DAJJAL
Dajjal adalah kalimah bahasa Arab daripada kalimah
‘dajala’ yang bermaksud melumur dan menutupi. Asal makna Dajjal ialah
‘Al-Kholath’ iaitu mencampur, mengacau atau membingungkan. Ertinya ‘Dajjal’
ialah manipulator dan pembohong.
Rasulullah SAW menyebutkan, seorang lelaki
daripada kabilah Yahudi Isfahan; seperti dalam Hadith baginda “keluar Dajjal dari Yahudi Isfahan”.
(Riwayat Ahmad)
Daripada Anas Bin Malik r.a, Rasulullah SAW
bersabda “Dajjal diikuti Yahudi Isfahan
sebanyak 70,000 orang. Mereka mengenakan Jubah (Parsi)”. (Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya tidak ada satu ujian Allah SWT di atas muka bumi ini sejak Dia
menciptakan zuriat Nabi Adam a.s (sampai ke Hari Kiamat nanti) yang lebih
dahsyat daripada fitnah Dajjal. Dan sesungguhnya Allah SWT tidak mengutus
seorang nabi pun kecuali nabi itu mengingatkan kaumnya akan ujian Dajjal ini.
Aku (Rasulullah SAW) adalah nabi terakhir sekali dan kamu adalah juga umat
terakhir sekali, maka sudah pasti Dajjal itu akan keluar pada zaman kamu.
Seandainya dia keluar dan aku masih berada di kalangan kamu, maka akulah yang
akan berhujah dengannya bagi mewakili setiap orang Islam. Dan jika dia keluar
selepas kewafatan ku, maka kamu semua bertanggungjawab untuk melawannya dan
Allah SWT sebagai penolong kamu sekalian”. (Riwayat Ibnu Majah)
Sebelum kemunculan Dajjal, berlaku kemarau panjang
selama tiga tahun bagi meningkatkan ujian terhadap seluruh umat manusia yang
selama ini lalai dengan kemewahan hidup dunia.
Rasulullah SAW bersabda:
“Dan
ketahuilah , sesungguhnya tiga tahun sebelum kedatangan Dajjal, bumi akan
berada dalam keadaan kering-kontang sama sekali. Semua manusia dilanda
kelaparan yang dahsyat. Pada tahun pertama , Allah SWT menitahkan agar hujan menahan sepertiga
airnya. Pada tahun kedua, Allah SWT menitahkan agar hujan menahan dua pertiga
airnya; bumi menahan dua pertiga tumbuh-tumbuhannya. Sedang pada tahun ketiga,
Allah menitahkan agar hujan menahan semua airnya, sehingga tidak setitis pun
air yang turun dari langit. Dan menitahkan bumi agar menahan semua yang
ditumbuhkannya sehingga tidak ada sesuatu pun yang ditumbuhkannya, bahkan
mana-mana tumbuhan yang tinggal semuanya menjadi kering dan binasa”.
Rasulullah SAW bersabda:
“
Mereka akan hidup menerusi tahlil, tahmid, takbir dan tasbih. Dan semuanya itu
menjadi pengganti makanan”. (Riwayat Ibnu Majah, Abu Daud
dan Al-Hakim)
Wa Ma taufiqi, illa Billah,
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment