Tuesday, 4 February 2014

PEDOMAN MUKMIN - Haiwan


                                                                     DUBUK

Antara keajaiban pada Dubuk ialah terdapat pertukaran jantina mengikut masa. Menurut Al- Imam Damiri rahimahullah, dubuk akan menjadi jantan selama setahun dan akan bertukar selepasnya menjadi betina selama setahun. Ini bermakna , ketika menjadi jantan, dubuk tidak boleh mengandung dan ketika menjadi betina maka dubuk boleh mengandung. Arnab juga berkeadaan begini menurut sebahagian ulama.

Persoalannya adakah Dubuk boleh dimakan?

Menurut Al-Imam Syafie, Al-Imam Ahmad Ibnu Hambal, Ishak Rahuyah, Abu Tsaur, Al-Imam Laits dan para ulama hadith yang lain ianya HALAL di makan.  Pendapat Al-Imam Malik pula mengatakan MAKRUH hukumnya memakan dubuk.

Bagi Al-Imam Abu Hanifah, Muhammad Al-Syaibani, Qadhi Abu Yusuf, Al-Tsauri dan salah satu pendapat Al-Imam Ahmad mengatakan dubuk HARAM dimakan. Ini adalah kerana bagi mereka, haiwan ini adalah termasuk di dalam kumpulan binatang buas yang berburu menggunakan taring.

Dubuk menurut Al-Imam Syafie tidak menggunakan sangat taringnya ketika berburu malah jika tiada taring sekalipun, binatang ini boleh hidup. Ianya berbeza dengan singa ataupun harimau. Binatang ini pun suka mengambil sisa makanan yang dimakan oleh binatang lain.

Al-Imam Syafie juga ada menyebutkan bahawa dubuk dijual dan dimakan diantara Safa dan Marwah dan tiada seorang ulama pun melarangnya. Ini kerana orang Arab menyukai dagingnya.

Diriwayatkan  bahawa Saidina Saad Bin Abi Waqqas r.a. juga memakan daging dubuk, manakala Saidina Ibnu Abbas r.a. mengharuskan kita memakannya.




                                                            UNTA

Orang Arab mengatakan bahawa unta liar yang berkeliaran adalah saki baki keturunan unta daripada unta Kaum Aad dan Tsamud (Kaum Nabi Hud dan Nabi Saleh a.s.) seperti yang disebutkan oleh Al-Imam Damiri rahimahullah.

Apakah hukum memakannya?

Menurut jumhur ulama, adalah HALAL memakan daging unta.

Nabi Ayub a.s. dikatakan mengharamkan DIRINYA memakan daging dan susu unta. Ini kerana baginda diserang penyakit urat yang bermula daripada pangkal paha hingga ke buku lali dan didapatinya tiada sesuatu pun boleh digunakan sebagai ubat melainkan daging dan susu unta. Oleh sebab itulah baginda mengharamkan keatas dirinya kerana bimbang ia menyakiti unta. Al-Imam Damiri menyebut kisah tersebut di dalam kitabnya ‘Hayat Hayawan Al-Qubra’.

Adakah membatalkan Wudhu jika memakan daging unta?

Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Umar, Utsman, Ali, Ibnu Mas’ud, Ubai Bin Kaab, Ibnu Abbas, Abu Darda’, Abu Umamah Al-Bahili, Amir Ibnu Rabi’ah iaitu para sahabat dan jumhur para tabi’in juga Al-Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie dan para ulama Syafi’iah berpendapat TIDAK MEMBATALKAN WUDHU jika memakan daging unta.

Ulama yang mengatakan BATAL WUDHU pula adalah seperti Al-Imam Ahmad Ibnu Hambal, Ishak Bin Rahuyah, Yahya Bin Yahya, Ibnu Munzir dan Ibnu Khuzaimah r.a.




