Monday, 7 July 2014

SEJARAH - BILAL BIN RABAH.

BILAL BIN RABAH.

Di mana sahaja kita berada di pelusuk dunia, pasti akan ada orang yang mengenali Bilal Bin Rabah. Kelahirannya dari bumi Habsyah dan ada riwayat lain menyatakan beliau dari negara Hijaz.

Kulitnya berwarna hitam tetapi  ternyata hatinya putih berseri dengan basuhan wudhu yang tidak pernah diabaikannya sejak keislamannya. Terbukti dengan kisah Israk dan Mikraj Nabi SAW yang mendengar tapak kakinya di dalam syurga walhal beliau masih hidup diatas muka bumi lagi.

“Wahai bilal!  apakah amalan yang kamu tidak pernah tinggal? Sesungguhnya Aku mendengar tapak kakimu sudah berada dalam syurga”. Nabi SAW bertanya setelah pulang dari perjalanan Israk dan Mikraj.

Bilal menjawab, “Aku tidak akan melakukan azan melainkan aku akan solat dua rakaat. Apabila aku berhadas, pasti aku akan berwudhu, selepas itu, aku akan menunaikan solat dua rakaat”.

Beliau menjadi hamba kepada seorang tokoh besar kafir, Umayyah bin Khalaf. Seorang yang sangat membenci Islam. Berani dengan orang lemah, tetapi takut dengan orang yang berkuasa.

Semasa bilal masih menjadi hamba, berita keislaman bilal menyebabkan Umayyah menjadi berang  sehingga sanggup menyeksa bilal sezalim-zalimnya. Dia menelanjangkan bilal, lalu mencampakkan tubuh yang tidak seurat benang itu ke padang pasir yang kepanasan. Di letakkan batu yang berat di dada bilal, sehingga sesak penafasan Bilal. Tidak dapat dilafaz, melainkan “ahad, ahad dan ahad” sahaja yang dapat Bilal ucapkan sebagai tanda tauhinya bilal terhadap Allah SWT.

Abu Bakar As-Siddiq r.a. melihat kezaliman Umayyah yang sudah sampai ke tahap luar dari peri kemanusiaan, malah peri kebinatangan yang menyebabkan  Saidina Abu Bakar r.a. telah membeli Bilal malah memerdekakannya.

Bilal terselamat dari seksaan Umayyah, tetapi kejahatan Umayyah tidak berhenti setakat  itu, malah berterusan pula siksaan dilakukan terhadap keluarga Ammar bin Yasir sehingga berlaku pembunuhan terhadap bapa Ammar iaitu Yasir dan ibunya, Sumayyah binti Al-Khayyat.

Umayyah bin Khalaf yang jahat itu akhirnya dibunuh Bilal dalam peperangan Badar, meskipun pada asalnya, dia tidak mahu terlibat dalam peperangan badar tersebut. Dia sudah menjangkakan yang kehadirannya dalam peperangan badar akan menyebabkan dia bertemu dengan Bilal.


Tidak mahu terlibat dalam peperangan Badar, memperlihatkan ketakutan dan baculnya Umayyah yang hanya dilihat berani dihadapan hamba-hamba yang lemah. Uqbah bin Abi Muayyit memperlekeh Umayyah dengan menggambarkan Umayyah seperti perempuan.

Diambilnya setanggi wangian lalu diperasapkan dihadapan Umayyah seraya berkata, “wangian setanggi akan melekat kepada tubuh kamu wahai Umayyah. Ini menandakan, kamu sebenarnya tidak jantan, tetapi adalah wanita” Abu Muayyit ketawa terbahak-bahak.

Bagaikan hinggap tamparan ke muka Umayyah dengan penghinaan yang dilakukan oleh Abu Muayyit  maka itulah yang menyebabkan Umayyah terlibat juga dalam peperangan Badar yang merupakan perang yang terakhir dia sertai dan seterusnya berjumpa dengan tuhan yang maha memberi keadilan.

Umayyah terbunuh dalam peperangan Badar dengan tetakan pedang yang dilakukan oleh Bilal. Sebelum tetakkan terkena dilehernya, kelihatan diwajahnya rupa  dalam ketakutan yang amat sangat dan tidak seperti bilal yang diseksanya dahulu.

Sejak Islamnya  Bilal, beliau terlalu rapat dengan Rasulullah SAW. Kulitnya yang hitam legam tidak pernah dijadikan perasaan jijik dalam hati Nabi SAW untuk menjadikannya sebagai sahabat yang rapat.

Di saat azan disyariatkan, bilal yang menyebut kalimah ”ahad, ahad dan ahad” dikala awal keislamannya yang diseksa dan diazab oleh kafir telah dilantik oleh Nabi SAW sebagai Muazzin (tukang azan). Perlantikan yang membawa satu pengiktirafan terhadap keimanan dan keislaman Bilal sehingga ke hari ini.

Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, Bilal bersedih hati yang teramat sangat. Beliau tidak sanggup melihat maqam Nabi SAW dan apabila Bilal ke Makam nabi, pasti matanya tidak disedari menitiskan air.

Tidak sanggup menahan kerinduan maka Bilal  berjumpa dengan Abu Bakar As-Siddiq yang baru dilantik menjadi Khalifah untuk meminta izin untuk berpindah ke negara lain. Bilal tidak sanggup untuk menjadi muazzin di saat Rasulullah SAW tidak dapat dilihatnya lagi.

Dengan pujukan dan rayuan, Abu bakar As-Siddiq memintanya kekal sebagai muazzin. Dengan berat hati dan bertanggungjawab, Bilal tidak sanggup  menolak permintaan Abu bakar As-Siddiq yang menyelamatkannya dari seksaan Umayyah bin Khalaf di awal Islamnya dahulu.

Di awal pemerintahan Umar bin Al-Khattab menjadi khalifah, permintaan yang sama diajukan oleh Bilal. Permintaan itu dimakbulkan oleh Umar.
Dia berhijrah ke Syria dan tinggal di sana untuk  meneruskan sisa hidup dengan berdakwah dan berjihad. Dia tidak mengabaikan tugasan dakwah yang ditarbiyyah oleh Rasulullah SAW.

Semasa di Syria, dia telah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW.

“Wahai Bilal, apakah kamu tidak merinduiku? Apakah kamu tidak mahu menziarahiku?” soal Nabi Muahmmad SAW dalam mimpi Bilal.

Sedar dari mimpi, Bilal  merasa amat sedih. Kerinduannya terhadap Nabi SAW semakin meluap-luap dan air matanya mula menitis. Dia terus berazam akan ke Madinah; menziarahi kubur Nabi Muhammad SAW sebagai cara untuk menghilangkan kerinduannya terhadap Rasulullah SAW.

Sesampai di Madinah, Bilal terus meluru ke kubur Nabi SAW. Melihat kubur Nabi SAW sahaja hatinya sudah tidak tertahan lagi dan dia menekup mukanya. Ketika itu kelihatan air mata menitis lebat.

Dia berjumpa dengan cucunda Nabi SAW; Hasan dan Husain. Dia memeluk dan mencium kedua-duanya.

Dalam suasana kesedihan itu, Hasan dan Husain berkata, “Pak Cik bilal, kami terlalu ingin mendengar azan kamu”.

Pemintaan dua cucunda Nabi SAW itu tidak dihampakan. Beliau naik di atas bumbung Kaabah dan berdiri. Beliau pun memulakan laungan azan.

“Allahu akbar, Allahu akbar… Allahu Akbar, Allahu Akbar” laungan pertama menyebabkan Madinah gamat. Ramai rakyat Madinah terkejut. Mereka keluar dari rumah masing-masing.

Apabila sampai laungan “Asyahadu Anna Muhammad Rasulullah”, kegamatan Madinah itu telah bertukar dengan kedengaran tangisan manusia.

Tangisan yang berpunca  dari kerinduan mereka terhadap Rasulullah SAW. Kerinduan bersama kekasih Allah SWT yang merupakan seorang pemimpin yang tercinta. Semasa Bilal di Syria, beliau tidak dilantik menjadi muazzin malah sebarang permintaan terhadap beliau untuk jawatan tersebut  pasti akan ditolaknya.

Di saat Umar Ibnu Al-Khattab r.a.menjadi Khalifah, beliau telah menziarahi Syria. Memandangkan orang Syria tidak pernah mendengar azan laungan Bilal, mereka berjumpa dengan Umar r.a. dan meminta agar Umar r.a.. memohon untuk Bilal melaungkan azannya.

Pada awalnya  permohonan Umar r.a. itu ditolak, tetapi setelah diminta hanya untuk satu solat sahaja maka Bilal pun akur. Bilal naik di atas menara dan memulakan laungan azannya. Sahabat-sahabat Nabi SAW yang berada di Syria menangis mendengar azan Bilal tersebut  sedangkan  orang yang paling kuat tangisannya  ketika itu adalah Umar bin Al-Khattab r.a. sendiri.

Bilal bin Rabah adalah seorang sahabat yang tidak mempunyai rupa paras yang cantik, tetapi perjuangannya dalam memenangkan dan mengembangkan Syiar Islam ternyata ikhlas malah terbukti diterima oleh Allah SWT semasa hidup beliau lagi.

Beliau meninggal dunia di Syria sewaktu umurnya 60 tahun lebih. Beliau meninggal dunia pada tahun 20 hijrah. Mengikut riwayat lain, beliau meninggal dunia pada tahun 21 hijrah disebabkan terkena penyakit taun.

Wallahu taala a’lam


No comments:

Post a Comment