dia daripada siksaan malaikat Zabaniah.
      
      Sesiapa menyebutnya banyak dalam satu maksud, khusus untuk mendatangkan rezeki, nescaya diberi rezeki oleh Allah SWT dengan mudah dan diberi kurnia kehebatan di hati manusia serta di sisi alam tinggi (malaikat) dan alam yang rendah (manusia, haiwan dan lain-lain).
      
      Sesiapa membacanya ketika mahu tidur sebanyak 21 kali, amanlah ia pada malam itu daripada syaitan terkutuk, kejahatan manusia dan jin, penyakit, mati mendadak dan terhindar daripada bencana.
      
      Sesiapa membacanya 100 kali atas apa jua penyakit atau orang kena sihir selama tujuh hari berturut-turut atau lebih, nescaya Allah SWT akan hilangkan penyakit sihir tersebut.
      
      Sesiapa membacanya 41 kali atas telinga orang tidak sedarkan diri, akalnya akan kembali ketika itu juga.
      
      Antara lain khasiatnya, sesiapa membacanya di depan muka orang yang zalim atau hakim yang menyeleweng sebanyak 50 kali, akan tunduk kepadanya dan merendah diri di hatinya serta timbul kehebatan atas diri pembacanya dan amanlah dia daripada segala macam kejahatan mereka.
      
      Sesiapa yang membiasakan dirinya membaca mengikut hitungan abjad, iaitu 786 kali dengan niat tulus ikhlas dalam urusan penting di dalam keredhaan Allah SWT serta menyampaikan hajatnya atau untuk menolak bahaya daripada musuh-musuhnya serta orang-orang zalim.
      
     Jika dibaca pada jumlah 786 kali itu dengan berpuasa di dalam khalwat, ia lebih bagus dan lebih cepat untuk menghasilkan maksud dengan dikerjakan tujuh hari berturut-turut.
      
     Sesiapa membiasakan membaca Bismillah sesudah solat Subuh sebanyak 2,500 kali dengan iktiqad yang betul dan untuk mendapatkan fadhilat serta khasiat di dalamnya, dibuka Allah SWT pada hatinya suatu pembukaan ghaib dan ilmu laduni dan rahsia yang sangat asing.
      
     Sesiapa yang membiasakan membacanya atas jumlah demikian juga, dimudahkan Allah SWT baginya anak Adam dan anak Hawa serta dapat berlaku apa yang diinginkannya.
      
     Sesiapa membacanya 1,000 kali setiap hari, disampaikan Allah SWT hajatnya dengan mudah di dunia dan di akhirat. Jika yang membaca itu ditahan, dipenjarakan atau mendapat kesusahan, dilepaskan oleh Allah SWT segala kesusahannya.
      
     Demikian juga, sesiapa membaca 1,000 kali Bismillah untuk mendapat kasih sayang antara khalayak ramai, perlu membacanya di gelas berisi air hujan dan diminum oleh sesiapa yang diinginkannya, nescaya ia akan dicintainya.
      
     Berkata Imam Al-Ghazzali  r.m.t: “Barang sesiapa membaca Bismillah 12,000 kali di akhiri membaca setiap 100 kali solat 2 rakaat. Kemudian  diminta dan diucapkan akan hajatnya. Kemudian diulang kembali membacanya”.
      Imam Al-Ghazzali berkata lagi: “Ketahuilah, khasiat Bismillah tidak terhitung dan tidak terhingga. Tetapi saya berpesan wahai saudaraku kerana Allah SWT. Jadikanlah pada semua awal pekerjaanmu dimulai dengan Bismillah”.

      Riwayat Umar Al-Khattab: “Barangsiapa mempunyai satu hajat, hendaklah ia berpuasa pada Rabu, Khamis dan Jumaat. Pada Jumaat itu, ia mandi dan terus pergi masjid dan memberi sedekah fakir miskin”.
      
      Hadith daripada Anas Bin Malik, daripada  Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda: “Andai kata pohon-pohon dijadikan pena , semua lautan dijadikan tinta. Lalu berkumpul semua jin, manusia dan malaikat membuat buku, terus mereka menulis erti ‘Bismillaahir Rohmaanir Rohiim’ sejuta tahun, mereka tidak akan sanggup mengertikannya, walaupun hanya satu persepuluh”.
      
