LAILATUL QADAR
Adapun keterangan menyebutkan mengenai
adanya malam Lailatul Qadar sebagai berikut:
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada
suatu malam kemuliaan (Lailatul Qadar). Dan tahukah kamu, apa malam kemuliaan
itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.
Pada malam itu, malaikat berserta Jibril turun ke bumi dengan izin
Tuhan untuk mengatur segala urusan. Malam itu malam penuh selamat sejahtera
sampai terbit fajar”.
Menurut keterangan beberapa
ulama, pada malam Lailatul Qadar, Allah SWT mentakdirkan segala urusan hukum,
rezeki dan ajal untuk jangka waktu satu tahun. Kemudian menyerahkan keputusan
takdirNya itu kepada malaikat masing-masing menurut bidang tugas yang sudah ditentukan.
Lalu kepada Jibril di serahkan catatan rahmat dan azab. Kepada Mikhail
diserahkan catatan tumbuh-tumbuhan dan rezeki. Kepada Israfil diserahkan
catatan hujan, angin dan keadaan cuaca. Izrail pula diserahkan catatan nyawa
dan ajal.
Diriwayatkan Rasulullah SAW
bersabda:
“Di malam Lailatul Qadar, turunlah empat macam bendera iaitu, bendera
Alhamd, bendera Ar-Rahmah, bendera Al-Maghfirah dan bendera Al-Karamah.
Tiap-tiap bendera pula disertai pula dengan 70,000 malaikat dan tiap-tiap
bendera ada tertulis, 'Laailaaha illallah Muhammadur Rasulullah’
Lalu bendera Alhamd dipancang antara langit dan bumi. Bendera
Al-Marghfirah dipancang di atas makam Nabi Muhammad SAW. Bendera Ar-Rahman
dipancang di atas Kaabah. Bendera Al-Karamah pula dipancang di atas Baitul
Maqdis.
Barang siapa mengucapkan kalimah
Thoyyibah tiga kali pada malam Lailatul Qadar, maka masing-masing pembacaannya
itu akan membawa pada pengampunan Tuhan dan selamat daripada seksa api neraka
dan membawa ia masuk syurga.
Ka’bul Akhabar menyatakan: Bahawa
di Sidratul Muntaha terdapat malaikat yang tidak diketahui bilangannya kecuali
Allah SWT. Mereka turun di malam Lailatul Qadar untuk berdoa memohon kebajikan
untuk orang mukmin dan mukminat yang berjabat tangan dengan Jibril. Adapun
tandanya bila seseorang berjabat tangan dengan Jibril ialah ia gementar
badannya, keluar air matanya dan merasa sebak dalam hatinya. Dikatakan ada
malaikat, kedua kakinya berada di bawah lapisan bumi ketujuh, sedang kepalanya
berada di bawah Arasy.
Malaikat itu mempunyai seribu
kepala dan besar tiap-tiap kepala lebih besar dari dunia.
Pada tiap-tiap kepala terdapat
seribu mulut dan tiap-tiap mulut terdapat seribu lidah yang bertasbih kepada
Allah SWT dengan bermacam-macam bahasa, lalu turun di malam itu dan beristighfar bagi umat Muhammad SAW.
Pada malam berkenaan, sebaiknya
solat dua rakaat di malam Lailatul Qadar dan pada tiap-tiap rakaat membaca
surah Al-fatihah sekali dan surah Al-Ikhlas tujuh kali.
Kemudian
selepas salam beristighfar tujuh puluh kali. Maka ia tidak berdiri dari
solatnya, melainkan sudah diampuni Allah SWT dosanya juga dosa ibu bapanya.
Kemudian Allah SWT menyuruh malaikat pergi ke syurga untuk menanam
pohon-pohonan, membangun istana dan mengairkan sungai. Ia tidak keluar dari
dunia, melainkan sudah melihat semua itu.
Bersabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya
malam Lailatul Qadar, Allah SWT menurunkan rahmat yang meliputi seluruh orang
mukmin dari arah timur hingga barat. Kelebihan rahmat itu diberikan oleh Jibril
kepada bayi yang lahir pada malam
itu, sehingga mencakup bayi orang Islam mahupun orang kafir sehingga kelak mati
dengan iman”
Imam Arrazi berkata: “Jika fajar Lailatul Qadar menyinsing lalu
berserulah Jibril kepada para malaikat: “Bersiap-siaplah untuk berangkat”.
