Wednesday, 2 July 2014

PEDOMAN MUKMIN - 5 GANGGUAN SYAITAN SEMASA SOLAT

5 GANGGUAN SYAITAN SEMASA SOLAT.
1. Was-Was Semasa Takbiratul Ihram
Saat mulai membaca takbiratul ihram “Allahu Akbar”, ia ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sudah sah atau belum sah. Sehingga ada yang mengulanginya lagi dengan membaca takbir. Peristiwa itu terus menerus terulang, adakala sampai imam hampir rukuk. Ibnul Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak menggangu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwudhu) dan niat atau semasa takbiratul ihram dalam solat”.
2. Tidak Khusyuk Ketika Membaca Bacaan Dalam Solat
Sahabat Rasulullah SAW iaitu Uthman bin Abil Ash datang kepada Rasulullah SAW dan mengadu:
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah”. Rasulullah SAW menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan Khinzib. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka meludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah SWT. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT menghilangkan gangguan itu dariku”. (Hadith Riwayat Muslim)
3. Lupa Jumlah Rakaat Yang Telah Dikerjakan
Abu Hurairah r.a. berkata:
“Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, “Jika salahseorang dari kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggodanya sampai ia tidak tahu berapa rakaat yang ia telah lakukan. Apabila salah seorang dari kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) semasa masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam”. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
4. Hadirnya Fikiran yang Mengganggu
Abu Hurairah r.a. berkata:
“Rasulullah SAW bersabda, “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari sambil terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan tersebut. Apabila muazin telah selesai azan, ia akan kembali lagi dan jika iqamah dikumandangkan ia berlari. Apabila telah selesai iqamah, dia kembali lagi. Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya, ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat! Sehingga orang tersebut tidak tahu berapa rakaat ia solat”. (Hadith Riwayat Bukhari)
5. Tergesa-Gesa Untuk Menyelesaikan Solat
Ibnul Qayyim berkata, “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datangnya dari syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah, yang menghalangi seseorang untuk hati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya”. Tentu saja bila solat dalam keadaan tergesa-gesa, maka cara pelaksanaannya asal boleh, asal boleh mengerjakan, asal selesai dan asal jadi. Tidak ada ketenangan atau tukmaninah. Pada zaman Rasulullah SAW ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah SAW memerintahkannya untuk mengulanginya lagi kerana solat yang telah ia kerjakan belum sah.
Rasulullah SAW bersabda kepadanya,
“Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah dari Al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk, lalu bangkitlah dari rukuk sampai kamu tegak berdiri, kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu”. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Wallahu taala a’lam


No comments:

Post a Comment