                                                            SINGA

Singa adalah haiwan yang mempunyai banyak sekali nama.Ibnu Khaluyah mengatakan singa mempunyai nama menjangkau 500 nama. Antara namanya ialah Al-Asad, Usamah, Baihas, Na’aj, Jaghdab, Al-Harits, Haidarah, Dawwas, Ri’bal, Zufar, As-Sabu’, Dhargham, Dhaigham, Thaisar, Al-Anbas, Al-Ghadanfur, Al-Farafisoh, Al-Qaswarah dan banyak lagi. Imam Al-Damiri mengatakan ianya jelas menunjukkan, singa adalah binatang yang sangat ‘dihormati’.

Al-Imam Syafie, Abu Hanifah, Ahmad Ibnu Hambal, Daud Al-Zhahiri dan jumhur ulama mengatakan HARAM memakan daging singa.

Imam Malik pula mengatakan MAKRUH memakan daging singa, tetapi perlu difahami yang terkadang Imam Malik menggunakan perkataan makruh tetapi maksudnya adalah haram. Namun dalam permasalahan ini, para ulama Malikiah menerangkan lebih lanjut bahawa makruh disini bermaksud tidak haram untuk dimakan.

Al-Mawardi mengatakan bahawa Al-Imam Syafie  mengharamkan kita memakan daging singa kerana ia memburu mangsanya menggunakan taring.






                                                         ZIRAFAH


Perkataan Zirafah disebut dalam bahasa Arab ialah Zarafah atau Zurafah. Al Imam Al Quzwini menyebutkan di dalam kitab Al A'jaib Al Makhlukhat bahawa kelainan zirafah dengan binatang berkaki empat yang lain ialah, apabila zirafah ingin memulakan langkah, maka ia akan memulakan dengan kaki kiri bahagian belakang dan kaki kanan bahagian depan. Ini berbeza dengan haiwan berkaki empat yang lain.

Disebutkan dalam kitab Tarikh Ibn Khallikan bahawa Muhammad Bin Abdullah Al Utabi Al Basri Al Akbari Al Sya'ir mengatakan zurafah atau zarafah berasal dari gabungan tiga jenis haiwan iaitu gabungan dari unta betina liar, lembu betina dan dubuk jantan. Bagaimana pun, Imam Al Jahiz tidak bersetuju dengan pendapat ini meskipun beliau seorang yang berakidah Muktazilah. Ini kerana Allah SWT berhak mencipta apa sahaja.

Persoalannya adakah zirafah boleh di makan?.

Al Imam Ad Damiri rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya 'Hayat Al Hayawan Al Kubra bahawa terdapat dua pandangan di dalam permasaalahan hukum memakan zirafah.

Pendapat pertama: Hukum memakan zirafah adalah HARAM. Kenyataan ini di keluarkan oleh Imam An Nawawi (wafat 676 H) dalam kitabnya Majmu' Syarah Muhazzab dan Imam Abu Ishak Al Syirazi (wafat 467 H) didalam kitabnya At Tanbith.

Al Imam Al Qadhi Abu Al Khattab Al Hambali juga mengatakan HARAM memakan daging zirafah. Sebahagian ulama mengatakan zirafah adalah hasil perhubungan antara binatang yang halal dan haram di makan.

Pendapat kedua: Hukum memakan zirafah adalah HALAL. Ini berdasarkan fatwa Syeikh Taqiyuddin Ibni Abi Ad-dam Al Hamwi dan beliau menukilkan bahawa fatwa Qadhi Hussain Asy Shafie. Al Imam Ibnu Rif'ah mengatakan bahawa pendapat ini muktabar sepertimana difatwakan juga oleh Imam Al Baghwi.

Imam Qadhi Hussain mengatakan, "Aku mengatakan bahawa ia HALAL kerana ia mirip kepada binatang yang halal dimakan iaitu unta dan lembu.

Al Imam Ad Damiri bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa adalah HARUS untuk dimakan. Ini juga merupakan pendapat Mazhab Imam Ahmad dan Imam Malik serta Imam Abu Hanifah.



Hanya Allah SWT maha mengetahui,
Wallahu’alam.



No comments:

Post a Comment