Monday, 3 February 2014

MALAIKAT -Majlis Ilmu

MALAIKAT RESTU MAJLIS ILMU

Disebutkan dalam sebahagian hadith bahawa Allah SWT mengutus malaikat untuk mencari majlis-majlis zikir di permukaan bumi seperti mana disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
        
      “Sesungguhnya Allah SWT menugaskan malaikat yang berkeliling di jalan-jalan mencari majlis zikir. Ketika mereka menemukannya, mereka lalu saling memanggil temannya yang lain: Inilah hajat yang kalian cari!, Maka majlis itu dikerumuni dengan sayap mereka hingga kelangit dunia".

Kemudian Tuhan bertanya kepada malaikat, padahal Tuhan lebih mengetahui daripada mereka: “Apakah yang dibaca oleh hamba-hambaku?”. Malaikat menjawab: “Mereka bertasbih, bertakbir, memuji dan mengagungkan Engkau!”. Allah SWT bertanya: “Bagaimana jika mereka dapat melihat Aku?”. Malaikat menjawab: “Tentu akan lebih giat lagi mereka beribadah, giat memuji Engkau dan memperbanyak tasbih kepada Engkau”.
        
        Tuhan bertanya : “Apakah yang mereka minta?”. Malaikat menjawab: “Mereka mengkehendaki syurga”. Tuhan bertanya: “Demi Allah SWT mereka belum melihatnya. Bagaimana jika mereka melihatnya?”. Malaikat menjawab: “Tentu mereka lebih bersemangat untuk mencapainya”. Tuhan bertanya: “Dan dari apakah mereka berlindung?”. Malaikat menjawab: “Demi Allah SWT, mereka tidak pernah melihatnya”. Tuhan bertanya: “Bagaimana jika mereka melihatnya?”. Malaikat menjawab: “Tentu mereka akan lebih berlari menjauhinya”.
        
        Tuhan berfirman: “Saksikanlah oleh kalian bahawa Aku mengampuni dosa-dosanya”. Seorang malaikat ada berkata: “Tuhan! Di majlis itu ada orang yang bukan dari golongan mereka, hanya bertepatan ada keperluan maka datang ke majlis itu”. Jawab Tuhan: “Mereka Ahli Majlis yang tidak akan kecewa sesiapa yang duduk bersama mereka”. (Mustafaq’ Alaihi)
        
        Abu Hurairah dan Abu Sa’id r.a berkata: “Bersabda Rasulullah SAW : “Tiada satu kaum yang berkumpul duduk dalam sesuatu majlis zikir kepada Allah SWT, pasti mereka dikelilingi malaikat dan diliputi rahmat Allah SWT dan diturunkan atas mereka ketenangan dan diingati oleh Allah SWT didepan malaikatNya”.
        
       Adapun keterangan menyebutkan mengenai malaikat yang keluar dari mulut orang yang berzikir sebagai jelmaan zikir mereka, adalah sebagai berikut:
        “Jika seseorang hamba mukmin membaca “Laailaaha Illallah Muhammadur Rasulullah”, keluar dari mulutnya seorang malaikat dalam bentuk burung hijau bersayap dua, berwarna putih yang ditaburi dengan mutiara yaqut.
      “Sayap yang satu jika dibentangkan berada di masyriq (timur), sedang yang lain berada di marghrib (barat).
        
        Burung itu naik ke langit hingga sampai Arasy disertai suara dengungan lebah. Lalu malaikat pendokong Arasy berkata: “Demi keperkasaan dan keagungan Allah SWT, diamlah!”. Burung itu menjawab: “Aku tidak akan berhenti berdengung sebelum Allah SWT mengampuni hamba yang membaca kalimah tadi.”
        
        Lalu Allah SWT memberinya tujuh puluh ribu lidah yang beristighfar bagi hamba itu sampai hari kiamat, dimana kelak pada hari kiamat, malaikat itu akan menontonnya melintasi Sirath dan memasukkannya ke syurga.

Adapun keterangan yang menyatakan mengenai hadirnya (turunnya) malaikat dan ikut serta menyembahyangkan jenazah seorang wali sebagai berikut

Diriwayatkan Al Baihaqi dari Abi Umarah Al Bahili:
      “Malaikat Jibril a.s pernah datang kepada Nabi SAW ketika itu Rasulullah SAW sedang berada di Tabuk. Malaikat Jibril a.s datang bersama tujuh puluh ribu malaikat. Lalu Jibril a.s berkata: “Ya Rasulullah, lihat dan saksikanlah jenazah Ma’awiyah (bukan Mu’awiyah Bin Abu Sufyan). Lalu Nabi SAW memandang ke Madinah selepas sayap Jibril a.s diletakkan di atas tanah. Lalu Nabi SAW bersama Jibril a.s dan malaikat mengerjakan solat jenazah untuk Mu’awiyah. Kemudian Nabi SAW bersabda: “Wahai Jibril, dengan apa Mu’awiyah mencapai darjat ini?”. Jibril a.s menjawab: “Sebab ketekunan Mua’awiyah membaca surah Al-Ikhlas dikala ia sedang berdiri, duduk, rukuk dan berjalan.

Hanya Allah s.w.t yang lebih mengetahui.
Wallahu’alam.


No comments:

Post a Comment