Tuesday, 4 February 2014

PEDOMAN MUKMIN – Mahsyar

MAHSYAR

Situasi di Mahsyar penuh huru-hara, hiruk-pikok, kucar-kacir kerana masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Padang Mahsyar sesak dengan manusia dan jin yang bakal menempuh hisab.

Menurut Imam Al-Ghazzali, Mahsyar adalah satu dataran yang maha luas saujana mata memandang dan tidak dapat dibayangkan oleh manusia. Keadaan yang putih dan rata dan tiada gunung-ganang atau pokok yang boleh dijadikan teduhan.

Cuacanya amat panas kering kontang dan matahari hanya sejengkal daripada kepala. Manusia akan tenggelam di dalam lautan peluh yang busuk bergantung pada amalan masing-masing.

Rasulullah SAW bersabda, “Pada hari kiamat, matahari didekatkan jaraknya kepada makhluk sehingga tinggal sejauh satu mil”.

Rasulullah SAW bersabda, “Sehingga manusia terseksa dalam keringatnya sesuai dengan kadar amal-amalnya (dosa-dosanya). Di antara mereka, ada yang peluhnya sampai kedua buku lalinya, 
ada yang sampai kedua-dua lututnya, dan ada yang sampai pinggangnya serta ada yang tenggelam di dalam peluhnya”. Rasulullah SAW memberikan isyarat dengan meletakkan tangan ke mulut baginda. (Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Manusia berpeluh pada hari kiamat dengan banyaknya sehingga meresap peluh mereka ke dalam bumi berpuluh-puluh hasta dan menenggelami mereka sehingga sampai ke telinga masing-masing”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW bersabda, “Ada tujuh golongan yang dinaungi oleh Allah SWT dengan naungan ‘Arasy-Nya’ pada hari yang mana tidak ada naungan kecuali hanya naunganNya iaitu:

  •          Imam (pemimpin) yang adil.
  •          Pemuda yang membesar beribadah pada tuhanNya.
  •         Seorang yang hatinya sentiasa berpaut pada masjid.
  •          Dua orang yang saling mencintai kerana Allah SWT. Kedua-duanya bertemu dan berpisah kerana Allah SWT.
  •          Lelaki yang diajak (berzina) oleh seorang wanita yang berkedudukan lagi cantik rupawan, lalu dia menolak dan mengatakan “Sesungguhnya aku takut kepada Allah SWT”.
  •          Seseorang yang bersedekah lalu merahsiakannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.
  •          Orang yang berzikir kepada Allah SWT pada waktu sunyi lalu belinanglah air matanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Keadaan di Mahsyar, ada manusia yang pandangan matanya terbeliak, tidak berkedip dan kaku sebaik sahaja melihat kebenaran akhirat.

Ada yang berjalan mundar-mandir kesana kemari. Ada yang merangkak-rangkak. Ada yang menaikki kenderaan dan ada yang diheret dengan wajahnya.

Ada yang putih wajahnya lagi berseri-seri dan terukir kebahagiaan di wajahnya. Ada yang wajahnya hitam legam lagi berjelaga, berselaput dengan penyesalan.

Wa Ma taufiqi, illa Billah
Wallahu’alam

1 comment:

  1. Assalamualaikum. Alhamdulillah sangat bagus entry ini. Teruskan berkarya sahabat

    ReplyDelete