Lalu malaikat bertanya: “Wahai Jibril,
apa yang diperbuat oleh Allah SWT kepada umat Muhammad SAW?”
Jibril menjawab: "Allah SWT sudah mengampuni mereka, kecuali
empat macam orang, iaitu peminum arak, penderhaka kepada ibu bapa, dan pemutus
hubungan keluarga dan orang yang gemar bertengkar”.
Dalam
bulan Ramadhan yang mulia, terdapat satu hadiah yang terbesar buat umat akhir
zaman, umat Muhammad SAW iaitu malam Lailatul Qadar. Mengapa Allah SWT berikan
Lailatulqadar kepada kita? Jawapannya, kita umat akhir zaman ini iaitu umat
Muhammad SAW tidak panjang umurnya seperti umat-umat terdahulu.
Oleh itu, Allah SWT menghadiahkan ke atas umat Muhammad SAW satu
malam yang jika sesiapa yang beramal soleh dan menjadi tetamu malam Lailatul Qadar
itu akan beroleh pahala seperti beramal sepanjang seribu bulan atau 83 tahun
tiga bulan dan boleh dikira sepanjang hayat kebanyakkan umat Muhammad SAW.
Banyak pandangan dan pendapat sahabat
serta ulama mengenai pencarian malam Lailatul Qadar. Menurut pandangan Imam
Al-Ghazzali, Lailatul Qadar boleh diketahui melalui:
· Jika awal Ramadhan
pada Ahad atau Rabu, maka malam Lailatul Qadar anggaran jatuh pada malam 29
Ramadhan.
· Jika awal Ramadhan pada
Isnin, maka malam Lailatul Qadar anggaran jatuh pada malam 21 Ramadhan.
· Jika awal Ramadhan
pada Selasa atau Jumaat, maka malam Lailatul Qadar anggaran jatuh pada malam 27
Ramadhan.
· Jika awal Ramadhan pada
Khamis, maka malam Lailatul Qadar anggaran jatuh pada malam 25 Ramadhan.
·
Jika awal Ramadhan pada
Sabtu, maka malam Lailatul Qadar anggaran jatuh pada malam 23 Ramadhan.
Lailatul Qadar juga boleh dikenali
melalui beberapa tanda yang dikhabarkan oleh ulama. Pada malam itu, langitnya
kelihatan suci bersih, bulan bercahaya segar dan indah, suasana nyaman, tidak
sejuk dan tidak panas. Langit tidak diganggu, bintang dan terbit matahari pada
waktu paginya memancarkan cahaya putih yang tidak terik seperti cahaya bulan
purnama.
Bagaimanapun, hanya Allah SWT yang
mengetahui hakikatnya. Ini hanya sekadar perkongsian, tidak semestinya ia
berlaku sedemikian.
Imam Hasan Al-Basri berkata,
antara tanda malam Lailatul Qadar ialah suasana malamnya tenang, damai,
tenteram, tidak panas dan tidak terlalu dingin. Air laut juga kelihatan jernih,
anjing tidak banyak menyalak dan matahari terbit pada keesokkan paginya dengan
sinar putih bersih dan cahaya yang redup.
Dalam Sahih Muslim dinyatakan pada
malam Lailatul Qadar, 70,000 malaikat akan turun dari Sidratul Muntaha ke bumi.
Malaikat membawa rahmat Allah SWT
memasuki rumah serta memberi salam kepada orang Islam, kecuali rumah
yang ada mempunyai anjing, khinzir, arak dan patung.
Malaikat akan naik ke langit semula
secara serentak dengan sayap puluhan ribu malaikat itu melindungi pancaran
panas matahari yang menyebabkan suasana di bumi terasa dingin dan tenang. Bagi
yang menyedari tanda itu, mereka hendaklah meningkatkan amalan dan teruskan
berdoa sepanjang hari. Hamba Allah yang terpilih mendapat Lailatul Qadar itu
terlalu istimewa di sisi Allah SWT.
Hanya Allah SWT yang maha mengetahui.
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment