Saturday 1 February 2014

PENAWAR MUKMIN - Nabi Adam AlaihisSalam (1)


Nabi Adam a.s

Pada suatu ketika, Allah SWT memerintahkan malaikat Jibril ke bumi mengambil sebahagian tanahnya untuk mencipta Adam, tetapi bumi enggan membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam, kerana bimbang Adam berbuat maksiat kepada Allah SWT. Lalu Jibril kembali menemui Allah SWT, ia tidak dapat berbuat apa-apa mendengar sumpah bumi. Kemudian Allah SWT memerintahkan malaikat Mikhail, namun jawapan bumi tetap sama dan Allah SWT menitahkan pula malaikat Israfil, tetapi bumi masih enggan dan masing-masing kembali dengan hampa.

      Lalu, yang terakhir, Allah SWT menyuruh malaikat Izrail ke bumi. Firman Allah SWT: “Hai Izrail, engkaulah kini yang Aku tugaskan mengambil tanah. Meskipun bumi menyumpah dengan ucapan bagaimana pun, jangan engkau undur. Katakan kamu lakukan atas perintah dan atas nama Ku”.

      Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, dia kembali ke hadrat Allah SWT, lalu Allah SWT berfirman: “Ya Izrail, pertama engkau yangKu tugaskan mengambil tanah, dan kelakKu tugaskan engkau mencabut roh manusia”. Maka Izrail bimbang dibenci manusia, lalu Allah SWT berfirman: “Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu. Aku yang mengaturnya, dan Aku jadikan kematian mereka itu bersebab, terbunuh, terbakar atau sakit”.

Tanah bagaimana Adam diciptakan?.


  •        Tanah tempat bakal berdirinya Baitul Maqdis
  •        Tanah Bukit Thursina
  •        Tanah Iraq
  •        Tanah Aden
  •        Tanah Al Kautsar
  •        Tanah tempat bakal berdirinya Baitullah
  •        Tanah Paris
  •        Tanah Kurasan
  •        Tanah Babylon
  •        Tanah India
  •        Tanah Syurga
  •        Tanah Tha’if

Kata Ibnu Abbas:


  •     Kepala Adam dari tanah Baitul Maqdis, kerana disitulah beradanya otak manusia dan di situlah letaknya akal.


  •     Telinganya dari tanah Bukit Thursina, kerana dia alat pendengar dan tempat menerima nasihat.


  •     Dahinya dari tanah Iraq, kerana di situ tempat sujud kepada Allah s.w.t.


  •     Mukanya dari tanah Aden, kerana di situ tempat berhias dan tempat kecantikan.


  •     Matanya dari tanah Telaga Al Kautsar, tempat menarik perhatian.


  •     Giginya dari Al Kautsar, tempat manis.


  •     Tangan kanannya dari tanah Kaabah, untuk mencari nafkah dan kerjasama sesama manusia.


  •     Tangan kirinya dari tanah Paris, tempat beristinjak.


  •     Perutnya dari tanah Babylon. Di situlah tempat seks (berahi) dan tipu daya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah dosa.


  •     Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia.


  •     Dua kakinya dari tanah India, tempat berdiri dan berjalan.


  •     Hatinya dari tanah Syurga Firdaus, kerana  di situlah iman, keyakinan, ilmu  dan kemahuan.


  •     Lidahnya dari tanah Tha’if tempat mengucap syahadah, bersyukur dan mendoakan kepada Tuhan.


Bagaimana prosesnya?

1.  Ketika Allah SWT menjadikan Adam, tanah itu bercampur air tawar, air masin, air hanyir, angin, api. Kemudian Allah SWT resapkan Nur kebenaran  dalam diri Adam dengan pelbagai ‘sifat’.

2.  Lalu tubuh Adam di genggam dengan genggaman ‘Jabarut’ kemudian diletakkan di dalam  ‘Alam Malakut’.

3.  Sesungguhnya tanah yang dijadikan ‘tubuh Adam’ adalah tanah pilihan. Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah, wangi-wangian dari sifat nur sifat Allah SWT dan dirasmikan dengan air hujan ‘Barul Uluhiyah’.

