7 ROMBONGAN IBLIS DI SAAT SAKARATUL MAUT.
Iblis laknatullah akan sentiasa mengganggu
manusia, mulai dengan memperdayakan manusia dariterjadinya dengan setitik
mani hingga ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir
hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul
maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan.
Hadith Rasulullah SAW menerangkan:
"Ya Allah aku berlindung kepada Engkau
dari tipuan syaitan diwaktu sakaratul maut".
Rombongan 1
Akan datang Iblis dengan berbagai rupa anih
seperti emas, perak dan lain-lain serta sebagai makanan dan minuman yang
lazat-lazat. Disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di
masa hidupnya sangat tamak dan haloba kepada barang-barang tersebut, maka
diraba dan disentuhnya barang-barang Iblis itu dan pada waktu itu nyawanya
putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada
Allah SWT dan inilah jenis mati fasik dan munafik maka ke nerakalah tempatnya.
Rombongan 2
Akan datang Iblis kepada orang yang didalam
sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti,
Harimau, Singa, Ular yang berbisa. Apabila orang yang sedang sakaratul maut itu
memandang ke binatang itu, maka dia pun menjerit dan melompat sekuat hati dan
seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya. Maka matinya itu disebut sebagai mati lalai
dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT dan matinya itu sebagai Fasik dan
Munafik dan ke nerakalah juga tempatnya.
Rombongan 3
Akan datang Iblis mengacau dan memperdayakan
orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan menyerupai binatang
kesayangannya. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba
kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati. Maka
matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya itu
mati Fasik dan Munafik maka nerakalah
tempatnya.
Rombongan 4
Akan datang Iblis merupakan dirinya sebagai
rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika
hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan
dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka
sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik,
dan nerakalah tempatnya.
Rombongan 5
Akan datang Iblis merupakan dirinya dengan
rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperti ayah ibunya dengan membawa
makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat
mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk
mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai
oleh Iblis, berkata dengan penuh kasih:
"Wahai anakku inilah saja makanan dan
bekal yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami
dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan
marilah bersama kami masuk ke dalam syurga. "
Maka dia pun sudi mengikut tawaran itu dengan
tanpa berfikir lagi dan ketika itu waktu matinya pun sampai. Maka matilah dia
di dalam keadaan kafir, kekal di dalam neraka dan terhapuslah semua amal
kebajikan semasa hidupnya.
Rombongan 6
Akan datanglah Iblis merupakan dirinya
sebagai ulama'-ulama' yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia:
"Wahai muridku, lama sudah kami menunggu akan dikau, ternyata kamu sedang
sakit di sini, kerana itu kami bawakan kepada kamu doktsr dan ubat untukmu". Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian
penyakit itu datang lagi.
Lalu datang pula Iblis yang menyerupai ulama'
dengan berkata: "Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar
kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?"
Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: "Aku tidak tahu. "
Berkata ulama' Iblis: "Ketahuilah, aku
ini adalah seorang ulama' yang tinggi dan hebat, baru saja kembali dari alam
ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang
telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah
kamu patuh kepada kami. "
Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut
itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya
semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan
oleh Iblis untuk tujuan menggoda orang yang sedang dalam sakaratul maut).
Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul
maut itu bertanya kepada ulama palsu:
"Bagaimanakah Zat Allah SWT?" Iblis
merasa gembira apabila jeratnya mengena.
Lalu berkata ulama palsu: "Tunggu,
sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu".
Ketika tirai dibuka selapis demi selapis
tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun
dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit
dan bumi.
Berkata Iblis: "Itulah dia Zat Allah
yang patut kita sembah".
Berkata orang yang dalam sakaratul maut:
"Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini
mempunyai enam sisi, iaitu benda besar ini ada kiri dan kanannya, mempunyai
atas dan bawah, mempunyai depan dan belakang.
Sedangkan Zat Allah SWT tidak menyerupai
makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang
ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut
aku sembah ialah benda yang besar ini?”.
Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun
datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan
kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama
hidupnya di dunia ini.
Rombongan 7
Rombongan Iblis yang ketujuh ini terdiri dari
72 barisan sebab dari menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati
Iktikad Nabi Muhammad SAW bahawa umat Muhammad SAW akan terbahagi
kepada 73 barisan). Satu barisan/golongan yang benar iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah,
72 yang lain masuk ke neraka kerana sesat.Ketahuilah bahawa Iblis itu akan
mengacau dan mengganggu anak cucu Adam dengan 72 macam yang setiap satu
berlainan di dalam waktu manusia sakaratul maut.
Oleh kerana itu hendaklah kita mengajarkan
kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin “Laa Ilaaha Illallah”
untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Iblis dan syaitan yang akan berusaha
bersungguh-sungguh menggoda orang yang sedang dalam sakaratul maut.
Disebutkan dalam sebuah hadith yang ertinya:
"Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati
itu: “Laa Ilaaha Illallah”.
Wallahu taala a’lam
No comments:
Post a Comment