Wednesday, 2 July 2014

PEDOMAN MUKMIN - TIDUR YANG SUNAT DIKEJUTKAN

TIDUR YANG SUNAT DIKEJUTKAN


Mengejutkan orang yang tidur disunatkan sekiranya orang itu tidur dalam keadaan berikut:

Pertama:
Seorang yang tidur di masjid dan waktu solat sudah tiba. Ini berdasarkan hadith Abu Bakrah r.a. katanya:
“Aku keluar bersama Nabi SAW untuk menunaikan solat subuh. Beliau tidak lalu pada mana-mana lelaki melainkan akan menyerunya untuk solat atau menggeraknya untuk solat dengan kakinya”. (Hadith Riwayat Abu Daud 1246 – semua perawinya thiqah)

Kedua:
Orang yang tidur dihadapan orang yang solat kerana menggangu orang yang solat.

Ketiga:
Tidur diatas permukaan bangunan tanpa penghadang.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang tidur diatas permukaan bangunan tanpa ada penghadang (dari jatuh bangunan), sesungguhnya telah terlepas dari tanggungjawab mana-mana pihak (sekiranya jatuh)". (Hadith Riwayat  Abu Daud)

Keempat:
Tidur dalam keadaan separuh badan terkena cahaya matahari dan setengah lagi tidak kena.
Nabi SAW bersabda:
“Apabila salah seorang kamu berada di bawah pancaran matahari, kemudian matahari menaik dan sebahagian tubuh mu terkena pancaran matahari dan sebahagian yang lain tidak kena , hendaklah dia beredar”.
(Hadith Riwayat Abu Daud)

Kelima:
Tidur waktu subuh.
Nabi SAW bersabda:
“Tidur subuh menegah rezeki”.(Hadith Riwayat Ahmad – sanad lemah)

Umar bin Abdul Aziz apabila melihat anaknya sedang tidur waktu subuh, beliau mengejutkannya dan berkata: “Rezeki dibahagi-bahagikan sedangkan engkau tidur.”

Keenam:
Tidur sebelum Isyak  kerana makruh tidur waktu itu.
Ini disebut dalam hadith yang panjang, riwayat dari Abi Bakrah r.a. dimana beliau berkata:
“Baginda SAW tidak suka tidur sebelum solat Isyak dan sembang-sembang selepasnya.” (Hadith Riwayat  Bukhari)

Ketujuh:
Tidur lepas solat Asar.
Nabi SAW bersabda:
" Sesiapa yang tidur selapas solat Asar dan hilang akalnya , janganlah dia mencela melainkan dirinya.” (Hadith Riwayat Abu Ya’la – Sanad lemah)

Kelapan:
Tidur berseorangan di rumah.
Hukum ini disebut oleh Al-Hulaimi dalam kitabnya al-Minhaj Fi Syu’abil Iman.

Kesembilan:
Perempuan yang tidur menelentang.
Ini kerana ianya makruh seperti yang disebut dalam kitab yang sama. Umar bin Abdul Aziz telah menegah anaknya yang tidur sedemikian.

Kesepuluh:
Seseorang yang tidur meniarap.
Baginda SAW melihat seorang lelaki meniarap. Lalu Baginda SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah SWT dan Rasulnya”. (Hadith Riwayat Tirimizi dan Ahmad-Hasan lighairihi)
Abu Umamah r.a. berkata: Nabi SAW lalu dekat seorang lelaki yang tidur meniarap di masjid. Lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata:
Maksudnya: “Bangunlah kamu dari tidur dan duduklah sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka jahannam”. (Hadith Riwayat Ibnu Majah)

Kesebelas:
Mengejutkan orang tidur untuk bangun qiamullail.
Nabi SAW bersabda:
“Allah SWT merahmati lelaki yang bangun malam, menunaikan solat dan mengejutkan isterinya. Sekiranya isterinya enggan, dia akan merenjiskan air pada muka isterinya. Allah SWT  merahmati wanita yang bangun malam, menunaikan solat dan
mengejutkan suaminya. Sekiranya suaminya enggan, dia akan merenjis air ke muka suaminya”. (Hadith Riwayat  Abu Daud 1308 – perawi-perawinya thiqah)

Kedua belas:
Mengejutkan orang yang tidur untuk bangun sahur.
Nabi SAW bersabda
“Sesungguhnya bilal akan mengumandangkan azan pada waktu malam (sebelum subuh), maka makanlan dan minumlah sehingga Ibnu Maktum mengumandangkan azan subuh”. (Hadith Riwayat Muslim)

Ibnu Qayyim berkata:
"Banyak tidur di siang hari amat dikeji kerana ia akan mewarisi penyakit kebengkakkan (muka kelihatan sembab dan tidak bercahaya) malapetaka, merosakkan warna kulit, menimbulkan penyakit radang limpa, melemahkan urat saraf dan melemahkan syahwat. Sekeji-keji tidur ialah ketika awal hari (selepas Subuh sehingga terbit matahari) dan terlebih keji lagi ialah tidur di akhir siang hari (selepas Asar)”.

Wallahu taala a’lam





No comments:

Post a Comment