4.  Kemudian tubuh itu dibenamkan di dalam air ‘Kudral Izzah Nya’ iaitu sifat ‘Jalan dan Jammal’. Lalu diciptakan menjadi tubuh Adam yang sempurna.

5.  Demikian pula roh, ketika itu diperintahkan masuk ke tubuh Adam, ia malas dan enggan, malah berputar-putar, mengelilingi patung Adam yang terlantar.

Kemudian Allah SWT menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk, akhirnya ia menyerah kepada Izrail. Menurut riwayat, ketika Adam masih di Syurga, sangat baik sekali kulitnya. Kerana Adam diturunkan ke dunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya. Sebagai peringatan yang masih tertinggal warnanya, hanyalah pada warna kuku manusia. Hal ini masih kita lihat, meskipun orang kulitnya hitam, warna kukunya adalah sama iaitu putih kemerah-merahan.

      Dijadikan pada tubuh Adam ada sembilan rongga atau liang. Tujuh buah liang di kepala dan dua liang di bawah badan letaknya. Tujuh buah letak di kepala: dua liang mata, dua liang telinga, dua liang hidung dan sebuah liang mulut. Yang dua lagi di bawah: sebuah liang kemaluan dan liang dubur.

Dijadikan pula lima pancaindera:

 1.      Mata alat penglihatan
 2.      Hidung alat menghidu
 3.      Telinga alat mendengar
 4.      Mulut alat merasa manis, masin dan sebagainya
 5.      Anggota tubuh lainnya seperti kulit, telapak tangan untuk merasa halus dan           kasar dan sebagainya.

Selepas roh masuk tubuh Adam secara perlahan-lahan  sehingga ke kepalanya mengambil masa dua ratus tahun. Demikianlah Allah SWT memberi kekuatan pada Izrail memasukkan roh ke tubuh Adam. Dahulu Izrail ditugaskan mengambil tanah untuk membuat Adam, dan kini mencabut nyawa manusia pula.

      Selepas meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusun urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya seketika itu dan matanya terus terbuka melihat kiri dan kanan dan juga melihat ke bawah di mana bahagian badannya masih tanah keras. Dilihatnya kiri dan kanan, malaikat sedang menyaksikan kejadian dia.

      Ketika itu Adam mendengar malaikat mengucapkan tasbih dengan suara merdu dan mengasyikkan. Ketika roh sampai ke hidungnya lalu ia bersin serta mulutnya terbuka luas. Ketika itulah Allah SWT mengajarnya mengucapkan ‘Alhamdulillah’. Itulah ucapan Adam pertama kepada Allah SWT. Lalu Allah SWT berkata: “Yarkhamukallah” yang ertinya: “Semuga engkau diberi rahmat Allah SWT”. Oleh kerana itu jika orang bersin, menjadi ikutan sunat mengucapkan “Alhamdulillah” dan orang yang mendengarnya sunat mengucapkan “Yarkhamukallah”.

      Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun, padahal bahagian bawah masih tanah keras. Di sini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa(tidak sabar). Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan adalah manusia itu, suka tergesa-gesa”.

      Maka ketika roh sampai di perutnya, terjadilah susunan isi perutnya dengan sempurna. Maka seketika itu terasa lapar. Kemudian roh terus meresap keseluruh tubuh Adam, tangan, kaki lalu terjadi darah daging dan tulang, urat-urat berkulit dengan sempurna, kian lama kian bagus dan halus.

      Apabila kejadian Adam sempurna sebagai manusia baru, maka dialah , adalah jenis makhluk manusia yang pertama. Wajahnya cukup cantik, semua malaikat kagum melihat Adam yang menawan.

Adam di arak malaikat selama seratus tahun lalu diperkenalkan kepada seluruh penghuni langit pertama hingga ketujuh sebelum dibawa ke Syurga tempat mula-mula Adam diciptakan.

Hanya Allah SWT yang maha mengetahui.
Wallahu’alam.



No comments:

Post a Comment