      Nabi SAW juga pernah bersabda: “Bahawa ada satu kaum yang datang pada hari kiamat sambil mengucap Bismillaahir rohmaanir rohiim. Lebih berat kebajikan mereka daripada keburukan mereka. Lalu berkata umat-umat lain: Alangkah beratnya timbangan amal kebajikan mereka.
      “Sesungguhnya, menjadi demikian itu kerana mereka memulakan segala perbualan atau percakapan mahupun perbuatan dengan Bismillaahir rohmaanir rohiim.
      “Sekiranya diletakkan langit dan bumi di dalam piring timbangan serta segala isinya dan apa yang ada dalam timbangan itu, nescaya berat lagi Bismillaahir rohmaanir rohiim.
      “Dan sesungguhnya Allah SWT menjadikan bagi umat ini Bismillaahir rohmaanir rohiim itu, keamanan dan daripada tiap bencana, daripada intaian syaitan yang terkutuk, dijadikan ubat segala macam penyakit, daripada kehinaan, kebakaran, keburukan, dengan keberkatan Bismillaahir rohmaanir rohiim”.

      Cerita Nabi SAW ketika Mikraj pula: “Ketika aku Israk dan ketika aku naik ke langit tinggi, Jibril memberi kesempatan kepadaku melihat-lihat keadaan semua syurga.
      “Aku melihat empat sungai besar yang airnya bermacam-macam. Ada airnya daripada susu, ada airnya daripada arak tetapi tidak mabuk, ada airnya daripada madu dan ada airnya yang tidak masin”.
      
       Seperti Allah SWT terangkan dengan firmanNya di dalam Al Quran: “Di dalam syurga ada sungai-sungai airnya tidak masin. Ada sungai-sungai yang airnya daripada susu yang tidak pernah berubah rasanya, ada sungai-sungai daripada arak yang lazat bagi yang meminumnya dan ada sungai-sungai daripada madu pilihan”.
      
       Sabda Nabi SAW: “Aku bertanya; Dari manakah datangnya sungai-sungai ini, dan kemana seterusnya?:
      
       Jibril: “Aku cuma tahu terusannya mengalir hingga ke telaga Al-Kautsar tapi aku tidak tahu dari mana asalnya”.
      
     “Lalu aku memohon petunjuk daripada Allah SWT, tiba-tiba saat itu datang seorang malaikat memberi salam dan aku balas salamnya,” kata Nabi SAW.
      
       Kata malaikat: “Cubalah pejamkan mata engkau”. Nabi SAW terus memejamkan matanya seperti disuruh malaikat.
      
     “Kemudian selepas aku buka mataku, tiba-tiba aku sudah ada dekat sebuah pohon besar. Dari situ aku melihat sebuah kubah besar daripada permata yang putih berkilau-kilau dan pintu-pintunya daripada yaqut berwarna hijau dan kunci-kuncinya daripada emas.
      “Jika orang berkumpul di kubah itu, tiada bezanya seperti barang-barang kecil hinggap di gunung.
      “Dan aku melihat empat macam sungai itu mengalir di bawah kubah itu tatkala aku mahu kembali, malaikat itu bertanya, tidak inginkah engkau melihat sebelah dalamnya?”.
      Kataku:Bagaimana aku dapat masuk ke dalamnya, lantaran pintunya berkunci?”. “Mana kuncinya?” kataku.
      Malaikat: “Kuncinya dalam tanganmu”.
      Kataku: “Mana dia?”.
      Malaikat: “Cukuplah engkau Bismillah”.
      “Lalu aku ucapkan Bismillaahir rohmaanir rohiim, secara tiba-tiba pintu itu terbuka sendiri. Terus aku masuk ke dalamnya.
      Kemudian , apa yang aku lihat di situ? Sungguh sangat ajaib sekali ciptaan Allah SWT Aku lihat sungai-sungai itu sumbernya ada  di sini mengalir dari empat batang liangnya yang besar-besar”.

Hanya Allah SWT yang maha mengetahui.
Wallahu'alam.


      

No comments:

Post a Comment